28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pemimpin Hamas mohon sokongan UMNO bantah Israel

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Walaupun UMNO bukan lagi menjadi tunjang kepada tampuk pemerintahan negara, bagaimanapun peranan parti itu masih mendapat pengiktirafan antarabangsa terutama membabitkan soal perjuangan umat Islam.

Terbaharu, Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh menulis sepucuk surat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk mendapatkan sokongan antarabangsa dalam usaha membantah rancangan aneksasi Israel untuk merampas dan mengambil hak milik tanah Palestin di Tebing Barat.

Menurut laporan Bernama, surat itu disampaikan Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran, bagi pihak Haniyeh, malam tadi.

Agensi berita itu melaporkan, isi kandungan surat itu antara lain meminta semangat setiakawan dari dunia Islam untuk rakyat Palestin yang kini berdepan saat sukar.

“Hamas dan Palestin mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia dan semua parti politik, rakyat Palestin meminta kumpulan politik Malaysia suarakan semangat perpaduan mereka dengan rakyat Palestin dan menggerakkan segala usaha untuk memberi tekanan hebat ke atas Amerika Syarikat dan Israel bagi membatalkan rancangan mereka,” katanya kepada Bernama.

Muslim berkata, selain daripada UMNO, surat yang sama akan turut dihantar kepada parti-parti politik lain di Malaysia bagi mendapatkan sokongan daripada rakyat di negara ini.

Kerajaan Israel, yang dibentuk antara Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan seteru politiknya Benny Gantz pada Mei telah bersetuju untuk melaksanakan rancangan merampas dan mengambil hak milik sebagian besar kawasan di Tebing Barat yang diduduki mulai 1 Julai.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam catatan Facebooknya berkata, menerusi surat itu Haniyeh antara lain berharap semua parti dan pertubuhan politik Arab dan Islam menolak serta menyekat aktiviti normalisasi hubungan Israel dengan mereka berikutan pelan penjajahan kerajaan Zionis itu.

“Hamas ingin memberi penekanan pada hal-hal pencabulan keji hak asasi manusia ke atas Palestin. Rancangan ini seolah-olah memberi ‘lesen’ kepada Tel Aviv untuk meneruskan kekejamannya dengan sokongan Amerika Syarikat dan beberapa negara lain,” tulis Ahmad Zahid. – EDISI9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan