27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kekal calonkan Shafie, blok bebas: Mahathir pecahkan pembangkang?

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini ‘bertindak balas’ terhadap pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri apabila bukan sahaja tetap mencalonkan Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal tetapi juga membuat keputusan tidak menyertai mana-mana gabungan.

Sebaliknya hari ini, dalam kenyataan bersama beliau dan lima lagi Ahli Parlimen, mereka membuat keputusan untuk bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan luar Parlimen.

Lima lagi ahli Parlimen tersebut ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan Datuk Dr. Shahrudin Md.Salleh (Sri Gading).

Tindakan Dr.Mahathir yang genap usia 95 tahun hari ini dilihat akan memecah belahkan blok pembangkang memandangkan beliau dan lima ahli Parlimen tersebut serta Warisan tidak lagi berada dalam PH plus.

Ia bermakna PH kekal dianggotai PKR yang mempunyai 38 kerusi Parlimen, DAP (42 kerusi) dan Amanah (11 kerusi). Manakala blok bebas akan disertai 6 bekas ahli Parlimen Bersatu termasuk Dr. Mahathir dan parti Warisan yang menguasai 9 kerusi Parlimen.

Selain boleh mencetuskan perpecahan dalam pembangkang, apa yang dilakukan oleh Dr.Mahathir juga dijangka meningkatkan ketegangan hubungan beliau dengan Anwar.

Ia memandangkah langkah itu menunjukkan bekas Perdana Menteri tersebut menolak Anwar menjadi calon Perdana Menteri secara muktamad!

Menurut Dr. Mahathir, walaupun Majlis Presiden PH telah menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri, ia tidak melibatkan beliau dan rakan-rakan dari Bersatu serta Warisan.

Beliau juga menjelaskan, cadangan mencalonkan Mohd.Shafie dibuat hasil perbincangan dengan pemimpin Warisan, Amanah dan DAP pada 25 Jun.

‘’Di dalam perbincangan itu, Amanah dan DAP telah mencadangkan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar serta Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Kedua.

‘’Saya dan rakan-rakan dari Bersatu telah bersetuju dan menyokong cadangan tersebut. Ini kerana mahu menyelesaikan kebuntuan memilih calon yang sesuai dan mampu mendapatkan sokongan untuk mendapatkan kembali mandat rakyat daripada kerajaan sekarang,’’ katanya.

Sambil menjelaskan mesyuarat telah meminta beliau membuat pengumuman mengenai keputusan itu seperti mana dilakukan pada 27 Jun, bagaimanapun Dr. Mahathir berkata, DAP dan Amanah yang menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH pada 6 Julai menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

‘’Bagi pihak kami, mencalonkan Datuk Seri Shafie sebagai Perdana Menteri adalah satu langkah positif yang perlu diambil. Ia bukan sahaja kerana kita percaya dia akan berkeupayaan untuk mendapatkan sokongan majoriti tetapi juga satu langkah ke hadapan demi mempertingkatkan hubungan Semenanjung dan Sabah dan Sarawak,’’ katanya.

Untuk rekod, sebaik sahaja Dr.Mahathir mengumumkan Mohd.Shafie sebagai calon Perdana Menteri, DAP dan Amanah dalam kenyataan bersama menegaskan, cadangan pencalonan itu perlu dibincangkan di peringkat kepemimpinan Amanah dan DAP serta menjelaskan pertemuan dengan Dr. Mahathir pada 25 Jun merupakan pertemuan tidak rasmi. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan