24.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

Tabung Haji untung RM1.25 bilion sehingga Jun tahun ini

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM1.55 bilion dalam tempoh separuh pertama tahun pertama tahun ini, disokong pelaburan dalam pasaran sukuk dan saham.

Pelaburan aset pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM1 bilion iaitu 65 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan TH bagi tempoh Januari hingga 30 Jun 2020, kata TH dalam satu kenyataan.

Agensi tersebut seterusnya berkata, pelaburan hartanah telah menjana pendapatan RM204.57 juta, manakala pelaburan instrumen pasaran wang Islam menyumbang sebanyak RM187.13 juta dan RM150.27 juta pula daripada pelaburan ekuiti.

“Peningkatan pendapatan ini telah menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM1.25 bilion berbanding RM849.66 juta pada tempoh enam bulan yang sama pada 2019.

“Jumlah aset TH juga melebihi liabiliti sebanyak RM1.86 bilion pada 30 Jun 2020,” kata kenyataan itu.

TH juga, katanya, sedang membuat persediaan untuk menghadapi pengurusan ibadah haji yang lebih rumit pada tahun hadapan, berikutan penangguhan haji pada musim 1441H/2020.

Ia termasuk menangani cabaran baharu seperti penyampaian perkhidmatan yang mengambil kira situasi Covid-19.

TH menjelaskan pada awal tahun ini, penularan wabak telah memberi impak yang ketara terhadap ekonomi dan pasaran kewangan dunia, termasuk ekonomi dan pasaran kewangan tempatan.

“Kejutan Covid-19 juga berlaku dalam situasi ekonomi global yang lemah berikutan harga minyak mentah yang rendah dan kemelut perang perdagangan antara ekonomi besar dunia.

“Sebagai sebuah institusi pengurusan haji dan pelaburan yang aktif di pasaran kewangan, TH turut terkesan pada awal tahun ini berikutan langkah pengawalan penularan virus.

Advertisements

‘Namun keadaan pasaran kewangan beransur pulih apabila aktiviti ekonomi dibenarkan semula bersama langka menerusi pelan rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff berkata, pasaran saham tempatan Bursa Malaysia yang jatuh lebih 23 peratus semasa kemuncak pandemik telah kembali meningkat hampir kepada paras asal.

Katanya, indeks utama FBM KLCI ditutup pada paras 1,500.97 mata pada 30 Jun 2020 dan hanya membabitkan perbezaan 5.5 peratus dari 1,588.76 mata pada 31 Disember 2019.

“Ini tidak bermakna tekanan ke atas prestasi dan penilaian aset TH, seperti di dalam sektor hartanah, telah berkurangan.

“Impak besar dari wabak Covid-19 ke atas ekonomi dunia dan negara adalah menjadi cabaran yang paling utama bagi TH dalam menguruskan pelaburannya demi melindungi kepentingan pendeposit.

“Kami juga telah mengambil langkah untuk mengenal pasti kesan COVID-19 ke atas pelaburan melalui pemantauan berkala. Dari segi operasi pula TH perlu menjadi lebih efisyen dengan menambah baik perkhidmatan dan mengurangkan kos,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut berterima kasih di atas sokongan berterusan yang diberikan pendeposit dalam masa yang mencabar ini.

TH katanya, yakin wabak ini akan berakhir dan akan terus bekerja keras untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada para pendeposit dalam apa jua keadaan sekali pun.

Melangkah ke hadapan, perkhidmatan digital akan menjadi fokus utama TH memandangkan sebahagian besar pendeposit TH adalah terdiri daripada golongan celik teknologi.

“Kepercayaan dan sokongan pendeposit kepada TH kekal utuh dengan jumlah deposit sebanyak RM73.86 bilion pada 30 Jun 2020 berbanding RM69.42 bilion pada 31 Disember 2019,” katanya sambil menambah pada tempoh yang sama, lebih 123,000 akaun simpanan baharu dibuka. – EDISI9

Advertisements

Terkini

95,000 syarikat di bawah HRD Corp bakal latih pelajar IPMA

SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi...

Lagi Artikel Berkaitan