WELLINGTON – Penyerang dua buah masjid Christchurch, Brenton Tarrant hari ini, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa pembebasan bersyarat, hukuman pertama seumpamanya di New Zealand.
Tarrant warga Australia berusia 29 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan membunuh 51 umat Islam, cubaan membunuh 40 individu lain dan satu pertuduhan keganasan.
Memetik BBC, hakim menyifatkan perbuatan Tarrant sebagai tidak berperi kemanusiaan dan menambah, lelaki itu langsung tidak menunjukkan belas simpati.
Serangan yang disiarkan secara penstriman langsung itu mengejutkan masyarakat dunia.
“Jenayah anda terlalu dahsyat malah jika anda ditahan sehingga anda mati, ia tidak akan melemahkan keperluan kepada hukuman,” kata Hakim Mahkamah Christchurch, Cameron Mander.
Hukuman tanpa parol bermakna pesalah tidak akan diberikan peluang keluar penjara selepas menjalani sebahagian daripada tempoh keseluruhan hukuman.
Mander menjelaskan, hukuman seumpama itu dikhaskan hanya kepada pembunuh yang teruk.
Untuk rekod, New Zealand tidak melaksanakan hukuman mati dalam sistem kehakiman mereka.
Dalam pada itu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern selepas dimaklumkan tentang hukuman Tarrant menegaskan, mereka tidak mempunyai sebab untuk berfikir mengenai lelaki itu sama ada melihat atau mendengar apa-apa darinya lagi.
“Hari ini saya berharap adalah kali terakhir yang mana kita ada sebab untuk mendengar atau menyebut nama pengganas,” katanya.
Pembunuhan kejam Tarrant itu mendorong New Zealand mengetatkan undang-undang senjatanya.
Lebih 90 ahli keluarga kepada mangsa yang terkorban dan terselamat memberikan kenyataan impak mangsa (VIS) sebelum hakim menjatuhkan hukuman.
Bagaimanapun, Tarrant memilih untuk berdiam diri ketika diberi peluang untuk bercakap sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.
Sepanjang prosiding, mahkamah dikawal ketat oleh pasukan keselamatan dengan anjing pengesan membantu memeriksa individu yang memasuki bangunan berkenaan.
Tarrant juga diletakkan di dalam lokap di bahagian bawah bangunan itu. – Agensi