31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Sudah-sudahlah kekanda Mujahid…

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DATUK DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

BERSUNGGUH-SUNGGUH nampaknya kekanda Dr. Mujahid Yusof Rawa cuba mengambil mileage (keuntungan) politik di sebalik pengumuman keuntungan RM1.25 bilion Tabung Haji bagi 6 bulan pertama 2020.

ASYRAF WAJDI

Hakikat yang tidak disedari adalah sebahagian besar keuntungan tersebut merupakan keuntungan sukuk UJSB yang masih belum dibayar.

Ia hanya untung di atas kertas dan Tabung Haji menanggung risiko amaun ini berkemungkinan tidak akan dibayar selagi mana sukuk tersebut belum dijamin oleh kerajaan.

Kedua, keuntungan ini juga disumbangkan oleh ketiadaan ibadah haji tahun ini. Secara tidak langsung, TH tidak perlu mengeluarkan subsidi sebanyak RM300 juta hingga RM400 juta seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

Tetapi dalam keadaan sebegitupun, prestasi keuntungan Tabung Haji masih jauh ketinggalan berbanding tahun-tahun terakhir pemerintahan BN. Pada tahun 2017, Tabung Haji mencatatkan keuntungan RM3.412 bilion.

Keuntungan ini telahpun diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara pada zaman awal pemerintahan Pakatan Harapan. Adakah keuntungan bagi tahun 2018 dan 2019 yang dibangga-banggakan oleh Kekanda Mujahid telahpun diaudit oleh pihak berkuasa? Jika ya, di mana laporan audit tersebut?

Pengakuan Kekanda Mujahid bahawa tidak berlaku sebarang penjualan aset Tabung Haji juga meleset. Laporan The Edge Daily pada 21 Mac 2020 mendedahkan bagaimana UJSB telahpun melupus 13 saham yang asalnya milik Tabung Haji ketika harga pasaran berada pada paras yang sangat rendah.

Advertisements

Sebagai contohnya, 28.48 juta unit saham Icon Offshore Bhd yang didagangkan pada harga purata 25.6 sen pada tahun 2019, telah dilupuskan pada awal Mac 2020 ketika harganya berada pada paras 6.5 sen sahaja.

Siapakah yang telah memberi izin penjualan saham-saham ini sedangkan kerajaan Perikatan Nasional masih belum terbentuk pada ketika itu?

Begitu juga, bukankah kekanda melalui surat TH bertarikh 3 Disember 2019 telah mempersetujui agar TH melepaskan “First Right of Refusal” yang membolehkan UJSB menjual 18 aset hartanah milik asal Tabung Haji kepada pihak ketiga?

Dakwaan Mujahid bahawa Tabung Haji mengalami defisit Rm10 bilion apabila beliau mengambil alih jawatan menteri adalah tidak benar.

Apabila PH mengubah kaedah perakaunan TH dan menolak kaedah Net Realisable Value (NRV) yang diamalkan pengurusan lama, defisit Tabung Haji setakat 31 Disember 2017 hanyalah RM4.1 bilion.

Defisit ini membesar kepada RM10.9 bilion pada 31 Disember 2018 iaitu selepas PH membentuk kerajaan.

Atas sebab itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sentiasa konsisten dalam tuntutan bagi penubuhan SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA (RCI) untuk menyiasat dan memulihkan semula kedudukan Tabung Haji ke tahap yang sepatutnya.

Institusi umat Islam ini sepatutnya dipelihara dan tidak dijadikan ‘bidak catur’ bagi keuntungan politik sesetengah pihak.

  • Penulis adalah Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Artikel ini dipetik dari laman Facebook beliau.

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan