26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Suara Malaysia versi TV global tangani dakyah jahat media asing

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh: IBRAHIM LATIF

JIKA bukan kerana ada slot 101 East bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ disiarkan Al Jazeera, rakyat kita mungkin tidak begitu peduli sangat perihal stesen penyiaran global dari Qatar itu.

Namun, program dokumentari selama 20 minit ini tanpa publisiti besar telah menyebabkan rating stesen berita global itu jadi popular di Malaysia waima dalam konteks respons yang agak negatif.

Ini semua gara-gara seorang lelaki warga Bangladesh menetap di negara kita, M. Rayhan Kabir memfitnah kerajaan Malaysia konon memberi layanan buruk terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) di ibu kota.

Meskipun wawancara eksklusif koresponden Al Jazeera biro Kuala Lumpur itu telah dibuat pada 10 Mei, stesen berpusat di Doha ini mengambil masa dua bulan sebelum rakaman tersebut ke udara.

global
Dokumentari terbitan Al Jazeera yang mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia. Gambar: YouTube Al Jazeera 101 East

Ia secara tidak langsung bermaksud dalam tempoh itu, wartawan terbabit ada masa secukupnya untuk mendapat maklum balas daripada pihak Jabatan Imigresen Malaysia, tetapi ini tidak pernah pun berlaku.

Maka, netizen tempatan mula ‘kecoh’ apabila tular pembohongan M. Rayhan yang rupa-rupanya ketua pemberita portal narayanganj24semven.com dan sukarelawan PATI dikenali Migrants88.

Setakat ini, pihak Kementerian Luar belum menerbitkan sebarang kenyataan rasmi, malahan Kedutaan Besar Malaysia di Qatar juga tidak mengeluarkan pun nota bantahan kepada stesen milik kerajaan negara itu.

Ironi, imej baik negara kita telah dipandang buruk oleh komuniti dunia dek cerita bohong rakyat asing ini dan mungkin agenda tersembunyi Al Jazeera yang memang sejak dahulu tegar dengan sikap anti-Malaysia.

Mungkin dalam hal ini, belum terlambat bagi kerajaan untuk belajar dari contoh negara jiran terdekat, Singapura yang gah menangkis berita palsu yang menyerang republik itu menerusi Channel NewsAsia (CNA).

global
CNA giat menangkis dakyah asing terhadap Singapura. Gambar: YouTube CNA

Stesen milik agensi pemerintah, MediaCorp Pte. Ltd. itu ditubuhkan sejak 1999 bagi mengambil alih fungsi yang pernah dimainkan Radio Singapore International (RSI) yang kemudian ditutup pada 2008.

Dari segi sejarah, ‘pesaing’ RSI ketika itu ialah Suara Malaysia atau Voice of Malaysia (VoM) yang diwujudkan lebih awal pada 1963 bagi ‘melawan’ dakyah kempen jahat konfrontasi Indonesia.

Malangnya, apabila VoM dimansuhkan pada 2011, peranan sebagai alat propaganda antarabangsa ini dibiarkan dalam situasi ‘vakum’ oleh kerajaan waktu itu yang agak optimis dengan bantuan media massa tempatan.

Kepimpinan negara masih berfikiran ‘tradisional’ dengan cuma bergantung harap kepada portal Bernama dan Utusan Online sebagai jurucakap bagi menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat di seluruh dunia.

Akibat ‘kekosongan’ medium ini, tanpa disedari imej kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu mula jatuh dan kemuncaknya tumbang masa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018.

Advertisements

Natijahnya, peranan stesen penyiaran global bukan sekadar menyiarkan berita tempatan kepada warga dunia seperti Perbadanan Penyiaran British (BBC) atau Perbadanan Penyiaran Jepun (NHK).

Contoh paling sesuai adalah Korea Selatan yang berbangga dengan kehebatan Arirang TV bagi menyebar dakyah menghasut rakyat Korea Utara untuk membelot dan berpaling tadah sejak diwujudkan pada awal 1997.

Model ini diikuti jirannya, China mewujudkan CCTV-9 iaitu saluran antarabangsa pihak Beijing dan kemudian diubah nama kepada China Global Television Network (CGTN) pada 2016.

Hakikatnya, banyak negara di dunia sudah lama aktif dengan stesen penyiaran sejagat sebagai ‘lidah rasmi’ kerajaan bagi memerangi berita palsu jahat yang disebarkan musuh mereka sepanjang masa.

Contoh terbaik yang boleh dipelajari adalah Iran melalui Press TV yang dilancarkan oleh kerajaan Syiah itu pada 2007 dan Turki menerusi TRT World yang mula beroperasi dari Istanbul sejak 2015.

Malaysia tidak wajar ketinggalan dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) seharusnya ‘memecahkan’ saluran khas Berita yang dirasmikan pada bulan lalu kepada siaran domestik dan antarabangsa.

Ketika ini, stesen itu hanya dapat ditonton sama ada dalam talian melalui laman rasmi MyKlik RTM dan saluran 123 myFreeview yang cuma diikuti lebih lima juta isi rumah dengan dekoder MYTV.

Barang kali dalam hal ini, model paling sesuai dicontohi adalah Voice of America (VoA) yang diwujudkan Kongres Amerika Syarikat (AS) pada 1942 yang waktu itu misinya bagi era Perang Dunia Kedua.

Bagaimanapun selepas itu, fungsi VoA berubah semacam BBC yang ditubuhkan atas piagam diraja Istana Buckingham pada 1922, malah stesen ini bukan pun bawah pentadbiran kerajaan British.

Peranan VoA pernah ditiru VoM tetapi siaran antabangsa RTM itu ‘pupus’ awal akibat tanggapan salah konon tiada siapa mahu dengar 10 saluran bahasa berbeza dipancarkan ke seluruh dunia.

VoA memainkan peranan menyebarkan propaganda kerajaan AS di dalam negara dan di peringkat global. Gambar: Channel3000.com

Kini, lihatlah apa berlaku apabila Al Jazeera bebas siar berita fitnah kerana Malaysia sudah tiada medium bagi menangkisnya, walhal VoA ketika ini hebat ada 47 saluran bahasa pertahan imej gah AS.

Bayangkan di AS sendiri, rakyat negara itu lebih percaya VoA setanding BBC, NHK, CGTN, TRT waima CNA, berbanding berita disiarkan CNN yang dianggap tiada kredibiliti dan berat sebelah.

Sesungguhnya, ini harus dijadikan teladan oleh pihak RTM dan kerajaan kerana meskipun dunia semakin canggih teknologi siber, peranan stesen penyiaran global tidak wajar dipandang rendah.

RTM sebenarnya dari segi kemampuan fasiliti sudah mampu mewujudkan saluran khas berita peringkat sejagat dan kini terpulang sama ada mahu buat atau membiarkan Malaysia terus ‘dibuli’ oleh negara luar.

Penulis ialah pengamal media yang berpengalaman luas dalam komunikasi massa.

Advertisements

Terkini

Pemuda UMNO gesa ‘haramkan’ Prof Gilley masuk Malaysia

PEMUDA UMNO Malaysia hari ini mendesak kerajaan mengharamkan seorang ahli akademik pro-zionis Israel, Bruce Gilley daripada memasuki negara ini. Ketuanya,...

Lagi Artikel Berkaitan