25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Wan Ahmad Dahlan ganti Jamil sebagai Ketua Setiausaha KDN

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz @ Yazid dilantik sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu berkuat kuasa hari ini, umum Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Wan Ahmad Dahlan, 54, menggantikan Datuk Jamil Rakon yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga berkuat kuasa hari ini.

Mohd Zuki berkata Wan Ahmad Dahlan mempunyai pengalaman luas dalam bidang penguatkuasaan, keselamatan dan perkhidmatan awam serta pernah berkhidmat sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara.

“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh Wan Ahmad Dahlan mampu menggalas amanah mendukung misi dan visi KDN dalam memastikan keselamatan dan keamanan dalam negara terjamin dan kesejahteraan rakyat terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Dahlan, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Komunikasi dari Universitas Airlangga, Surabaya, Indonesia dan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 25 tahun dengan jawatan pertamanya sebagai penolong setiausaha di Kementerian Pengangkutan.

Dalam kenyataan berasingan mengenai pelantikan Jamil, Mohd Zuki berkata beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan organisasi.

“Semoga dengan pelantikan ini, beliau dapat melahirkan modal insan graduan yang sedia memenuhi keperluan industri bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing,” kata Mohd Zuki.

Jamil, 58, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun dengan jawatan pertama sebagai penolong setiausaha di Kementerian Pertahanan pada 1 Disember 1992. – BERNAMA

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan