KUALA LUMPUR – Kecoh di laman sosial malam tadi apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) mendakwa “parti kapal” berusaha memancing Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang baru dipilih sementara menunggu pembentukan kerajaan baharu.
Malah menurut laporan Free Malaysia Today, sekumpulan ADUN yang baru dilantik dari Gabungan Rakyat Sabah dipercayai berada dalam perjumpaan lewat malam tadi dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sewaktu meningkatnya spekulasi mengenai pembelotan untuk menyertai bekas gabungan pemerintah itu.
“Ya, pasti, mereka semua berkumpul di rumah Shafie,” menurut sumber Warisan, merujuk kepada ahli GRS dan pemimpin Warisan.
Pertemuan itu dibuat beberapa jam selepas PBS secara tidak langsung menuduh Warisan cuba memancing ADUN parti itu berikutan kegagalan Warisan memperoleh majoriti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kelmarin.
Kenyataan PBS itu menyebut tentang tawaran wang dan jawatan yang dibuat.
Malah, Ketua Penerangan PBS Joniston Bangkuai menafikan dakwaan bahawa parti itu akan bergabung dengan Warisan Plus untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Jika benar dakwaan ini, mana maruah Warisan apabila dilihat terdesak mempertahankan kerajaan mereka sebelum ini selepas berkempen menentang rasuah politik.
Ironinya, sebelum kempen PRN bermula, Warisan dilihat bersungguh-sungguh hanya mahu memilih calon yang setia kepada parti dan tidak memilih ‘katak politik’ sebagai calon parti.
Shafie sebelum ini berkata, tidak ada guna meletak calon yang mempunyai kredibiliti, namun akhirnya berpaling tadah dan melompat parti.
“Ada muka baharu (yang akan dilantik) dan sedikit latar belakang berkebolehan dari segi pendidikan. Tetapi itu bukan kriteria utama sebaliknya kita akan memilih muka baharu bukan sahaja berkelulusan tinggi tetapi mereka yang kita tidak mahu lompat parti.
“Kita boleh letak pemegang ijazah, pakar atau doktor tetapi esok kalau mereka lompat parti, tiada gunanya. Yang penting calon mesti mempunyai kesetiaan terhadap perjuangan parti,” katanya.
Adakah Warisan menggunakan politik wang untuk melahirkan ‘katak politik’ setelah kalah PRN negeri?
Jika dakwaan ini benar, episod 2018 apabila lima ADUN UPKO meninggalkan Barisan Nasional (BN) menyebabkan kerajaan negeri berusia dua hari yang diketuai oleh bekas ketua menteri Musa Aman tumbang, dan membuka jalan kepada presiden Warisan Shafie Apdal menggantikan beliau pasti bakal berulang.
Tambah menyedihkan jika ia berlaku, hasrat Gabungan Rakyat Sabah membentuk kerajaan negeri pasti lebur.