32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Penjualan ladang TH Plantations dikaji semula

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Penjualan aset milik Tabung Haji Plantations Sdn Bhd (THP) membabitkan ladang seluas hampir 77,000 hektar yang dibuat ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) akan dinilai semula kewajarannya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, penilaian semula itu dibuat kerana selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran kerajaan, keyakinan pelabur semakin meningkat dan harga minyak sawit mentah kian pulih disebabkan hubungan dagangan antarabangsa kembali terjalin.

Beliau menjelaskan, penilaian semula itu bukan saja daripada segi harga yang diputuskan sebelum ini, malah ia termasuk kemungkinan membatalkan penjualan aset berkenaan.

Selain itu, katanya, semakan semula berkenaan selaras hasrat kerajaan menjaga amanah dan melindungi kepentingan pendeposit serta aset TH dan umat Islam di Malaysia.

“Tindakan menjual ladang ini dibuat ketika harga minyak sawit mentah (CPO) mengalami kejatuhan serius dengan mengakibatkan anak syarikat THP mengalami kerugian.

“Kejatuhan harga CPO ini disebabkan tindakan kerajaan terdahulu tidak menjaga hubungan dagangan dengan negara China dan India, yang akhirnya menyebabkan eksport sawit kita jatuh mendadak,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Advertisements

Beliau menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang meminta justifikasi penjualan aset ladang oleh THP, serta jumlah keluasan ladang yang dijual dan siapakah syarikat yang membelinya.

Ahmad Marzuk menambah, setelah PN mengambil alih pentadbiran pada Februari lalu, keyakinan pelabur semakin meningkat dan harga minyak sawit mentah kian memulih disebabkan hubungan dagangan antarabangsa kembali terjalin.

“Justeru, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menilai semula keputusan penjualan ladang secara besar-besaran ini sama ada ia wajar ataupun tidak,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif THP, Muzmi Mohamed sebelum ini berkata, penjualan ladang oleh pihaknya adalah sebahagian langkah rasionalisasi aset bagi membolehkannya muncul semula sebagai syarikat perladangan bersaiz sederhana yang berdaya maju.

Proses rasionalisasi syarikat 73.84 peratus milik Lembaga Tabung Haji (TH) itu, secara umumnya membabitkan penjualan beberapa ladang miliknya yang didapati tidak mempamerkan prestasi mengikut jangkaan serta penyusunan semula syarikat.

“Kami tidak membuta tuli menjual aset syarikat. Sebaliknya, ia dilaksanakan secara terancang dan teliti dengan matlamat mengukuhkan kedudukan kewangan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan