DENDAM politik Tun Dr.Mahathir Mohamad terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin terus membara.
Ketika berucap dalam Program ‘Bersatu Blackout’ di Alor Setar malam tadi, Dr.Mahathir dilihat menyampaikan hujah-hujah dangkal bagi mempertahankan atau tepat lagi melindungi kesilapannya meletakkan jawatan Perdana Menteri.
Dalam ceramah yang turut disiarkan secara langsung dalam Facebook, Dr.Mahathir mungkin semakin gelisah dengan populariti Muhyiddin mendakwa kononnya rakyat tidak senang dengan cara Perdana Menteri menangani pandemik Covid-19.
Berikut komen penulis terhadap beberapa perkara yang diperkatakan oleh Ahli Parlimen Langkawi berusia 95 tahun itu.
- Politik lebih utama berbanding prinsip, siapa mulakan dulu?
KATA DR.MAHATHIR : ‘’Muhyiddin cakap sanggup bekerjasama dengan Datuk Seri Najib dan sekutu dengan tujuan politik yang membolehkannya dilantik menjadi Perdana Menteri.
Saya tanya Muhyiddin berkali-kali, adakah awak sanggup (bekerjasama dengan musuh)? Dulu awak berperang dengan mereka. Dia jawab saya sanggup kerana bagi saya politik lebih utama berbanding prinsip’.’’
KOMEN SAYA : Dulupun orang Melayu tertanya-tanya berkali-kali, kenapa Dr.Mahathir sanggup bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh PKR,DAP dan Amanah.
Ramai yang berkata, Dr.Mahathir sanggup mengutamakan kuasa politik sehingga bersedia duduk sepentas dan berada dalam satu gabungan dengan DAP.
Ia memandangkan beliau sendiri pernah menuduh DAP sebuah parti rasis dan hanya menukar nadanya dengan ‘mengiktiraf’ DAP sebagai parti pelbagai kaum ketika berucap di Konvesyen DAP.
Begitu juga PKR, apa yang beliau tidak kata kepada parti itu yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malah ‘serangan’ beliau terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu satu ketika dahulu begitu dahsyat sekali.
Dan lebih pelik bila Dr.Mahathir sanggup bersama Amanah yang dipimpin oleh Mohamad Sabu. Tontonlah video-video di Youtube, dengarlah apa yang Mohamad Sabu pernah kata kepada Dr.Mahathir.
Tetapi oleh kerana Dr.Mahathir mempunyai tujuan politik untuk menjatuhkan Najib dan kononnya demi menyelamatkan negara, beliau sanggup melupakan semua itu, soalnya adakah ini prinsip Dr.Mahathir?
Seperkara lagi, kalau mahu bercakap soal prinsip, kenapakah Dr.Mahathir tidak mempersoalkan tindakan pembentukan Kerajaan Negeri Sabah yang wujud hasil wakil-wakil rakyat UMNO melompat parti. Kalau Dr.Mahathir melihat UMNO terlalu teruk, kenapakah beliau bersedia untuk terus bersekutu dengan Warisan?
Dan kenapakah ketika menjadi Pengerusi Bersatu dahulu, Dr.Mahathir sanggup menerima Ahli Parlimen UMNO yang melompat menyertai parti beliau? Apakah hanya disebabkan ia boleh menguntungkan politik beliau maka segalanya boleh dibenarkan?
Sekarang apabila pemimpin-pemimpin Bersatu ingin memperkukuhkan kuasa politik Melayu, Dr.Mahathir ‘terpekik terlolong’ tidak habis-habis dengan menyerang Muhyiddin.
- Alasan ‘klasik’ kenapa letak jawatan PM
KATA DR.MAHATHIR : ‘’Saya terpaksa meletak jawatan Perdana Menteri selepas Bersatu mengambil keputusan untuk keluar daripada gabungan PH. Ia bermakna kami semua tidak lagi menjadi anggota kerajaan.
Saya terpaksa menulis kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa saya bukan lagi PM, saya minta izin untuk lepaskan, namun Agong minta saya jadi PM sementara. Tidak benar saya letak jawatan, saya terpaksa digugurkan kerana PPBM keluar PH dan PH tidak lagi jadi kerajaan.
KOMEN SAYA : Ini hanya alasan ‘klasik’ Dr.Mahathir untuk menutupi kesilapannya meletakkan jawatan Perdana Menteri. Beliau sendiri mengaku silap strategi ketika berbuat demikian. Dan beliau juga berkali-kali berhujah berbuat demikian kerana tidak mahu bekerjasama dengan UMNO dan Pas.
Malah dalam sidang akhbar yang disiarkan di seluruh negara, Dr.Mahathir menyatakan bahawa beliau bersedia menyokong Muhyiddin jika Ahli Parlimen Pagoh itu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen. Dr.Mahathir tidak sebutpun ‘Ahli Parlimen mana?’’.
Oleh itu apabila Muhyiddin mendapat sokongan itu melalui Bersatu, UMNO, Pas, GPS dan beberapa parti dari Sabah, Dr.Mahathir sepatutnya kotakanlah janji untuk sokong Muhyiddin, malangnya itu tidak berlaku.
Sebaliknya beliau tuduh pula Muhyiddin penghianat yang sanggup bekerjasama dengan ‘penyangak, penyamun dan perompak.’’
Ternyata sekali Dr.Mahathir semakin celaru fikirannya sehingga beliau berhujah berbelit-belit macam belitan ‘ular sawa mahu menelan kambing!’
- Covid-19 : Hujah dangkal terhadap usaha Muhyiddin
KATA DR.MAHATHIR : Rakyat kini tidak senang dengan pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, terutama ketika negara berdepan pandemik Covid-19 yang menyaksikan banyak pihak menerima kesan, antaranya kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
Apabila kita halang orang keluar rumah, mereka tidak dapat bekerja dan berniaga. Kadang-kala kebuluran. Ramai daripada kita ini cari makan secara harian, iaitu kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Ini berlaku sekarang, ramai rakyat jadi miskin dan segala bidang kerja tidak boleh dilakukan. Untuk mengatasinya, kita perlu pakar bijak dalam bidang ini.
KOMEN SAYA : Inilah hujah paling dangkal daripada Dr.Mahathir. Amarah politik yang menyelubungi dirinya menyebabkan bekas Perdana Menteri itu dilihat ‘semakin merapu’ bila berhujah.
Apabila wabak Covid-19 melanda, hampir seluruh dunia melakukan ‘lock down’ bagi mengelakkan wabak itu merebak. Ia adalah langkah yang perlu dilakukan demi menyelamatkan nyawa rakyat.
Kerajaan di bawah kepemimpinan Muhyiddin tidak boleh mengikut jejak kerajaan di bawah kepemimpinan Dr.Mahathir yang teragak-agak mahu melakukan ‘lock down’.
Memang langkah itu akan memberi kesan kepada ekonomi negara dan kehidupan rakyat, tetapi apa pilihan yang kita ada?
Tidak mengapa kalau tidak mahu mengiktiraf kejayaan Perdana Menteri menangani pandemik Covid-19 sehingga mendapat pujian dunia dan disokong oleh rakyat negara ini, tetapi janganlah membuat hujah ‘merepek’ dengan berkata,’’ kita halang orang keluar rumah, mereka tidak dapat bekerja dan berniaga. Kadang kala kebuluran.’’
Halangan itu terpaksa dilakukan demi untuk menyelamatkan nyawa rakyat, kerajaan bukan suka-suka mahu melakukan sekatan atau ‘lock down’.
Kerajaan pun tahu kesannya sebab itulah kerajaan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi yang menyaksikan rakyat yang terkena kesan atau impak Covid-19 diberikan pelbagai bantuan termasuk kewangan. Kalau Dr.Mahathir mungkin suruh rakyat ‘ikat perut’ saja.
Dulu semasa PKP kali pertama dilaksanakan, Dr.Mahathir juga sering membuat rakaman video menggesa rakyat mematuhi PKP, jangan keluar rumah dan jaga kebersihan, tetapi sekarang apabila Covid-19 sudah berjaya dikawal dan segala langkah kerajaan dipuji rakyat, Dr.Mahathir pula bagaikan, ‘cacing kepanasan’.
KESIMPULANNYA, Dr.Mahathir hakikatnya sedang resah gelisah. Beliau sudah tidak ada hujah lagi bagaimana mahu memburuk-burukkan Muhyiddin.
Oleh itu beliau terus mengulangi hujah-hujah ‘lapuk’ dan alasan ‘basi’ untuk melepaskan kemarahan dan kekecewaan, tetapi Dr.Mahathir lupa rakyat khususnya orang Melayu sudah tidak peduli apa pun beliau mahu cakap, lagipun beliau adalah blok bebas (sekutu pembangkang).