24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Arab Saudi mula ajar Bahasa Inggeris di sekolah rendah

Mesti Baca

RIYADH – Kementerian Pendidikan Arab Saudi dijangka secara rasmi memulakan pengajaran subjek Bahasa Inggeris kepada semua murid darjah satu sekolah rendah pada sesi akademik baharu tahun depan.

Media tempatan melaporkan bahawa Menteri Pendidikannya, Dr. Hamad bin Mohammed Al-Asheikh mengesahkan pengajian subjek itu antara lima pembaharuan yang bakal dilaksanakan di seluruh negara.

Bercakap menerusi bual bicara Al-Raasd yang disiarkan stesen televisyen milik pemerintah, Al-Ekhbariya, beliau menambah, langkah drastik reformasi pendidikan itu termasuk fokus terhadap pendidikan Sains dan Matematik.

Hamad malah menjelaskan bahawa ratusan ribu murid darjah empat di negara terbesar rantau Asia Barat itu turut akan didedahkan kepada mata pelajaran digital yang bermula pada takwim sesi 2021/2022 kelak.

“Kementerian akan melaksanakan banyak perubahan besar yang bermatlamat beri manfaat kepada pelajar sebagai warga masa hadapan serta mampu bersaing hebat di peringkat antarabangsa,” tegas beliau.

Empat pengajian baharu itu pula bakal diperkenalkan di kesemua lebih 30,000 buah sekolah rendah awam, manakala subjek kelima iaitu pengajian bertaraf global hanya eksklusif di sekolah utama yang terpilih.

Advertisements

Justeru, Hamad memberi jaminan segala pembaharuan itu wajar segera dilakukan kerana Arab Saudi tidak berupaya tambah baik sistem pendidikan tinggi kecuali rombak pengajian dari peringkat sekolah rendah.

“Ada beberapa mata pelajaran yang mungkin perlu dilakukan secara dalam talian selain pembelajaran jarak jauh dijangka masih berterusan lagi meskipun wabak COVID-19 telah berjaya dikawal habis,” katanya.

Subjek Bahasa Inggeris mula diajar secara formal di semua sekolah rendah di Arab Saudi sejak tahun 2005 secara bertahap yang melibatkan murid darjah enam sebelum diperluaskan lagi sehingga darjah dua.

Ketika peringkat permulaan itu, ramai ibu bapa dan ulama menentang keras usaha tersebut kerana mendakwa pengajaran bahasa Inggeris kononnya menjejaskan penguasaan bahasa Arab serta dianggap bersifat duniawi.

Arab Saudi pada masa ini mempunyai hampir 3.8 juta murid di sekolah rendah kerajaan yang ditawarkan percuma selama enam tahun kepada semua warganegara tempatan bermula dari usia enam tahun. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan