25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

‘Galah sejengkal’ antara ilusi PH, harapan orang Melayu dan realiti politik

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

KETIKA hubungan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir Mohamad semakin tegang berikutan perebutan siapa sepatutnya menjadi calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan plus, penulis teringat analogi ‘galah sejengkal’ yang digunakan oleh Maszlee Malik.

Dan hari ini Anwar dalam twitternya memaparkan gambar beliau mengait kelapa muda dengan menggunakan galah.

Dalam ciapannya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, ”galah seratus jengkal kait kelapa muda, berbudi dengan tanah badan segar ceria.”

Walaupun ayat itu tidak ditujukan kepada sesiapa, tetapi netizen teringat kenyataan Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam menggunakan analogi ‘galah sejengkal’ bagi menggambarkan kenapa Mahathir lebih sesuai menjadi calon Perdana Menteri pakatan berbanding Anwar.

Kata Maszlee, ahli politik berusia 95 tahun itu ibarat ‘galah sejengkal’ yang mampu membantu blok PH melepasi angkat 112 kerusi Parlimen untuk kembali berkuasa.

Maszlee yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan selepas mendapat ‘nasihat ayahanda Mahathir’ berkata, kalau PH berharap kepada kemampuan Anwar sampai bila-bila pun PH tidak akan mampu melepasi angkat keramat itu.

Presiden Warisan Mohd. Shafie Apdal pula berkata, beliau menyokong Mahathir kerana yakin dengan kepemimpinan bekas Perdana Menteri itu.

‘’Yang ini usianya lanjut tapi dari segi wisdom (kebijaksanaan) kita harus pilih, maka saya lihat bahawa perlu untuk pastikan supaya pembinaan sebuah negara ada kelangsungannya,’’ kata beliau.

Selain itu pemimpin PH (kecuali PKR) yakin pengaruh Mahathir mampu menarik sokongan orang Melayu seperti mana berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hebat sungguh harapan mereka kepada Ahli Parlimen Langkawi itu walaupun Kerajaan PH tumbang kerana beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri pada Februari lalu.

Tetapi mereka lupa kita bukannya mahu menghadapi PRU-14 tetapi PRU-15. Mereka juga lupa sekarang tahun 2020 bukan penghujung tahun 2015 yang menyaksikan kritikan Mahathir terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1MDB berlanjutan sehingga BN tumbang pada tahun 2018.

Mereka mungkin terlupa bahawa PH sudah diberikan peluang menjadi kerajaan selama 22 bulan dan Mahathir sudah menjadi Perdana Menteri kali kedua. Dalam tempoh itu rakyat khususnya orang Melayu sudah mampu melihat dan menilai segala-galanya.

Dahulu mungkin Mahathir ‘galah sejengkal’ yang mampu ‘mengait’ semua parti pembangkang bagi membolehkan mereka mempunyai angka mencukupi untuk memerintah, dahulu Mahathir mungkin dilihat memiliki kebijaksanaan untuk terus memimpin negara dan dahulu mungkin Mahathir dilihat mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan orang Melayu.

Advertisements

Tetapi rakyat khususnya orang Melayu sudah melihat bagaimana ‘galah sejengkal’ itu digunakan oleh orang lain untuk ‘memetik buah bagi mengenyangkan perut’ mereka.

‘Galah sejengkal’ hanya membiar dan mengikut sahaja ‘buah pokok mana yang mahu dikait’, walaupun ‘buah-buah’ yang dijolok itu menimbulkan perasaan marah dan tidak puas hati kepada orang Melayu.

Oleh itu apa gunanya ‘galah sejengkal’ kalau sekadar ‘mengait buah’ untuk kelompok tertentu sahaja dan diperalatkan bagi melaksanakan agenda politik mereka yang sudah pastinya tidak menguntungkan orang Melayu.

Penulis juga tertanya-tanya benarkah ‘galah sejengkal’ masih ada pengaruh untuk meraih sokongan orang Melayu seperti mana diharapkan pemimpin PH?

Mereka memahami dalam pakatan termasuklah pemimpin Amanah tiada kemampuan untuk meraih sokongan orang Melayu, begitu juga PKR, oleh itu bak kata pepatah, tiada rotan akar pun berguna.

‘Galah sejengkal’ mahu terus digunakan walaupun hakikatnya, ‘galah sejengkal’ sudah ‘semakin lemah’ dan sudah tidak lagi menjadi harapan kepada orang Melayu.

Orang Melayu sudah serik dengan ‘galah sejengkal’ dan melihat bagaimana lemahnya ‘galah sejengkal’ ketika bersama-sama PH. Tanpa menguasai kerusi majoriti, ‘galah sejengkal’ dilihat akan menjadi ‘alat’ kepada orang lain. Tempoh 22 bulan sudah cukup bagi orang Melayu mengetahui mereka tidak boleh bergantung kepada ‘galah sejengkal’ lagi.

Begitu juga apabila pemimpin Warisan bercakap soal kebijaksanaan ‘galah sejengkal’. Dahulu kebijaksanaan dan keberanian memang dikaitkan dengan ‘galah sejengkal’.

Tetapi sekarang ‘galah sejengkal’ sudah semakin ‘tumpul’ kebijaksanaannya dan semakin luntur keberaniannya. Bijakkah ‘galah sejengkal’ apabila ramai tidak berpuas hati bila kementerian strategik seperti Kementerian Kewangan diberikan kepada DAP?

Bijakkah ‘galah sejengkal’ apabila secara berterusan memperlekeh bangsa sendiri dengan menganggap mereka malas dan bacul kerana takut kepada DAP? Bijakkah ‘galah sejengkal’ apabila dilihat tidak berbuat apa-apa ketika aset-aset negara termasuk milik Tabung Haji dijual dengan pelbagai alasan?

Banyak lagi isu yang berlaku sepanjang 22 bulan, ‘galah sejengkal’ sebenarnya sudah tumpul kebijaksanaan politik dan karisma kepemimpinannya semakin hilang serta tidak memiliki apa-apa keistimewaan lagi.

Mungkin sebab itu orang melihat ‘galah seratus jengkal’ Anwar ada maknanya ketika PKR bertegas menolak Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.- Sama-sama kita tunggu ‘galah’ mana yang akan menang.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan