30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Hentikan operasi semua kilang berhampiran rizab sungai

Mesti Baca

KENYATAAN Air Selangor bahawa gangguan bekalan air kepada kira-kira1.2 juta pengguna di Lembah Klang dijangka berterusan selama empat hari lagi jelas ibarat mimpi ngeri buat penduduk.

Manakan tidak, pihak syarikat masih tidak dapat memberi jaminan bila status henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dapat kembali beroperasi.

Tanpa sempat membuat persiapan untuk menyimpan bekalan air secukupnya, penduduk terputus bekalan air yang menjadi nadi kehidupan seharian mereka.

ANGGOTA SPAN mengambil sampel air dari Sungai Gong dekat Rawang.

Ironinya, isu pencemaran bekalan air bukanlah perkara baharu di Lembah Klang, boleh dikatakan berlaku hampir saban tahun sehingga menjadi modal politik bagi mana-mana parti yang menjadi kerajaan mahu pun pembangkang.

Namun persoalan timbul mengapa masalah sama berulang tanpa ada usaha mencegahnya.

Pada 2016, sebuah kilang kitar semula minyak enjin kenderaan di Sungai Lalang, Semenyih, diarahkan tutup serta-merta selepas dipercayai menjadi punca pencemaran bau Sungai Semenyih hingga menyebabkan kehidupan lebih sejuta penduduk di kawasan sekitar terjejas.

Sejak itu, gesaan timbul supaya operasi kilang-kilang haram di seluruh negara terutama yang terletak berhampiran rizab sungai perlu dihentikan segera bagi mengelakkan masalah pencemaran kepada sumber air.

Namun di Selangor, kilang-kilang di tepi sungai ini dilihat terus dibiarkan wujud dan beroperasi tanpa kawalan ketika kerajaan negeri sebaliknya merobohkan rumah penduduk yang didakwa didirikan di rizab sungai.

PIHAK berkuasa menyita sebuah kilang di Sungai Gong kerana jadi punca pencemaran air.

Ini dibuktikan dengan masalah air terbaharu yang dikatakan berpunca daripada sebuah kilang jentera berat sehingga menjadi punca pencemaran Sungai Gong, Rawang yang mengalir ke loji rawatan air.

Kilang tersebut dipercayai tidak mengendalikan proses penyelenggaraan jentera berat itu dengan baik sehingga menyebabkan bahan pelarut mengalir ke longkang sekali gus mengakibatkan pencemaran di sungai itu.

Tambah mengejutkan, ini merupakan kali kedua kilang itu terlibat dengan insiden pencemaran sungai tersebut memandangkan kejadian pertama pernah berlaku sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Jelas di sini, pemilik kilang itu tidak serik dengan hukuman sedia ada.

Oleh itu, adalah wajar jika kerajaan pusat dan kerajaan negeri memulakan usaha menggubal undang-undang sedia ada kerana hukuman itu dilihat tidak begitu menggerunkan pemilik kilang ini.

Tambahan hukuman seperti batal lesen atau rampas tanah dilihat lebih ideal bagi mengajar mereka yang menjadi punca pencemaran ini.

Malah, pemilik kilang yang menyebabkan gangguan bekalan air perlu membayar pampasan kepada golongan terkesan.

Buat masa ini difahamkan, pihak yang mencemarkan sungai akan disiasat mengikut Seksyen 34(B)(1)(b) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa hukuman boleh didenda sehingga RM500,000 dan penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

Bagi kerajaan negeri, pastikan tiada lagi kawasan perindustrian baharu berhampiran rizab sungai diluluskankerana ia jelas lebih memudaratkan.

Selain itu, bagi premis sedia ada, mungkin kerajaan negeri boleh berunding dengan pemilik kilang untuk memindahkan mereka ke lokasi baharu.

Jika tidak, langkah pemantauan terhadap operasi kilang khasnya berhampiran sungai perlu dipertingkatkan bagi memastikan mereka mematuhi syarat dan lesen terutamanya melibatkan penstoran sisa kumbahan.

Jangan berlembut sangat dengan pemilik kilang atau premis yang mencemarkan sungai ini, angkara mereka, jutaan penduduk merana. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan