KUALA LUMPUR – Para petugas barisan hadapan dari Semenanjung telah digerakkan ke Tawau, Sabah bagi membantu pasukan di sana menangani wabak Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka terdiri daripada para pegawai perubatan yang berkhidmat di Kelantan, Terengganu, Pahang serta Kuala Lumpur.
“Kesemua petugas barisan hadapan ini telah bersiap-sedia untuk menjalankan tugas di lapangan dalam usaha negara membendung penularan pandemik Covid-19.
“Mobilisasi petugas kesihatan ke negeri Sabah ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan melibatkan pelbagai kategori perjawatan lain seperti pakar perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat, juruteknologi makmal perubatan, pegawai sains mikrobiologi dan lain-lain,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Noor Hisham berkata, pasukan yang berlepas ke Sabah malam ini terdiri daripada para pegawai dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Hospital Kemaman, Hospital Besut, Hospital Setiu dan Hospital Dungun, Terengganu.
Turut berlepas, pasukan dari Kelantan terdiri daripada pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Tanah Merah, Hospital Tengku Anis, Hospital Jeli dan Hospital Gua Musang.
Sementara petugas dari Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Hospital Kuala Lipis, Hospital Jerantut dan Hospital Muadzam Shah, Pahang turut terlibat.
Kenyataan Kementerian Kesihatan mengesahkan sebanyak 147 kes baharu dicatatkan hari ini dengan 134 daripadanya melibatkan penularan di Sabah.
Manakala tiga kematian dicatatkan dengan dua kes kematian berlaku di Hospital Tawau membabitkan seorang perempuan warganegara Indonesia berusia 48 tahun dan lelaki tempatan berumur 54 tahun.
Satu kematian lagi melibatkan rakyat tempatan berusia 72 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Sabah juga akan melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini dan sehingga kini dua pemimpin parti politik disahkan positif Covid-19 ketika berkempen di negeri itu.
Sehingga kini enam daerah di Sabah diletakkan sebagai zon merah Covid-19 iaitu Tawau, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Semporna, Sandakan dan Kunak. – Edisi 9