25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Disamakan jeneral Jepun, Duta AS cukur misai

Mesti Baca

SEOUL – Gara-gara misainya dikaitkan dengan pemimpin tentera Jepun yang menjajah negara ini semasa Perang Dunia Kedua, Duta Amerika Syarikat (AS) ke Korea Selatan terpaksa mencukur asetnya yang mencetuskan perdebatan masyarakat sejak beberapa bulan lalu.

Harry Harris, laksamana bersara tentera laut AS mencukur misainya di sebuah kedai gunting di ibu negara ini, hari ini.

Katanya, beliau berbuat demikian agar kekal dalam keadaan dingin semasa musim panas ketika memakai pelitup muka bagi mematuhi peraturan berkaitan Covid-19.

“Saya merasa lebih dingin sekarang,” kata Harris dalam sebuah video yang menunjukkan imej baharunya.

Misai Harris mencetuskan kritikan penduduk tempatan yang mengaitkannya dengan era penjajahan Jepun di Korea Selatan dari 1910 hingga 1945.

JENERAL tentera Jepun dengan misai yang didakwa digayakan oleh Harris

Awal tahun ini, pengkritik dan ahli politik Korea Selatan mendakwa misai Harris mengingatkan mereka akan kumis jeneral Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Harris dilantik sebagai duta AS ke Korea Selatan sejak 2018.

AS menempatkan sebanyak 28,500 tentera di Korea Selatan sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan untuk mencegah pencerobohan Korea Utara yang menyerang negara itu pada tahun 1950.

Harris sebelum itu telah meningkatkan ketegangan antara Washington dan Seoul apabila mendesak Korea Selatan mengeluarkan lebih banyak perbelanjaan ke atas ketenteraannya dan mengambil pendekatan yang berbeza dalam hubungan Seoul dengan Pyongyang.

Lapor portal BBC,bagaimanapun dalam konteks perdebatan itu, misai Harris dan kaitannya dengan Jepun menjadi aspek lebih kontroversi.

Pemimpin tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua, Hideki Tojo, Sadao Araki dan Shunroku Hata kesemuanya dirakam menggayakan misai seperti Harris.

Namun ahli akademik mendakwa, misai Haris itu merupakan gaya yang biasa digunakan oleh pemimpin Asia Timur termasuk pemimpin nasionalis China, Chiang Kai-shek antara 1928 dan 1949.

Harris yang merupakan anak lelaki kepada pasangan pegawai tentera laut AS dan wanita Jepun mendakwa kritikan itu berpunca daripada keturunannya itu.

“Misai saya untuk beberapa sebab telah menjadi daya tarikan di sini.
“Saya dikritik media di sini terutamanya di media sosial kerana latar belakang etnik saya, saya orang Jepun-Amerika,” katanya.

Harris memaklumkan kepada Korea Times bahawa beliau memutuskan untuk membiarkan misainya tumbuh bagi menandakan ‘kehidupan baharunya sebagai diplomat’.

Misai itu katanya akan terus kekal sehingga seseorang meyakinkan beliau ia merosakkan hubungan antara AS dan Korea Selatan. – Agensi

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan