WASHINGTON DC – Sebuah pesawat pengintip Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) didakwa sengaja menggunakan kod transponder secara elektronik dengan ‘menyamar’ sebagai kapal terbang Malaysia.
Perkara tersebut didedahkan oleh portal majalah kejuruteraan ternama antarabangsa yang berpusat di New York, Popular Mechanics menerusi laporan eksklusif yang disiarkan pada 10 September lepas.
Menurut laman berkenaan lagi, pesawat jenis RC-135W Rivet Joint itu dipercayai dalam tugasan misi pengintipan khas ke atas beberapa buah pangkalan rahsia tentera pembebasan rakyat (PLA) China.
Model keluaran Boeing dibina sejak 1961 itu dikesan terbang ke Pulau Hainan pada 8 September lalu dalam jarak 90 kilometer dari tanah besar China sebelum mula memasuki perairan Laut China Selatan.
Portal berkenaan turut memetik tangkap layar dari sebuah kumpulan pemikir berprestij dikendalikan oleh kerajaan China sendiri, Inisiatif Penyelidikan Laut China Selatan dan berpusat di Beijing.
Ia menunjukkan pesawat itu berlepas dari Pangkalan Udara Kadena milik Tentera Udara AS di Pulau Okinawa, Jepun yang menempatkan markas komando unit perisikan 353rd Special Operation Group.
Pada mulanya, pesawat itu terbang ke arah barat daya dengan mengikut rantaian 100 buah pulau Ryukyu, wilayah pentadbiran Jepun di Lautan Pasifik dan melalui Taiwan untuk melewati pantai di Pulau Hainan.
Nombor Mode-S iaitu pengesan 24-bit yang diberikan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) kepada semua kapal terbang dan disiarkan oleh pemancar dari pesawat itu ialah AE01CE.
Pada masa sama ujar Popular Mechanics, nombor Mode-S itu secara tiba-tiba berubah daripada AE01CE kepada 750548 dan ia nombor ICAO untuk rujukan pesawat Malaysia yang ‘tidak diketahui’.
Pesawat itu kemudian terbang dengan pola lintasan antara Pulau Hainan dan gugusan Paracel, sebuah pulau kecil di Laut China Selatan yang ditawan oleh China, namun pemilikannya dipertikaikan.
“Nombor ICAO tidak boleh diubah, kerana ia akan menjejaskan tahap keyakinan terhadap sistem identiti pesawat, tetapi tidak jelas mengapa RC-135W cuba melakukan penipuan itu,” lapor Popular Mechanics.
Ia diakui penyelidik perisikan terkenal Kanada, Steffan Watkins yang memaklumkan portal itu bahawa pesawat ini pernah juga ditugaskan untuk mengintip di zon konflik ruang udara Rusia, Ukraine dan Syria.
Bagaimanapun, pendedahan badan pemikir China itu mungkin untuk beri ‘amaran’ kepada Jabatan Pertahanan AS di Pentagon yang pihak PLA dapat menjejak penyamaran pencerobohan tentera asing.
Beijing diketahui sengaja membina pangkalan tentera di Laut China Selatan kerana menganggap ia sebahagian daripada wilayahnya yang turut dituntut bertindih oleh kerajaan Malaysia, Vietnam, Filipina, Taiwan dan Brunei.