29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Utusan berhadapan tiga saman daripada bekas kakitangan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Utusan Melayu (M) Berhad, syarikat penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! sebelum ini akan menghadapi tiga tindakan perundangan oleh bekas kakitangannya yang diberhentikan kerja tahun lepas.

Tindakan pertama yang telah berjaya difailkan ke mahkamah adalah kes 200 bekas kakitangan ahli Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) ke atas Utusan Melayu yang perbicaraannya akan dimulakan di Mahkamah Tinggi pada 10 September ini.

Kes kedua pula adalah perbicaraan yang akan dijalankan di Mahkamah Perusahaan pada 19 September ini selepas mendapat arahan Menteri Sumber Manusia, hasil aduan bekas kakitangan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP).

Manakala, tindakan perundangan ketiga pula akan diambil oleh lebih 300 bekas kakitangan bukan ahli NUJ yang akan memfailkan saman kepada Utusan Melayu yang telah menutup syarikat dan memberhentikan kakitangan secara tiba-tiba tanpa sebarang pembayaran faedah pampasan.

“Selepas kejayaan NUJ memfailkan saman mereka, lebih 300 kakitangan lagi (tidak termasuk NUJ) juga akan mengambil tindakan yang sama,” kata jurucakap jawatankuasa bertindak kes saman tersebut selepas mengadakan pertemuan dengan pihak peguam di sini, baru-baru ini.

Jawatankuasa tersebut secara dasarnya telah bersetuju untuk menggunakan khidmat Tetuan Raja Riza & Associates bagi tindakan perundangan terhadap bekas majikan mereka yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

Advertisements

Menurut jurucakap itu, setakat ini, seramai 320 bekas kakitangan telah menandatangani persetujuan mereka untuk menyaman Utusan Melayu melalui mahkamah sivil, selain tindakan melalui Mahkamah Perusahaan.

Pada 9 Oktober lepas, seramai 862 kakitangan ditamatkan perkhidmatan apabila pihak pengurusan mengumumkan penutupan Utusan Melayu (melalui penggulungan secara sukarela) secara mengejut tanpa membayar sebarang bentuk faedah.

Malahan, sehingga kini, syarikat masih berhutang bayaran bagi pihak kakitangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Potongan Cukai Berjadual (PCB) cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bayaran baki cuti dan sebagainya.

Selepas ditutup, pengurusan Utusan Melayu kini diambil alih syarikat pelikuidasi UHY Advisory yang menguruskan segala urusan penjualan aset dan juga pembayaran hutang kepada kakitangan dan kreditor.

Manakala, akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! yang juga ditutup pada Oktober tahun lepas telah diterbitkan kembali bulan lepas oleh sebuah syarikat baharu iaitu Media Mulia Sdn. Bhd. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan