32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Anwar kata ada majoriti, dakwa kerajaan Muhyiddin jatuh

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tidak sampai enam bulan, krisis politik berakhir berikutan kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan dan diganti dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN), negara yang sedang berhadapan pandemik Covid-19 dikejutkan dengan pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau mempunyai majoriti menyakinkan bagi membentuk kerajaan baru.

Pada sidang akhbar, hari ini, Presiden PKR itu turut ‘mengisytiharkan’ kerajaan sedia ada yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah jatuh berikutan perolehan sokongan majoriti Ahli Parlimen yang diterima oleh Ahli Parlimen Port Dickson tersebut.

‘’Pada saat ini kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin telah jatuh,’’ katanya sambil disambut tepukan daripada penyokong-penyokong beliau.

Menurut Anwar, majoriti yang diperolehi adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis dan memberi jaminan bahawa beliau memiliki dokumen tetapi yang tidak boleh diragui bagi membuktikan bahawa beliau kini mempunyai majoriti menubuhkan kerajaan baru.

‘’Bukan empat, lima atau enam(kerusi) tetapi majoriti,’’ katanya sambil menambah Ahli Parlimen yang menyokong terdiri daripada pelbagai parti,’’ katanya.

Pada sidang akhbar tersebut, walaupun diasak berkali-kali supaya beliau menyatakan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya, namun Anwar enggan mengumumkan dengan menegaskan, butiran akan hanya diberikan selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agomng yang kini sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.

Anwar berkata, beliau sudahpun mendapat perkenan menghadap yang di-Pertuan Agong semalam tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Seri Paduka dirawat di IJN.

‘’Maklumat selanjtnya akan saya maklumkan lepas menghadap baginda Agong dalam masa terdekat. Insha-Allah. Pentadbiran ini pasti wakili semua rakyat. Majoriti Melayu bumiputera dan perwakilan daripada semua kaum di negara kita.

‘’Kami tetap menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan yang mengiktiraf kedudukan Islam, kedaulatan raja-raja Melayu, memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta kedudukan istimewa Melayu-Bumiputera di samping jaminan tegas mempertahankan hak warga pelbagai kaun lain,’’ katanya.

Beliau berjanji akan membentuk sebuah kerajaan dengan tatakelola berintegriti dan komited untuk menangani krisis yang melanda negara, menghentikan amalan rasuah dan membela nasib rakyat.

‘’Insha-Allah saya akan tunaikan janji saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, aman dan adil untuk seluruh rakyatnya,’’ kata beliau.

Sementara itu Muhyiddin dijangka menyampaikan perutusan khas pada pukul 2.30 petang ini.

Setakat ini tiada maklumat terperinci berhubung perkara yang akan disentuh oleh Perdana Menteri.

Bagaimanapun persoalannya sampai ke bilakah negara akan terjerumus dalam pertukaran kerajaan berkali-kali kerana Ahli Parlimen mengubah sokongan?

Justeru ramai berpendapat cara terbaik ialah Perdana Menteri memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat, ia adalah cara terbaik bagi membolehkan mereka membuat keputusan memilih parti mana yang akan mereka undi untuk menubuhkan kerajaan dengan lebih kukuh. – Edisi 9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan