24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

PBS ada kuasa penentu, ditawar menjadi ‘katak politik’

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Belum sempat 48 jam diumumkan tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Warisan Plus dilaporkan mula memancing sokongan daripada calon-calon yang menang.

Antara wakil rakyat yang menjadi ‘buruan’ parti tersebut ialah Parti Bersatu Sabah (PBS) yang memenangi tujuh daripada 73 kerusi yang dipertandingkan selain tiga calon Bebas.

PBS dan ADUN Bebas kini menjadi ‘kuasa penentu’ untuk mana-mana parti membentuk kerajaan setelah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengatasi Warisan Plus dengan hanya berkelebihan enam kerusi.

Walaupun PBS sebelum ini bersama-sama Barisan Nasional dan Perikatan Nasional membentuk GRS semasa berkempen, namun keputusan PRN Sabah memungkinkan apa sahaja berlaku.

Bagaimanapun PBS menafikan mereka akan berpaling tadah dengan menyertai Warisan Plus, sebaliknya mahu kekal dalam GRS untuk membentuk kerajaan negeri bersama BN dan PN.

Dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya semalam, PBS mendakwa pihak lawan sanggup menawarkan wang dan jawatan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili parti itu.

“Dalam kemelut pelantikan calon Ketua Menteri yang belum diumumkan, propaganda politik mulai tersebar, khabar angin pengkhianatan mula bertiup dan PBS sekali lagi menjadi mangsa sasaran termasuk difitnah.

“Mainan politik kotor oleh parti lawan yang pada masa kempen kononnya mengamalkan nilai prinsip dan maruah, nilai kesatuan dan integriti, kini berubah wajah, berubah rupa.

Advertisements

“Mereka yang kononnya parti tempatan lebih baik dari parti Malaya tapi sebenarnya bertopengkan musang,” kata kenyataan tersebut.

Walaupun PBS menolak ‘permainan kotor’ tersebut, namun seorang ADUN mereka dilaporkan Astro Awani, telah ‘menyeberang’ ke parti lawan.

Beliau yang dimaksudkan ialah Naib Presiden PBS yang juga ADUN Labuk, Abdul Rahman Kongkawang.

Abdul Rahman menyerahkan borang keahliannya kepada Shafie sehari selepas pilihan raya itu diadakan.

Mengulas isu tersebut, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyindir tindakan Warisan yang semasa kempen PRN Sabah menentang politik wang dan membasmi ‘katak politik’.

“Parti kapal yang berkempen dengan mesej kononnya mahu lawan politik wang dan basmi katak politik sekarang tengah main politik wang untuk mewujudkan katak politik setelah kalah PRN?” soalnya dalam Facebook beliau.

Jika keadaan ini berlaku, bermakna jutaan wang rakyat yang digunakan oleh Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan PRN Sabah bagi mengatasi ‘kemelut’ kerajaan negeri itu sia-sia.

Kemelut yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 nampaknya masih berterusan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan