28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

UMNO Sabah, hayati sejarah Perang Uhud

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

GELANGGANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah belum lagi dibuka, namun sudah ada ayam sabung yang berkelahi sesama sendiri hanya kerana ingin menjadi ketua.

Begitulah yang berlaku dalam kepimpinan UMNO Sabah apabila pelantikan Bung Moktar Radin sebagai ketua jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya itu mendapat bantahan dalaman.

Abdul Rahman Dahlan membantah perlantikan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi itu dengan alasan Bung tiada kreadibiliti dan terpalit dengan kes mahkamah.

Lebih parah, perselisihan ini dibuat secara terbuka apabila Abdul Rahman membuat sidang akhbar malam tadi, dan turut disiar secara langsung menerusi media sosial.

Sebetulnya penulis sedikit pun tidak pelik dengan insiden ini kerana sangat memahami fiil para pemimpin UMNO, apatah lagi UMNO Sabah.

Berebut jawatan, tikam menikam, melompat parti seolah-olah sudah menjadi kelaziman mereka walaupun parti itu ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Menggunakan alasan Bung mempunyai kes mahkamah sehingga beliau tidak kompeten untuk mengetuai jentera pilihan raya negeri mungkin ada benarnya, namun UMNO sepatutnya menggunakan kebijaksanaan dalam menangani isu seperti ini.

UMNO Sabah patut mencontohi bagaimana jentera pilihan raya PKR mempertahankan pemimpin mereka yang terpalit dengan kes liwat dan dua kali dipenjarakan tetapi masih boleh menewaskan lawan dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Lagi pula kalau mahu mengambil kira soal ini, Presiden UMNO sendiri sedang berhadapan dengan kes-kes mahkamah. Jadi sudah tentu ia bukanlah isu besar untuk menghadapi PRN yang diadakan buat kali pertama di negeri ini.

Memang benar autonomi diberikan kepada UMNO Sabah untuk menentukan calon dan memilih seorang Ketua Menteri jika memenangi PRN dengan majoriti yang mencukupi, namun sudah tentu Bung sebagai Pengerusi BN negeri diberi lebih kuasa untuk menentukannya.

Lagipun autonomi yang dimaksudkan dalam kes ini ialah tiada campur tangan Ibu Pejabat UMNO terhadap pentadbiran UMNO Sabah, tetapi tidak bermakna segalanya diserahkan kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Penulis bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak tetapi bagi penulis sepatutnya Abdul Rahman lebih bersabar dan menunggu langkah yang diambil oleh Bung seterusnya.

Bung, walaupun diberi kuasa untuk mengetuai jentera, sudah tentu memerlukan pasukan yang kuat untuk menggerakkan jentera tersebut, termasuk Abdul Rahman sendiri selaku pemimpin muda.

Apatah lagi Sabah merupakan negeri yang unik dengan para pemimpin yang dinamik, dari pelbagai suku serta begitu banyak parti-parti politik tempatan.

Maka sudah tentu tugas ketua jentera pilihan raya tidak mudah, dan dalam hal ini siapa sahaja yang dilantik, memerlukan sokongan semua pihak.

Memang benar masih ramai lagi pemimpin UMNO Sabah yang boleh mengetuai jentera pilihan raya namun ketika UMNO negeri hampir lumpuh lantaran tindakan bekas pemimpin mereka meninggalkan parti, Bung berjaya membangkitkan semula parti.

Dalam menggerakkan jentera pilihan raya, sudah tentu kepemimpinan tidak cukup sebaliknya perlu disertakan dengan strategi yang tepat dan ‘tahan banting’.

Justeru, demi kebaikan parti yang akan berhadapan PRN bulan depan, pucuk pimpinan UMNO Sabah perlulah berbesar hati dan menerima siapa sahaja ketua yang dilantik.

Lagi pula Zahid sudah tentu tidak mahu peristiwa PRU-14 berulang apabila Ketua Perhubungan UMNO negeri yang dipercayai untuk menggerakkan parti sebaliknya meninggalkan ‘kapal’ setelah BN tumbang di peringkat Pusat.

Dan apa yang lebih penting mereka perlu patuh dengan arahan dan strategi yang sudah diatur kerana musuh untuk dilawan adalah yang berada di seberang sana, bukannya di dalam pasukan.

Hayatilah peperangan Uhud ketika zaman Rasulullah SAW dahulu dan jadikannya sebagai pengajaran.

Dalam peperangan itu tentera Islam tewas angkara ketamakan dan kegagalan para tentera mematuhi arahan jeneral perang mereka, iaitu Rasulullah SAW sendiri.

Jadi, ayuhlah UMNO Sabah, insafi diri kerana rakyat memerhati.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan