34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Henti rebut kuasa, rakyat sudah menyampah… faham tak?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SESUNGGUHNYA kita menjunjung kasih di atas keprihatinan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah yang meminta ahli-ahli politik menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Titah Seri Paduka yang meminta rakyat khususnya ahli politik bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu adalah tepat masanya.

Seperti mana titah Seri Paduka, kita semua masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar manakala rakyat pula tengah susah akibat ancaman wabak Covid-19.

Selari dengan nasihat Seri Paduka adalah wajar ahli-ahli politik khususnya mereka yang kemaruk sangat mahu berkuasa perlu menimbang situasi tersebut bukannya terus melakukan gerakan-gerakan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Apa yang malang, UMNO yang menjadi salah satu parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional turut ‘tumpang sekaki’ selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Al-Sultan Abdullah menyatakan beliau mempunyai sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

UMNO melalui Biro Politiknya memutuskan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional dan keputusan muktamad akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi pada Selasa ini.

Belum pun reda dengan dua gerakan politik untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, Parti Pejuang diketuai oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad yang kita tahu mempunyai dendam politik terhadap Perdana Menteri membuat kenyataan bahawa kesemua lima ahli Parlimen akan mengemukakan undi tidak percaya kepada Muhyiddin di Dewan Rakyat.

Turut mahu ‘tumpang semangkuk’ ialah kawan rapat DAP, Amanah yang menyatakan mereka juga akan mengemukakan usul yang sama.

Maknanya, selain daripada UMNO dan Anwar, Perdana Menteri yang ketika ini sedang bertungkus lumus menguruskan negara memerangi Covid-19 turut ‘diancam’ oleh Pejuang dan Amanah.

DAP pula tidak membuat sebarang kenyataan kerana mereka tahu siapapun menang parti itu tetap akan untung.

Hakikatnya, rakyat sudah menyampah, bosan, muak dan kalau meminjam kata-kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali semalam, “rakyat sudah mula jijik” kerana kemelut politik yang berlaku. 

SULAIMAN MD ALI

Seruan beliau,”Saya nak sampaikan, berhentilah pasal politik ini, janganlah politik 24 jam sahaja, rakyat di bawah banyak perkara diperlukan. Politik ni dihentikan, sampai masa esok pilihan raya kita hadapi pilihan raya.”

Sebenarnya kemelut tersebut bukannya tidak boleh dielakkan, tetapi semua yang terlibat sudah dikuasai nafsu mahu berkuasa.

Ada yang mahu menjadi Perdana Menteri sama ada melalui strategi terbuka ataupun ‘senyap-senyap’, yang bermusuh secara tiba-tiba mempertimbang untuk berkawan dan yang selama ini sudah hilang taring mula mahu menunjukkan taring – segalanya hanya satu sebab KUASA.

Soalnya adakah semua itu akan menguntungkan rakyat yang tengah sengsara? Kenapakah terlalu ‘jahil’ untuk bermain atau melakukan gerakan politik ketika Covid-19 sedang bermaharajalela?

Kalau betul apa yang dilakukan adalah demi untuk rakyat dan negara seperti mana alasan yang selalu diberikan, kenapakah tidak, buat sementara ini bersama Muhyiddin dan kerajaan memerangi Covid-19?

Kalau ada kelemahan berilah teguran, kalau ada kepincangan berilah nasihat supaya kerajaan boleh merangka langkah yang lebih efektif memerangi pandemik tersebut dan memulihkan ekonomi negara.

Bukannya hanya bijak mengkritik dan mahu menjadikan ia ‘peluru’ untuk menumbangkan kerajaan.

Begitu juga dengan perasaan tidak puas hati sesama parti dalam kerajaan berkaitan politik. Tidak bolehkah bersabar sekejab sehingga masalah Covid-19 selesai, lepas tu berbincanglah.

Kenapa perlu membuat gerakan yang mungkin akan meletakkan negara dalam keadaan politik tidak menentu sekali lagi? Tidak kasihankah kepada rakyat?

Rakyat tengah susah, faham tak? Ada antara mereka bangun tidur, fikir apa nak makan, orang politik bangun tidur fikir siapa nak dimakan. Rakyat dok fikir hari ini berapa pendapatan boleh dapat untuk menyara hidup, ahli politik pula dok kira hari ini berapa ramai ahli Parlimen boleh dapat untuk pastikan politik peribadi terus hidup dan rakyat terpaksa berkurung kerana PKPB, ahli politik dok bertarung melobi.

Tidak kiralah apa pun masalah antara parti politik tetapi jangan seret rakyat apatah lagi ketika pelbagai kluster bertebaran akibat Covid-19. Tak kanlah ahli politik mahu mewujudkan ‘Kluster berebut kuasa’ dan  menyebarkan ‘virus’ mahu menjatuhkan kerajaan pulak.

Kalau dalam Covid-19, Kementerian Kesihatan mengesan jangkitan wabak itu di Sabah berkemungkinan membawa mutasi jenis D614G – apa pula ‘mutasi’ yang akan disebarkan oleh ahli-ahli politik? Apakah ‘mutasi 112’ atau ‘mutasi 2/3’? 

Cumanya, Covid-19 itu tak ada kawan, tak ada musuh – semua akan ‘diserang’ kalau tidak berhati-hati, tetapi orang politik kadang kala kita pun tak tahu siapa kawan, siapa musuh mereka. Apa yang tengah berlaku sekarang sudah menjadi bukti.  

Apapun cukuplah rakyat sudah menyampah hentikan ‘kegilaan’ ini! Kalau betul-betul kemaruk sangat nak kuasa, tunggu sahaja Pilihan Raya Umum Ke-15 yang tidak mustahil diadakan selepas pandemik Covid-19 reda.

Kalau mahu juga berebut kuasa ketika rakyat sedang menderita, jangan guna nama rakyat untuk ‘menghalalkan’ tindakan politik kalian, sebaliknya mengaku sahaja kalian memang ‘gila kuasa’!

Bukankah itu lebih jujur? – Edisi 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan provokatif diturunkan sejak awal tahun

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang...

Lagi Artikel Berkaitan