24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Apa itu sekolah vernakular? Masa depannya… (Bahagian 3)

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh: ANUAR AHMAD

RAKYAT Malaysia kena bersedia untuk membenarkan SJKC dan SJKT wujud seiring dengan sekolah kebangsaan di dalam satu sistem pendidikan kebangsaan.

Sebabnya, SJKC DAN SJKT telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan menggunakan sepenuhnya kurikulum kebangsaan yang dibina oleh KPM.

Tetapi kawalan ketat mesti dilakukan pada kewujudan sekolah vernakular Cina persendirian dan sekolah antarabangsa yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan tidak menggunakan kurikulum kebangsaan. Mesti kawal dengan ketat.

Ibu bapa Melayu kena terbuka dan berlapang dada untuk menghantar anak anak mereka ke SJKC. Mengapa? Biar anak-anak Melayu menguasai bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin selain fasih bahasa Melayu. Biar anak-anak Melayu mahir matematik dan Sains.

sekolah
Gambar hiasan: Persatuan Senaman Zhineng Qigong Malaysia

Biar anak-anak Melayu punya ramai kawan karib dari bangsa Cina. Betul ada juga sekolah kebangsaan yang hebat Matematik dan Sains tetapi tidak untuk bahasa Mandarin.

Di masa depan, anak-anak Melayu yang bersekolah di SJKC tidak kekok untuk bekerja dengan mana mana syarikat swasta mahupun bersaing secara sihat dengan peniaga-peniaga Cina. Faktanya, 80% sektor perniagaan di dalam negara ini dikuasai oleh masyarakat Cina.

Cuba cari fakta, graduan dari kaum apa yang paling ramai menganggur di negara ini? Bukan rahsia lagi. Jika mahu anak-anak Melayu mampu bersaing, mereka sepatutnya disediakan lebih awal lagi.

Jangan bimbang sebab SJKC juga ada mata pelajaran agama Islam dan Bahasa Melayu. Ramai ustaz dan ustazah yang bertugas di SJKC. Malah boleh dibuka kelas bahasa Arab di SJKC jika ibu bapa mahu.

Pada ibu bapa Cina, anda patut terbuka untuk mula menghantar anak-anak anda ke sekolah kebangsaan. Betul sekolah kebangsaan masih ada yang belum baik. Betul, ada yang belum sampai ke tahap kualiti yang memuaskan.

Masih ada yang serba kekurangan kemudahan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Tetapi kebanyakan sekolah rendah kebangsaan di bandar sudah begitu baik dan cemerlang.

Advertisements
sekolah
Gambar hiasan: Blog SK Kota

Kebanyakan orang Cina tinggal di bandar. Jadi, jangan percaya bulat-bulat pada pihak yang antisekolah kebangsaan. Anda sendiri boleh melawat ke sekolah sekolah rendah di kawasan anda.

Banyak sekolah kebangsaan yang sudah hebat dan lengkap kemudahan pembelajarannya. Guru pula bukan semuanya orang Melayu sahaja, ramai guru-guru di sekolah rendah kebangsaan adalah guru Cina dan India.

Pada ibu bapa kaum Cina, Malaysia adalah tanah air anda. Anda sudah menjadi warganegara di sini. Tidak ada tempat lain lagi di dunia ini yang anda sebut sebagai ‘negaraku’ kecuali Malaysia.

Jadi belajarlah untuk menerima dan terbuka menikmati makna kewarganegaraan tersebut.

Beri peluang untuk anak-anak anda membesar dengan rakan rakan mereka dari kaum Melayu, beri peluang untuk anak-anak anda kuasai dengan fasih bahasa kebangsaan di sekolah kebangsaan, beri peluang untuk mereka belajar dan menghayati perlembagaan dan raikan kepelbagaian.


Malaysia adalah tanah tumpah darah anda, anak-anak anda dan keturunan anda seterusnya. Malaysia adalah negara anda. Negara kita semua..

Baca juga: 

Apa itu sekolah vernakular? Sejarahnya… (Bahagian 1)

Apa itu sekolah vernakular? Pengajarannya… (Bahagian 2)

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sosiologi Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Artikel ini dipetik dari laman Facebook beliau.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan