34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Orang Sabah mahu PCS bentuk kerajaan – Anifah

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Santai, bersahaja tetapi tegas – Itulah kesimpulan yang boleh dibuat jika kita mengikuti wawancara pemilik akaun Facebook Ulasan Apek Cina bersama bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang disiarkan dalam Facebook tersebut semalam.

Dalam wawancara selama 15 minit itu, Anifah yang kini menjadi Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) menjawab beberapa soal ‘pedas’ secara santai tetapi menampakkan ketegasan beliau sebagai seorang ahli politik khususnya bagi memperjuangkan nasib rakyat Sabah.

Sekali sekala, Anifah dilihat seperti bergurau apabila menjawab soalan tetapi jawapan diberikan penuh makna. Sebagai contoh, ketika ditanya oleh Apek Cina atau sebenarnya Zee How Tai, apakah satu kebaikan yang dibuat oleh Parti Warisan sepanjang memerintah Sabah, Anifah berkata, “tidak ada’’.

Apabila diminta oleh Apek Cina untuk berfikir sejenak sebelum memberi jawapan kali kedua, Anifah berkata, “Saya sudah fikir, memang tidak ada’’.

Berikut sedutan antara soalan yang diajukan oleh How Tai dalam wawancara yang turut disiarkan dalam Facebook Anifah itu:

  • Tidak lompat parti tetapi tubuh parti

Saya bukan katak, saya tak lompat, saya jadi (Ahli Parlimen) Bebas sebab-sebab tertentu yang saya janji sebelum pilihan raya (PRU-14) iaitu kalau hak-hak Sabah tidak dilaksanakan termasuk Perjanjian MA63 dan apa yang termaktub dalam Perlembagaan, saya akan keluar daripada UMNO, saya bukan lompat, saya keluar.

  • Alasan tidak sama dengan wakil rakyat melompat

Alasan saya dengan mereka tidak sama, mereka lompat pergi ke satu parti lain, saya keluar buat satu parti, bukan lompat. sekarang saya Presiden parti (PCS).

Saya mahu bantu rakyat Sabah tetapi boleh bekerjasama dengan parti semenanjung (tetapi) jangan mereka ganggu sini, biar orang Sabah jaga Sabah sendiri.

  • Hubungan rapat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal?

Saya cuma rapat dengan Najib kerana dahulu beliau adalah ‘boss saya’, saya tidak rapat dengan Tun Mahathir dan Shafie.

  • Kalau Najib ajak minum kopi di Sabah?

Kawan punya pasal, boss lama punya pasal… boleh – kawan secara peribadi.

  • Tuntutan Filipina – Kalau tak iktiraf, tidak perlu bincang

Kita kena faham dasar luar negara Malaysia, bukan senang-senang mahu cakap.

Dalam isu Filipina, kita kata kita tidak iktiraf tuntutan Filipina terhadap Sabah. (maknanya) Kalau tidak iktiraf tidak (perlu) bincang. Kalau ada bincang, erti kata kita iktiraf.

(Oleh itu) tidak payah buat apa-apa. Kalau kita tak iktiraf kenapa mahu bincang, kalau kita iktiraf mesti mahu runding.

  • Tetap rapat dengan Musa Aman

Kita adik beradik tetapi kita ada satu prinsip, di rumah jangan cerita pasal politik tetapi kita rapat. (Kali terakhir berjumpa) – Dua bulan lalu (susah bertemu) sebab saya selalu masuk kampung, dia pula selalu ke Kuala Lumpur.

  • Tuntut royalti minyak demi rakyat Sabah

Kita mahu tuntut apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian MA63.

Pada tahun 2015, saya menjemput semua menteri-menteri dari Sabah supaya mengutarakan satu memorandum untuk disampaikan kepada Perdana Menteri ketika itu, kita mahu tuntut kita (Sabah) punya share (dalam minyak).

(Kalau mengikut) Perjanjian MA63 tuntutan royalti adalah 40 peratus – (satu jumlah) boleh banyak bantu rakyat Sabah (seperti) menyediakan kemudahan di luar bandar.

  • Bukan bersikap rasis ke atas PATI

Tidak peduli siapa dia. (Sama ada) Pakistan ke, Rohingya ke, China atau Filipina, (Kalau) tidak ada dokumen datang ke Sabah, (mereka) adalah PATI, (saya) bukan cakap satu bangsa sahaja, (tetapi) untuk orang-orang yang tidak ada dokumen sah, dia (adalah) pendatang tanpa izin .(Dituduh bersikap perkauman) Itu politik, (lawan) tidak ada modal lagi.

  • Peluang Parti Cinta Sabah dalam PRN Sabah

Saya sudah pergi banyak tempat, orang sabah semua macam saya fikir, kita mahu jadi tuan sendiri, tentukan masa hadapan anak sendiri. Saya sudah tengok sentimen orang Sabah, kita boleh tubuh kerajaan. Saya tidak mahu cakap pasal orang (parti lain), tetapi orang Sabah mahu PCS bentuk kerajaan.

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan