29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pencemaran sungai: 4 beradik ditahan, loji kembali beroperasi

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Polis menahan empat lelaki pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.


Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata, kesemua suspek berumur lingkungan 50 hingga 60 tahun itu ditahan dalam operasi bermula kira-kira pukul 11 malam sehingga pukul 12.30 tengah malam tadi.

“Tangkapan dibuat di kediaman mereka dan ada yang ditahan selepas tampil di balai polis di daerah Gombak.

“Polis akan membuat permohonan reman di Mahkamah Selayang untuk siasatan lanjut pagi ini,” katanya kepada Bernama.

 Noor Azam berkata, siasatan awal mendapati kilang berkenaan diusahakan oleh empat suspek yang juga adik-beradik selepas bapa mereka meninggal dunia.
Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dilaporkan berkata sebuah kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau telah disita dan dikompaun serta-merta, selain akan dikenakan tindakan lebih tegas.

Jelasnya, kilang berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Ia menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas sejak Khamis lepas.

Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Khamis selepas empat LRA dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau berkenaan.

Air Selangor turut mendapat bantuan daripada operator air negeri lain

Sementara itu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula secara berperingkat bermula pukul 10.30 malam tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, keempat-empat LRA itu mengambil masa 10 jam untuk aktiviti pencucian dan pengepaman di setiap bahagian dalam proses rawatan di LRA.


“Ini bagi membolehkan operasi penuh berjalan dengan mengisi kolam imbangan sehingga ke paras 4 meter yang dijangka selesai pada 8.30 pagi ini sebelum ia dapat diagihkan kepada pengguna.

“Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan selepas sistem agihan bekalan air distabilkan terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Air Selangor menjelaskan, pihaknya terus melaksanakan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 500 juta liter sehari (JLH), Empangan Sungai Tinggi sebanyak 800 JLH, HORAS 600 sebanyak 150 JLH.

“Operasi pengepaman kolam air pula sebanyak 2,023 JLH untuk membantu proses pemulihan sumber air mentah bagi keempat-empat LRA yang kini sedang beroperasi merawat air dengan kapasiti maksimum sebanyak 2,850 JLH.

“Air Selangor sudah mendapat bantuan sembilan lori tangki daripada operator air negeri lain seperti Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd (SAJ) untuk membantu mengagihkan air kepada pengguna yang terjejas,” katanya.

Ujarnya, bantuan bekalan air kecemasan yang dilaksanakan oleh Air Selangor sehingga kini adalah menggerakkan 114 lori tangki termasuk sembilan dari operator negeri lain.

“Sebanyak 22 pili awam di kawasan yang mempunyai bekalan air, menempatkan 70 tangki statik di 19 Pusat Khidmat Setempat serta mengagihkan air minum lima liter kepada pengguna yang terjejas.

“Air Selangor akan mengemas kini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi,” katanya.

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan