25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 5, 2024

Bersatu sertai MN: UMNO tidak boleh salah perhitungan

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SATU fakta atau catatan sejarah yang tidak harus dilupakan oleh UMNO ialah mereka kehilangan kuasa selepas 61 tahun memerintah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 di tangan bekas Presidennya Tun Dr.Mahathir Mohamad. 

Tindakan bekas Perdana Menteri itu mengenepikan segala persengketaan dan kebencian politik beliau terhadap PKR yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah memungkinkan mereka bergabung dalam Pakatan Harapan (PH).

Walaupun sejarah persengketaan politik mereka amat hebat tetapi mereka mengenepikan semua itu kerana misi utama pada masa tersebut ialah menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dan ternyata ‘perubahan sikap’ politik itu mendatangkan hasil, apabila BN kehilangan kuasa dan Dr.Mahathir menjadi Perdana Menteri kali kedua.

Penulis mengimbas kembali sejarah ini kerana ia mungkin sedikit sebanyak boleh menjadi renungan kepada pemimpin, ahli dan penyokong UMNO yang kini berhadapan dengan ‘dilema’ sama ada menerima atau tidak, penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional yang turut dianggotai oleh Pas.

Muafakat Nasional ditubuhkan dengan matlamat menyatukan dua parti terbesar orang Melayu yang berpuluh-puluh tahun bersengketa, berbalah dan caci mencaci antara satu lain. Kalau mahu melihat sejarah persengketaan antara kedua-dua parti tersebut terutamanya dalam era 80an dan 90an, ia ‘amat dahsyat sekali’.

Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang, dua pemimpin yang memainkan peranan penting dalam mewujudkan Muafakat Nasional .

Tetapi  atas semangat persaudaraan Islam dan penyatuan ummah serta mahu mengembalikan kekuatan politik orang Melayu, kepemimpinan UMNO yang diterajui oleh Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Pas yang dipimpin oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedia duduk semeja, berbincang dan mencapai kesepakatan mewujudkan Muafakat Nasional.

Hasil permuafakatan itu amat mengagumkan apabila ia berjaya mewujudkan satu gelombang kebangkitan kuasa politik Melayu yang cukup hebat sehingga akhirnya dijemput untuk bersama-sama menubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun kerjasama itu terbatas dalam menguruskan negara sahaja, dari segi kerjasama politik, Bersatu masih bersendirian berbanding UMNO dan Pas yang berada dalam Muafakat Nasional.

Oleh itu apabila Muhyiddin menyatakan Bersatu bersedia menyertai Muafakat Nasional, sepatutnya ia dianggap satu lagi rahmat kerana itu akan memperkukuhkan lagi muafakat tersebut.

Namun ketika ini ia sudah menjadi polemik. Sementara Pas menerima dengan tangan terbuka hasrat Bersatu, di dalam UMNO pula kini bagaikan menuju ke arah berantakan. Ada yang setuju dan ada yang tidak setuju, terbaru dikhabarkan akar umbi UMNO menolak penyertaan Bersatu.

Alasan yang diuar-uarkan ialah akar umbi dan sebahagian pemimpin parti itu tidak dapat melupakan kata-kata nista pemimpin Bersatu terhadap UMNO dan tindakan bekas ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu. Persoalannya, apa pendirian UMNO, menerima atau menolak? Kalau menerima apa kesannya? Kalau menolak apa natijahnya?

Keputusan yang tepat tidak dapat dibuat jika ia terus dikuasai dengan perhitungan untung dan rugi kuasa politik serta terus dibaluti dendam kesumat.

Bagi penulis, persoalan ini hanya boleh dirungkaikan jika di dalam UMNO khususnya di kepemimpinan di peringkat mana sekalipun, terlebih dahulu membersihkan hati dan fikiran mereka sebelum membuat keputusan.

Muafakat Nasional ditubuhkan atas niat yang cukup murni iaitu ‘Penyatuan Ummah’, Muafakat Nasional bukan diwujudkan semata-mata untuk merebut kuasa seperti mana dilakukan Dr.Mahathir yang bekerjasama dengan DAP dan PKR.

Apabila menyebut soal ummah ia melibatkan semua orang Melayu dan Bersatu adalah parti Melayu.

Justeru apakah salah untuk Bersatu menyertai Muafakat Nasional? Apakah kerana mereka bersekutu dengan DAP sebelum ini? Apakah kerana mereka pernah mencaci maki UMNO sebelum ini? Apakah kerana ada ahli Parlimen mereka yang meninggalkan UMNO?

Advertisements

Kalau semua itu mahu diambilkira, sampai ke bilapun penyatuan ummah secara total tidak dapat dilakukan? Kalau Dr.Mahathir boleh menyambut salam daripada pemimpin-pemimpin DAP demi kepentingan politik, apakah kita sebagai seorang Melayu beragama Islam tidak boleh menyambut salam saudara seagama kita untuk bersatu?

Semua ini terletak kepada kebijaksanaan pemimpin-pemimpin UMNO dari pusat hinggalah ke cawangan untuk memainkan peranan memberi pemahaman kepada ahli-ahli akar umbi, jika keputusan menerima Bersatu dibuat. 

Masalahnya dalam UMNO…maaf cakap… ramai pemimpinnya yang ‘kepala sudah dipenuhi ulat politik’ tetapi bijak berbicara seolah-olah mereka mahu mempertahankan kepentingan parti.

Tetapi sebelum wujud Bersatupun, sesama mereka sudah berantakan sebab itulah di dalam UMNO banyak adegan ‘cah keting’, ‘tikam menikam’ dan ‘warlord’ sehingga ada kawasan yang kalah dalam pilihan raya kerana masalah dalaman.

Kenapa tidak, terima sahaja penyertaan Bersatu tetapi dengan syarat yang ketat khususnya dalam soal pembahagian kerusi. Bersatu pula tidak boleh ‘besar kepala’ kalau mahu menyertai Muafakat Nasional, walaupun jawatan Perdana Menteri milik mereka.

Ia kerana mereka kini sedang melemah, di peringkat akar umbi sedang berantakan, tindakan keluar parti semakin merebak, nyawa kuasa politik mereka bergantung kepada ahli-ahli Parlimen UMNO yang melompat parti atau kepada ahli Parlimen yang akan melompat lagi.

Pemimpin Bersatu kena terima hakikatnya. Janganlah bila masuk Muafakat Nasional nak berlagak mahu menjadi ‘taiko’, kena pandai ‘bawa diri’.

Penulis percaya, kalau syarat diketatkan diberikan dan Bersatu pula tidak cuba ‘tunjuk hebat’, insha-Allah tiada apa-apa masalah akan wujud.

Bagaimana pula jika UMNO menolak? Kalau begitu keadaannya, persoalan apakah UMNO sudah cukup kuat untuk berjuang bersendirian? Perlu diingat Pas sudah menyatakan sokongan kepada kehadiran Bersatu ke dalam Muafakat Nasional, adakah Pas akan mengubah pendirian itu jika UMNO menolak?

Memang benar Pas bersama UMNO mewujudkan Muafakat Nasional tetapi Pas juga ada hak untuk menyatakan pendirian mereka kerana akhirnya apa yang lebih penting ialah berhadapan dengan musuh sebenar di gelanggang iaitu PH dan Pejuang. 

Bagaimanapun, jika UMNO menolak penyertaan Bersatu tetapi kekal bersama Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional, perbincangan yang terperinci perlu dilakukan dalam soal pembahagian kerusi.

Mesti ada tolak ansur dan kompromi tahap tertinggi, jika tidak mahu parti Dr. Mahathir dan PH ‘mengaut keuntungan atas angin’ dalam PRU-15 nanti.

Kesimpulannya, apa yang dicoretkan ini adalah pandangan ikhlas penulis dan ramai lagi orang Melayu yang mahukan parti-parti Melayu bersatu dalam satu permuafakatan.

Sesungguhnya perpecahan di antara parti-parti Melayu tidak akan menguntungkan, sebaliknya akan melemahkan kekuatan dan kuasa politik mereka.

Oleh itu sama ada UMNO, Pas mahupun Bersatu, carilah jalan terbaik, buatlah keputusan dengan penuh kebijaksanaan, bukan kerana kepentingan politik semata-mata tetapi kesejahteraan ummah seluruhnya.

Firman Allah SWT  surah al-Hujurat ayat 10;

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Advertisements

Terkini

Kebaya diiktiraf warisan kebudayaan tidak ketara UNESCO

MALAYSIA berjaya mendapat pengiktirafan untuk satu lagi elemen warisan kebudayaan tidak ketara iaitu kebaya sempena sesi ke-19 Intergovernmental Committee...

Lagi Artikel Berkaitan