24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Covid-19: Ketua Penerangan UMNO positif, Presiden negatif

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan hari ini mengesahkan beliau positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan semalam.

Shahril berkata, sebagai langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan kes ditambah faktor ada berkempen di Sabah, beliau  memutuskan untuk menjalani ujian di Kuala Lumpur.

Katanya, beliau tidak mengalami simptom yang jelas melainkan rasa penat sedikit.

“Baru sahaja terima panggilan dan akan dibawa untuk menjalani rawatan hari ini.

“Saya minta maaf atas segala kesulitan yang bakal dihadapi oleh mereka yang mempunyai kontak dengan saya,” ciap beliau di Twitter.

Shahril mengunjungi beberapa lokasi di Sabah sejak Sabtu lalu hingga semalam bagi membantu kempen calon-calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). 

Dalam perkembangan berkaitan, keputusan ujian saringan kedua Covid-19 yang dijalani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin adalah negatif.

Perkara itu dimaklumkan peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid dalam kes pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menerusi WhatsApp ketika dihubungi Bernama hari ini.

Advertisements

“Keputusan ujian kedua RT-PCR Datuk Seri Ahmad Zahid yang keluar pada 9.30 malam tadi adalah negatif. Kami telah maklumkan (keputusan) kepada mahkamah dan pihak pendakwaan,” katanya.

Semasa prosiding perbicaraan kes Ahmad Zahid kelmarin, mahkamah membenarkan permohonan bekas timbalan perdana menteri itu untuk menangguhkan perbicaraan pada petang Isnin dan semalam, susulan ujian saringan Covid-19 yang dijalaninya.

Ini berikutan, Hamidi memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menjalani ujian saringan kedua di Hospital KPJ Tawakal di sini pada Isnin lalu.

Peguam itu berkata keputusan bagi ujian saringan pertama Ahmad Zahid adalah negatif.

Berdasarkan akaun media sosial rasmi milik Presiden UMNO itu, beliau berada di Sabah sejak minggu lepas bagi kempen Pilihan Raya Negeri Sabah dan tiba di sini Ahad lalu.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan kes itu akan bersambung Isnin depan.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan