PENYANYI Indonesia, Anang Hermansyah dan isterinya, Ashanty hampir menjadi mangsa penipuan oleh sepasang suami isteri yang menyamar sebagai ‘Sultan Jember’.
Suspek dikatakan berminat untuk membeli rumah agam bekas suami Krisdayanti itu yang terletak di Cinere, Jawa Barat dan bersedia untuk membayar tunai sebanyak Rp35 bilion (RM10 juta).
Bagaimana pun dia terselamat apabila mendapati pembeli terbabit ternyata cuba menipunya.
Isteri Anang, Ashanty dikatakan hampir melepaskan surat pemilikan rumah tersebut kepada suspek yang berasal dari Jember, Jawa Timur.
Beliau sudah menunggu kedatangan suspek untuk menyerahkan wang tunai tersebut namun pasangan tersebut tidak muncul.

Ternyata pelontar lagu ‘Separuh Jiwaku Pergi’ yang kini menceburi bidang politik itu bukan mangsa pertama Sultan Jember sebalik suspek pernah melakukan beberapa siri penipuan sebelum ini.
Suspek yang dikenali sebagai Haduri Wijaya berasal dari Madura dan pernah bekerja di Malaysia manakala isterinya, Rita tinggal di Jakarta.
Modus operandi penipuan dengan berpura-pura membeli aset termasuk rumah mangsa dan menawarkan pelaburan sehingga Rp 1 triliun (RM289 juta).
“Setelah menandatangani perjanjian, Handuri dan Rita akan meminta wang pendahuluan antara Rp25 juta hingga Rp150 juta. Setelah mangsa bersetuju, suspek menghilangkan diri,” lapor Suara.com
Untuk meyakinkan mangsa, kedua-duanya menunjukkan gambar dan laporan berita palsu mengenai pemberian sumbangan Rp200 bilion kepada Palang Merah Indonesia di Jawa Timur.
Sementara itu Ashanty bimbang apabila dia serta suaminya sempat bergambar dengan suspek dan mungkin digunakan untuk menipu mangsa lain. – Agensi