25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kesihatan jemaah haji jadi keutamaan pemerintah Arab Saudi

Mesti Baca

JEDDAH – Keselamatan jemaah menjadi keutamaan dalam usaha pemerintah Arab Saudi melakukan persediaan bagi ibadah haji tahun ini.

Portal berita Arab News melaporkan, Komander pasukan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan Masjidilharam, Mejar Jeneral Muhammad Al-Ahmadi berkata, fokus utama adalah aspek kesihatan berikutan situasi luar biasa akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, langkah pengendalian baru telah dilaksanakan untuk menguruskan jemaah yang keluar masuk Masjidilharam bagi memastikan penjarakkan sosial dan langkah pencegahan memerangi wabak itu.

Katanya, laluan untuk jemaah melakukan tawaf dan saie telah ditetapkan manakala hanya mereka yang mempunyai kebenaran rasmi sahaja dibenarkan memasuki Masjidilharam.

‘’Berikutan pandemik tersebut, Masjidilharam akan ditutup untuk orang awam pada hari wukuf dan Aidiladha. Oleh itu kita minta orang ramai yang mahu berbuka puasa pada hari Arafah melakukan di rumah masing-masing,’’ katanya.

Advertisements
Kawalan keselamatan di laluan masuk ke Mekah diperketatkan bagi mengelakkan tindakan mana-mana individu memasukinya tanpa permit khas.

Pada tahun ini pemerintah Arab Saudi menetapkan hanya 10,000 jemaah haji sahaja dibenarkan menunaikan rukun Islam kelima itu. Daripada jumlah itu 70 peratus terdiri daripada ekspatriat yang bermastautin di negara itu manakala 30 peratus lagi adalah warga tempatan.

Al-Ahmadi juga memaklumkan, pusat kawalan di Mekah yang ditempatkan di Mina dan Muzdalifah akan beroperasi sepenuhnya.

‘’Laluan masuk ke bandar Mekah akan dikawal 24 jam oleh pasukan keselamatan berbeza bagi mencegah kemasukan mereka yang tiada permit ke kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Umum Bagi Hal Ehwal Dua Masjid Suci yang juga Imam Besar Masjidilharam, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais berkata, khutbah Arafah akan diterjemahkan dalam 10 bahasa termasuk bahasa Mandarin dan Rusia manakala tambahan terjemahan bahasa Inggeris untuk saluran ‘Holy Quran’ dan bahasa Perancis di saluran ‘Prophet’s Sunnah’. – Agensi

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan