30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Belum ada arahan mahkamah, SPR teruskan PRN Sabah

Mesti Baca

KOTA KINABALU – Semakan kehakiman terhadap pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di mahkamah tidak mempengaruhi keputusan badan itu untuk menetapkan tarikh penting pilihan raya negeri (PRN) Sabah hari ini.

Memetik Free Malaysia Today, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, pihaknya masih belum mendapat sebarang pemakluman daripada mahkamah, justeru tiada sebab untuk ia menangguhkan penetapan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan pengundian.

“Kita akan teruskan (PRN) kerana kami belum menerima apa-apa arahan daripada mahkamah dan sekiranya ada nanti, kita akan jawab kemudian,” katanya, hari ini.

Terdahulu, SPR menetapkan PRN Sabah ditetapkan berlangsung pada 26 September ini ini dengan 14 hari tempoh berkempen.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 12 September, manakala mengundi awal pada 22 September.

Menurutnya, tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga pukul 11:59 malam 25 September.

“Urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka bermula hari ini dan tarikh tutup dalam negara ialah 11 September manakala tarikh tutup undi pos luar negara adalah pada 3 September 2020,” katanya hari ini.

Azmi yang dipetik Berita Harian berkata, sebanyak 64 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan manakala 741 pusat mengundi membabitkan 2,540 tempat mengundi (saluran) dan 56 pusat mengundi awal membabitkan ramai 30,540 petugas yang akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya berkenaan.

Ujarnya, waktu mengundi akan bermula pukul 7.30 pagi sehingga 5 petang di samping memberi penekanan mengenai kebersihan tangan di kalangan pengundi bagi mempercepatkan proses mengundi kelak.

Beliau berkata, dianggarkan sebanyak RM186 juta diperlukan bagi pelaksanaan PRN Sabah ini.

Azmi juga menjelaskan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19, pihaknya akan menghantar kad pengundi bagi memudahkan pengundi mengetahui maklumat pengundian di samping membantu dalam penjarakan fizikal di pusat mengundi.

“Kita guna pengalaman mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini dan DUN Slim dengan prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik Covid-19 melanda negara. Pengalaman kita di DUN Chini mendapati bahawa walaupun dilakukan dengan SOP, kita masih dapat menjalankan PRK dengan sempurna.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan membuat keputusan pada Jumaat ini untuk menentukan sama ada keputusan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN Sabah boleh dibicarakan.

Advertisements

Peguam yang mewakili 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, Tengku Fuad Tengku Ahmad meminta mahkamah untuk memberi mereka masa bagi mengemukakan hujahan balas secara bertulis atas keterangan lisan responden.

Ini berikutan setelah salah seorang peguam dari Jabatan Peguam Negeri membangkitkan perkara di mana ADUN tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertua Negeri.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim hari ini membenarkan hujahan balas secara bertulis dihantar pada Rabu dan kemudian diputuskan pada Jumaat ini.

Tengku Fuad ketika ditemui pemberita berkata, hujah baharu terbabit dibangkitkan oleh Peguam Besar Negeri Sabah dalam prosiding berkenaan.

“Berdasarkan hujah sebentar tadi, Peguam Besar Negeri membangkitkan hujah baharu dengan mereka mengatakan 33 Adun tidak mempunyai hak untuk mencabar keputusan Tuan Yang Terutama.

“Mereka tidak mempunyai kuasa di mahkamah dan sudah tentu ianya adalah silap kerana mereka membangkitkan hujah baharu,” katanya.

Sementara itu, Brenndon Keith Soh mewakili Juhar, kerajaan negeri Sabah dan Ketua Menteri Sabah sementara Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika ditemui berkata, pihaknya masih berpegang kepada hujah sama yang mempertahankan hak Yang Di-Pertua Negeri dalam isu pembubaran.

“Kami masih berpegang kepada fakta bahawa mahkamah tinggi tidak mempunyai kuasa untuk menidakkan keputusan Tuan Yang Terutama berikutan hakim menegaskan terdapat pemisahan kuasa setara dengan eksekutif,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan semalam sebagai tarikh bagi menentukan sama ada keputusan Yang di-Pertua Sabah membubarkan DUN baru-baru ini boleh dibicarakan di mahkamah.

Leonard menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN Sabah.

Perkara terbabit dibawa ke mahkamah oleh Tengku Fuad dan 32 ADUN yang memohon kebenaran mahkamah untuk semakan kehakiman.

Media sebelum ini melaporkan Musa mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Bagaimanapun, Shafie kemudian mengumumkan DUN dibubarkan dan permohonan pembubaran itu sudah diperakukan Juhar.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan