ARSENAL menundukkan juara bertahan Manchester City 2-0 sekali gus menempah tiket ke perlawanan akhir Piala FA yang akan berlangsung di Wembley, bulan depan.
Biarpun anak-anak buah Pep Guardiola menjadi pilihan untuk menang dalam aksi separuh akhir pagi ini namun Pierre-Emerick Aubameyang merobek gawang City dalam setiap separuh masa untuk memberi kemenangan kepada The Gunner.
Arsenal kini berpeluang untuk melebarkan rekod menjulang Piala FA sebanyak 14 kali apabila berhadapan pemenang antara Manchester United atau Chelsea pada 1 Ogos ini.
Manakala bagi pengurus Mikel Arteta, tiada apa yang lebih dibangkakan melainkan persembahan keseluruhan pasukannya.
“Saya cukup gembira dan bangga dengan para pemain kami, tetapi malangnya kami tidak dapat menikmati detik ini bersama para penyokong kami dan seronok menyaksikan pasukan mara ke final,” katanya kepada BT Sport.
“Untuk menewaskan pasukan terbaik anda perlu bijak merebut peluang dan anda perlu bertahan dengan meletakkan setiap orang di garisan.”
Ini adalah kemenangan pertama Arsenal ke atas City selepas lapan pertemuan terakhir kedua-dua kelab ini.
Sementara itu Guardiola agak kecewa selepas tewas dan menyalahkan para pemain yang gagal menampilkan persembahan terbaik, gagal mengawal dan merebut peluang.
“Kami tidak bermain baik, permainan separuh masa pertama kami tidak sebaik separuh kedua,” katanya.
City kini memberi tumpuan kepada Liga Juara-juara dan akan menentang Real Madrid dalam akhir kedua suku akhir pada 7 Ogos. – Agensi