26.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

UMNO, Pas Terengganu bermuafakatlah demi kepentingan bangsa, agama

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

ISU pengagihan kerusi Muafakat Nasional (MN) terus menjadi perbualan hangat di Terengganu setelah masing-masing Pas dan UMNO mahu mendominasi jumlah kerusi ditandingi.

Polemik bermula apabila Exco Kerajaan Negeri, Hanafiah Mat membuat kenyataan terbuka dalam satu majlis di Kemaman bahawa Pas akan mempertahankan kesemua kerusi yang dimenangi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Dengan kata lain, Pas akan bertanding di enam daripada lapan kerusi Parlimen yang ada serta 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perkara itu diperkukuhkan lagi oleh kenyataan Menteri Besar yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Shamsuri Mokhtar yang turut menyatakan Pas akan mempertahankan kesemua kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu.

Padahal isu berkaitan pengagihan kerusi dikatakan tidak pernah dibincangkan dalam pertemuan antara para pemimpin MN negeri sebelum ini.

Terkilan dengan ketetapan Pas, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri menegaskan, jika demikian partinya akan meletakkan calon mereka di kesemua kerusi.

Dengan kata lain, dua parti yang mengasaskan MN itu akan berlawan sesama sendiri, sekali gus mewujudkan perseteruan yang berpanjangan antara UMNO dan Pas.

Menyedari keadaan tidak sihat itu, seorang veteran politik Terengganu berharap isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik oleh kedua-dua parti Melayu-Islam terbesar itu.

Beliau menggesa parti-parti dalam MN memberi keutamaan kepada kepentingan bangsa dan agama mengatasi kepentingan parti masing-masing.

Dalam pertemuan dengan penulis baru-baru ini, beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO berkata, MN sepatutnya memberi tumpuan untuk memenangi PRU-15, bukannya “berbalah” sesama sendiri.

“Apa yang penting sekarang ialah memenangi PRU-15 dan memastikan MN yang mewakili parti Melayu-Islam dapat membentuk kerajaan bersama.

“Soal siapa yang patut menjadi Menteri Besar boleh dibincangkan kemudian secara muafakat. Lagi pun UMNO kena sedar bahawa kita parti yang kalah dalam PRU-14 lalu,” katanya.

Pendapat beliau bahawa para pemimpin UMNO negeri tidak boleh kecewa dengan Pas andai ada perkara yang dilakukan kelihatan berpihak kepada parti itu memandangkan Pas begitu lama menjadi pembangkang di negeri ini.

Pas sendiri merasai mereka diketepikan ketika UMNO menjadi kerajaan dan sudah tentu mereka juga akan “memperlakukan” perkara sama setelah mereka menjadi kerajaan.

Advertisements
Ahmad Shamsuri Mokhtar dan Ahmad Said

Bukan mahu menuduh Pas mengamalkan politik balas dendam tetapi penulis percaya ia menjadi lumrah kepada mana-mana pihak yang saling bermusuhan sejak sekian lama merasai perasaan sedemikian.

Justeru, penulis melihat bahawa muafakat dalam erti kata sebenar tidak akan dapat dibentuk di Terengganu seandainya antara pemimpin dan penyokong UMNO dan Pas terus berkeras hati, ego, saling mencurigai, tidak jujur dan mempunyai perasaan dendam.

Mereka perlu saling berbesar hati, jujur dan ikhlas serta saling bertolak ansur demi penyatuan ummah, kepentingan rakyat dan negeri.

Pas selaku parti yang menguasai kerajaan negeri tidak sewajarnya menggunakan rekod kemenangan mereka dalam PRU-14 lalu sebagai penanda aras untuk mereka menentukan jumlah kerusi yang bakal ditandingi, sebaliknya mereka perlu melihat keputusan antara tiga hingga lima PRU yang lalu.

Sebagai contoh DUN Kemasik, walaupun dalam PRU-14, Pas memenanginya tetapi mereka perlu sedar bahawa Kemasik merupakan kerusi tetap UMNO yang dimenangi sepanjang 13 PRU lalu.

Justeru, adalah tidak wajar jika Pas berkeras untuk meletakkan calon mereka di Kemasik, dan mengenepikan wakil UMNO walaupun Kemasik tidak pernah tewas sebelum PRU-14.

Begitu juga dengan Parlimen Marang, Pas mendominasi kemenangan di kawasan tersebut, sudah tentu tidak wajar jika UMNO menuntut untuk meletakkan calonnya mewakili MN.

Mengenai pemilihan Menteri Besar pula, mungkin MN boleh mengamalkan sistem penggiliran di mana jika selepas PRU-14, ADUN Pas dilantik ke jawatan tersebut, atas dasar pemuafakatan, jika MN memenangi PRU-15, ADUN dari UMNO pula menjadi Menteri Besar.

Dan kemudian dalam PRU-16, jawatan itu kembali diserahkan kepada wakil Pas dan seterusnya. Ini kerana, apa yang penting Terengganu kekal diperintah oleh parti Melayu-Islam secara bersama.

UMNO juga tidak wajar terlalu keras menekan Pas dan seolah-olah cuba menjadi parti dominan dalam MN.

Kesimpulannya, apa yang penting para pemimpin UMNO, Pas dan juga Bersatu negeri perlu sentiasa duduk bersama berbincang secara adik beradik agar muafakat yang bermula di peringkat Pusat turut dapat dibentuk di Terengganu.

Harus diingat bahawa rakyat sedang memerhati dan mereka boleh sahaja menolak mana-mana parti yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi atau parti masing-masing berbanding kepentingan rakyat.

Justeru rakyatlah yang perlu diberi keutamaan dan dijaga agar kelak jangan sampai mereka memilih parti lawan sekali gus menyebabkan parti-parti MN berputih mata. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan