KUALA LUMPUR – Kilang membaiki jentera berat yang menjadi punca pencemaran air di Sungai Gong, Rawang diarah tutup serta diminta mengosongkan tanah itu dengan segera.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, arahan berkenaan terkandung dalam Notis Perlanggaran Syarat (7A) Pejabat Daerah dan Tanah Gombak dan akan diserahkan kepada pemilik berkenaan.
“Kita arahkan pemilik untuk pulihkan tanah, kena robohkan bangunan dan operasinya. Paling tidak dalam tempoh 3 hingga 4 bulan kita akan tutup sebelum kita pastikan tempat berkenaan betul-betul selamat.
“Kita akan semak sekerap mungkin. Mereka sudah menyusahkan 1.197 juta pemegang akaun (bekalan air) di seluruh negara. Pada Isnin, Pejabat Tanah akan keluarkan notis 7A yang meminta kilang berkenaan mengembalikan peranan asal tanah tersebut.
“Bahkan, kita juga meminta supaya Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad memotong bekalan air dan elektrik supaya mengelakkan kilang itu beroperasi lagi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, hari ini.
Pencemaran air dikesan di Sungai Gong, Rawang, yang mengalir ke Sungai Sembah dan memasuki Sungai Selangor, yang merupakan sungai utama takungan air.
Terdahulu, Air Selangor memaklumkan bekalan air mula disalurkan kepada pengguna bermula jam 12 tengah hari hari ini melibatkan 4 wilayah.
Air Selangor turut menjangka lebih 50% kawasan terjejas akan kembali pulih dalam tempoh 2 hari bemula hari ini sehingga 7 September.
Ia melibatkan kawasan Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat, Kuala Selangor.
Amirudin yang dipetik Free Malaysia Today berkata, kilang berkenaan sebelum ini pernah dikenakan tindakan kompaun RM60,000 atas kesalahan mencemarkan sumber air pada Mac lalu, namun pihaknya kekurangan bukti untuk mengambil tindakan tutup operasi.
“Jabatan Alam Sekitar memaklumkan mereka sudah kenakan kompaun kali pertama ke atas syarikat berkenaan dan pihak perbandaran Selayang sudah mengeluarkan arahan henti operasi dan mereka sudah berhenti.
“Tetapi selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sekitar bulan Jun, mereka kembali beroperasi. Pada masa sama Jabatan Alam Sekitar memaklumkan bahawa kilang berkenaan memberi khidmat kebersihan, jadi tidak ada bukti yang cukup kuat,” katanya.
Pada masa sama, Amirudin turut menasihati orang ramai supaya tidak terburu-buru menadah atau menyimpan air, yang menurutnya akan menganggu operasi penyaluran semula air kepada penududuk.
Sebelum ini, polis menahan 4 lelaki pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.
Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata, semua suspek yang berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi.
Siasatan awal mendapati kilang berkenaan diusahakan 4 suspek yang juga adik-beradik. Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan khianat sehingga memutuskan bekalan air untuk pertanian, makanan atau minuman.
Sementara itu, Amirudin berkata, Selangor berhasrat untuk menambah baik Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 dengan meningkatkan denda maksimum daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
Menurutnya, enakmen ini akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bersidang bermula Oktober hingga November depan untuk tujuan pindaan dan tambah baik.
“Kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor dengan lembaga pengarah, kita hendak tambah baik enakmen ini. Di bawah enakmen sebelum ini denda bagi kesalahan pencemaran alam sekitar adalah RM500,000 dan kita rancang tingkat ke RM1 juta.
“Enakmen ini perlu dibawa ke DUN, yang akan bersidang Oktober hingga November, untuk kita ubah dan tambah kriteria terbabit,” katanya.