26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Kalaulah surat itu betul…

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

HARI ini arena politik negara ‘dihebohkan’ pula dengan sepucuk surat yang didakwa daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Surat bertarikh 11 Oktober itu didakwa dihantar sendiri oleh Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong dan didakwa turut mengandungi tandatangan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara kandungannya mengesahkan bahawa beliau dan Najib serta sejumlah Ahli Parlimen telah menarik balik sokongan dan kepercayaan mereka kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Zahid juga melalui surat itu didakwa berkata, mereka membuat pendirian seperti yang dinyatakan sehingga tamatnya Sidang Parlimen Ke-14 untuk mengelakkan pilihan raya umum berikutan penyebaran wabak Covid-19.

Ahmad Zahid Hamidi berkata sesuatu kepada Najib Tun Razak ketika mereka menghadiri satu program baru-baru ini.

Bagaimanapun UMNO menafikan sekeras-kerasnya surat yang tular dan berharap agar ahli mahu pun rakyat tidak mudah terpengaruh dengan fitnah yang cuba dilemparkan pihak tertentu manakala pejabat Najib turut membuat penafian yang sama.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Somali Reduan dalam satu kenyataan berkata, beliau dan pegawai Pejabat Presiden yang selalu bertanggungjawab menyediakan segala surat menyurat dan juga letter head (kepala surat) tidak pernah dikeluarkan tanpa nombor rujukan.

”Penyebaran surat rasmi berkenaan sangat melampau dan mungkin disebarkan oleh segelintir pihak yang berkepentingan dan berniat jahat bertujuan untuk merosakkan imej Presiden UMNO,” katanya.

Penafian tersebut sekaligus menutup pelbagai persoalan yang mula hangat diperkatakan dalam media sosial sehingga menjadi trending di Twitter yang berkisar kepada persoalan KALAULAH SURAT ITU BETUL.

Hal ini memandangkan KALAULAH SURAT ITU BETUL, ia akan memberikan kesan politik yang buruk bukan sahaja kepada Ahmad Zahid dan Najib tetapi juga UMNO secara keseluruhannya.

Ini kerana, sebelum ini Majlis Tertinggi UMNO sudah menyatakan apapun keputusan berkaitan kedudukan 38 Ahli Parlimennya, ia akan dilakukan secara en-bloc, tetapi di dalam surat itu hanya menyatakan sejumlah ahli Parlimen.

KALAULAH SURAT ITU BETUL, apakah ini bermakna ‘sejumlah Ahli Parlimen’ tersebut membuat keputusan atas kapasiti peribadi selaras dengan kenyataan Ahmad Zahid bahawa UMNO tidak boleh menghalang Ahli Parlimennya menyokong Anwar sebelum ini?

Lagi pula beberapa Ahli Parlimen sudah menafikan pembabitan mereka menyokong Anwar dan antaranya sudah membuat laporan polis.

Persoalan paling besar KALAULAH SURAT ITU BETUL, bagaimana Ahmad Zahid dan Najib mahu menepis persepsi bahawa tindakan mereka adalah bertujuan melepaskan diri daripada kes mahkamah yang dihadapi?

Sedangkan Najib berkali-kali secara tegas menyatakan beliau mahu membersihkan namanya di mahkamah manakala Ahmad Zahid pula menyatakan keputusan UMNO untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional tiada kaitan dengan kes-kes yang dibicarakan melibatkan pemimpin-pemimpin parti itu.

KALAULAH SURAT ITU BETUL, adakah Ahmad Zahid dan Najib menyokong pendirian Anwar bahawa dengan jumlah majoriti yang dimiliki maka Presiden PKR itu harus dilantik sebagai Perdana Menteri tanpa perlu mengadakan pilihan raya atas alasan penyebaran wabak Covid-19 dan kegawatan ekonomi?

Apakah motif sebenar mahu menjadi Perdana Menteri tetapi tidak mahu Parlimen dibubarkan bagi mengembalikan mandat kepada rakyat? Bukankah itu lebih baik supaya rakyat boleh memilih siapa Perdana Menteri mereka mahukan?

KALAULAH SURAT ITU BETUL, tidakkah ini akan dianggap gerakan membalas dendam Ahmad Zahid dan Najib kepada Tun Dr.Mahathir Mohamad? Ia kerana Dr. Mahathir memang menentang habis-habisan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Seperkara lagi KALAULAH SURAT ITU BETUL, apakah mungkin sejumlah Ahli-ahli Parlimen UMNO sanggup ‘menjual maruah’ untuk bersekongkol dengan DAP sedangkan Majlis Tertinggi UMNO sudah menyatakan dengan tegas tiada kerjasama dengan Anwar dan DAP?

Sebenarnya apa yang diperkatakan dalam media sosial ialah KALAU SURAT ITU BETUL tetapi ia adalah PALSU seperti mana dinyatakan oleh ibu pejabat UMNO dan Pejabat Najib.

Justeru kita tunggu perkembangan seterusnya terutama apabila Majlis Tertinggi UMNO bermesyuarat pada Selasa ini.

Sudah pasti akan ada anggota Majlis Tertinggi membangkitkan persoalan tersebut kecualilah mereka berasa cukup dengan penafian yang dikeluarkan oleh ibu pejabat parti.

Selain itu, kita juga perlu menunggu sidang Dewan Rakyat pada 2 November ini.

Di situlah nanti apapun situasi, apapun keadaan, segala kebenaran mahupun sandiwara akan terdedah. Buat masa ini kita tenang-tenang sahaja.

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan