24.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Najib, Najib, Najib, itu sahajalah modal politik Mahathir

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Dalam tempoh beberapa hari ini Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak habis-habis menyebut nama Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tidak cukup dalam program ‘Bersatu Blackout’ di Alor Setar, bekas Perdana Menteri berusia 95 tahun itu menyambungnya pula di Dewan Rakyat, semalam ketika membahas usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Ternyata Najib sudah menjadi modal politik kepada Dr. Mahathir sejak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dan beliau bukan sahaja mencatatkan sejarah sebagai Perdana Menteri paling lama memerintah iaitu selama 22 tahun tetapi juga paling singkat iaitu 22 bulan.

Hampir setiap hari nama Ahli Parlimen Pekan itu meniti di bibir beliau. Tidak tahu apa yang beliau marahkan sangat kepada Najib sedang Najib bukan lagi Perdana Menteri mahupun Presiden UMNO.

Di mana sahaja berucap atau bercakap dengan wartawan berkaitan politik nama Najib pasti akan disebut oleh Mahathir.

Nama Najib seolah-olah ‘tidak sah’ kalau tidak disebut dan menjadi modal kepada Mahathir untuk mendapat publisiti.

Namun begitu Najib tetap tenang menghadapi ‘serangan’ Mahathir dengan menjawab secara sinis.

Dalam Twitternya hari ini, Najib berkata, “agak bosan dengan dia ni. Ceramah blackout Kedah hari Sabtu Najib X 15, bossku X 5. Perbahasan Parlimen semalam Najib X 9. Wawancara dia dengan The Malaysian Insight semalam Najib X 12. Dalam twitter dia pepagi ni Bossku X 8.”

Dalam Facebook pula, Najib menulis, “pepagi lagi dah start. Tak habis-habis dia ni. Berderet-deret tweetnya. Paling pelik ialah dia asyik tuduh orang lain mencuri tapi yang kaya berbilion-bilion pula ialah anak-anak dia. Satu keluarga termasuk cucu-cicit ke sini ke sana pakai private jet.”

Hakikatnya bukan Najib malah orang lain juga berasa pelik dengan perangai Dr. Mahathir yang terus mengecam Najib.

Hujah pula bukan hujah baru sebaliknya hanya mengulangi tuduhan-tuduhan yang beliau mula lemparkan sejak penghujung tahun 2015.

Mungkin Dr. Mahathir tidak dapat menerima hakikat kerana walaupun telah berjaya menjatuhkan Najib dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) melalui manifesto yang tidak ditunaikan, propaganda dan fitnah, Dr. Mahathir belum puas hati.

Advertisements

Adakah ini disebabkan Dr. Mahathir cemburu dan gelisah dengan populariti Najib?

Kalau dahulu Dr. Mahathir begitu bangga beliau cukup disanjung semasa PRU-14 manakala Najib tidak disukai rakyat, tetapi sekarang sudah terbalik. Dr. Mahathir pula semakin ditolak manakala Najib semakin popular.

Justeru itulah apa pun berlaku dalam politik, Dr. Mahathir akan kaitkan dengan Najib termasuklah kejatuhan Kerajaan PH yang jelas-jelas berlaku disebabkan Ahli Parlimen Langkawi itu meletakkan jawatan.

Kalau awal-awal krisis politik tersebut, Dr. Mahathir berkata, beliau salah strategi tetapi sekarang beliau salahkan Najib.

Memang pelik, beliau yang letak jawatan, orang lain pula disalahkan, bak kata orang Kedah “tak faham pasai apa jadi macam tu”.

Dr. Mahathir sepatutnya belajar untuk menerima hakikat beliau juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada membuat kesilapan.

Tindakan Dr. Mahathir itu tidak akan menguntungkan beliau, sebaliknya hanya menambahkan lagi kebencian orang kepadanya.

Mungkin apa yang diperkatakan ini agak keterlaluan, tetapi inilah faktanya.

Dalam kehidupannya ini, kalau kita asyik menuduh orang lain bersalah, tidak mahu mengakui kesilapan kita dan ghairah memburukkan orang lain, ia seolah-olah menunjukkan kita ada masalah iaitu ‘takut kepada bayang-bayang’ sendiri.

Kita percaya Dr. Mahathir tidak akan berhenti ‘menyerang’ Najib kerana itu sahaja modal yang beliau ada.

Beliau sudah gagal menguruskan PH dan tersalah langkah meletakkan jawatan, justeru untuk menutupi semua kegagalan itu Najib dijadikan bahan untuk mengalih isu – “satu tindakan politik yang tidak bijak dan boleh makan diri sendiri”. – Kita lihatlah nanti. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan