29.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Layakkah Mukhriz dilantik Timbalan Perdana Menteri?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SALAH satu topik menarik dalam wawancara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan sebuah portal berita yang disiarkan semalam ia berhubung spekulasi bahawa beliau akan berkompromi terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada Datuk Seri Mukhriz.

Sebenarnya, spekulasi untuk meletakkan anak Mahathir itu di posisi tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini wujudnya dakwaan kononnya Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dikatakan berkira-kira mahu melakukan langkah yang sama bagi membolehkan beliau berdamai dengan Mahathir.

Malah dalam ‘psywar’ oleh ‘Cybertrooper’ Pakatan Harapan (PH), mereka menyenaraikan Mukhriz sebagai TPM bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal jika pakatan itu berjaya menawan semula Putrajaya.

Bagaimanapun perlu ditegaskan bahawa tidak pernah sekalipun Mukhriz bercakap soal mahu menjadi TPM, tetapi pernah menafikan spekulasi yang beliau akan dilantik sebagai Menteri Pendidikan bagi menggantikan Dr.Maszlee Malik yang membuat keputusan meletakkan jawatan itu ‘’selepas mendapat nasihat ayahanda Mahathir.’’

Apapun apabila tercetus idea untuk meletakkan Mukhriz sebagai TPM diketengahkan maka terpancullah soalan, layakkan beliau?
Persoalan itu wujud kerana selama ini persepsi orang, Mukhriz tidak ada apa-apa istimewa, penglibatan beliau dalam politik dikaitkan dengan bapanya.

Apabila Mukhriz bertanding jawatan Exco Pemuda UMNO pada 2004 beberapa bulan selepas Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Mukhriz menang besar.

Ketika itu orang melihat Mukhriz berpotensi untuk mengikut jejak Mahathir, tetapi apabila pada tahun 2006 beliau turut mengkritik pentadbiran Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi sama seperti mana dilakukan oleh Mahathir, rakyat mula bertanya, adakah Mukhriz mahu menjadi diri sendiri atau sekadar mengikut apa sahaja gaya politik bapanya?

Walaupun Mukhriz tidak mengikut jejak Mahathir meninggalkan UMNO pada Mei 2008 kerana kecewa dengan pentadbiran Abdullah, namun beliau dilihat tidak dapat memisahkan diri daripada pengaruh politik bapanya.

Apabila Mahathir mula mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan isu 1 MDB, Mukhriz turut serta sehingga akhirnya beliau tersingkir daripada kerusi Menteri Besar Kedah pada 2016 dan pada tahun yang sama juga beliau dipecat daripada UMNO. Menariknya turut menerima nasib yang sama ialah Muhyiddin.

Ketika itu populariti Mahathir cukup memuncak kerana rakyat khususnya orang Melayu amat menyanjungi beliau dan berkongsi sentimen yang sama dalam isu 1MDB.

Oleh itu apabila Mukhriz dipecat manakala Mahathir mengumumkan keluar daripada parti itu bersama Tun Dr.Siti Hasmah Mohd. Ali pada 29 Februari 2016 ia membawa petaka politik kepada Barisan Nasional (BN).

Tindakan Mahathir bekerjasama dengan PH yang didominasikan DAP dan ditambah pula dengan sentimen termasuk segelintir orang Melayu yang terpengaruh dengan dakyah penyelewengan dana 1MDB telah memungkinkan BN tumbang selepas 61 tahun memerintah dalam PRU-14.

Tetapi sekarang senario sudah berubah. Tempoh 22 bulan pemerintahan PH telah menyebabkan rakyat khususnya orang Melayu mulai sedar kesilapan mereka.

Berikutan itu apabila Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri sehingga menyebabkan kerajaan PH tumbang, majoriti rakyat tidak simpati malah orang Melayu bersyukur.

Advertisements

Pemerhati politik berpendapat, jika Mukhriz mahu melangkah lebih jauh dalam politik, beliau tidak boleh lagi dilihat bergantung kepada bapanya.

Mukhriz masih muda dan pengalaman beliau dalam politik lebih lama berbanding bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Sadiq Syed Abd.Rahman yang dikhabarkan menjadi orang kepercayaan Mahathir ketika ini.

Secara peribadi, penulis berpendapat, jawatan TPM terlalu tinggi untuk Mukhriz, walaupun beliau sudah dua kali menjadi Menteri Besar dan dua kali juga terpaksa meletakkan jawatan kerana kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri.

Tambahan pula, walaupun dua kali menjadi Menteri Besar – selama hampir tiga tahun pada kali pertama dan 22 bulan pada kali kedua, beliau dianggap tidak begitu menyinar, orang di Kedah kata, ‘’tak dak apa-apapun’’.

Namun untuk bertindak adil, kita juga harus menerima hakikat mungkin beliau tidak sempat bersinar kerana dua kali tidak diizinkan menamatkan penggalnya.

Bagaimanapun ia belum mampu menutup persepsi dan pandangan bahawa Mukhriz tidak ada apa-apa keistimewaan dan jauh sekali boleh mengikut jejak bapanya yang menjadi Perdana Menteri sebanyak 2 kali, kali pertama 22 tahun dan kali kedua 22 bulan.

Oleh itu penulis bersetuju dengan pandangan Anwar bahawa apabila ditanya berhubung spekulasi Mukhriz akan dilantik sebagai TPM, beliau menjawab; ‘’ “Orang bagi macam-macam cadangan dan kami mesti berikan pertimbangan sewajarnya. Tapi akhirnya, ia merupakan isu tahap sokongan yang dimiliki seseorang dan daya saing.’’

Ayat ‘’tahap sokongan dan daya saing’’ yang digunakan oleh Anwar boleh dianggap cabaran terbesar kepada Mukhriz. Bekas Menteri Besar itu harus jujur untuk menilai sejauh manakah tahap sokongan yang beliau miliki sekarang sama ada dalam kalangan rakyat mahupun Bersatu.

Adakah beliau benar-benar mempunyai sokongan padu dalam Bersatu apabila mencabar Muhyiddin bagi jawatan Presiden sebelum keahliannya dikatakan gugur secara automatik?

Apakah rekod yang beliau mahu bentangkan bagi melayakkan beliau menduduki jawatan tersebut sekaligus menyingkirkan Muhyiddin yang kini Perdana Menteri? Adakah beliau akan sekadar bersandar kepada ‘keberanian’ bersama dengan ayahnya menentang dua Perdana Menteri sebelum ini dan terbaru dengan Muhyiddin?

Hakikatnya, terlalu banyak persoalan dan pandangan berhubung sama ada Mukhriz layak atau tidak menjadi TPM, tetapi kalau ditakdirkan Allah beliau berjaya menduduki jawatan itu, tidak kiralah melalui apa cara sekalipun termasuk kompromi politik, Alhamdulillah, itu rezeki beliau.

Namun pada masa sama, komen seorang pembaca dalam sebuah blog yang disiarkan Rabu lalu menarik untuk difikirkan. Pembaca itu mencatatkan;

‘’ Mukhriz masih relevan ketika bapanya masih sihat. Jika berlaku sebaliknya, Mukhriz tiada apa-apa kekuatan. Kalau nak gunakan pengaruh Mukhriz kerana bapanya tidak mencerminkan sokongan jujur di depan rakyat. Biarlah dia belajar erti kehidupan politik tanpa pengaruh bapanya.
Jika ada rezeki, berpeluang. Jika tiada rezeki, terkuburlah seperti mana pemimpin-pemimpin yang lain.’’

Semoga Mukhriz memahami cabaran yang menanti jika beliau benar-benar ingin melangkah jauh dalam politik, apatah lagi jika bekerjasama dengan PH di bawah teraju Anwar. Beliau perlu memiliki ‘’tahap sokongan dan daya saing’’ – jika tidak, kita boleh jangkakan apa akan berlaku.

Advertisements

Terkini

Bernas tanam padi pulut berskala besar di Langkawi

PADIBERAS Nasional Berhad (Bernas) melaksanakan projek penanaman padi pulut berskala besar membabitkan ladang sawah seluas 540 hektar di Langkawi,...

Lagi Artikel Berkaitan