26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, December 2, 2024

Cukuplah Tun M, kasihanilah rakyat

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

TINDAKAN Tun Mahathir Mohamad mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat telah membuktikan kemarahan politik Pengerusi Bersatu itu sudah sampai kemuncaknya

Pemimpin politik berusia 95 tahun itu yang pernah mencatatkan sejarah sebagai Perdana Menteri paling tua di dunia ternyata tidak mampu menerima hakikat bahawa beliau kehilangan jawatan tersebut setelah 22 bulan mendudukinya buat kali kedua.

Walaupun ia disebabkan salah strategi sendiri tetapi seperti biasa Mahathir tetap Mahathir – seolah-olah hanya beliau yang sempurna- orang lain semua salah. Penulis tidak pasti sejauh manakah usul itu akan berjaya. Segala-galanya terserah kepada Dewan Rakyat.

Tetapi persoalannya wajarkah seorang tokoh yang begitu dibanggakan oleh pelbagai pihak sebagai negarawan masih tergamak melakukan gerakan politik ketika negara kita masih lagi `berperang’ melawan COVID-19.

Kalau Mahathir betul-betul pemimpin yang prihatin kepada rakyat, beliau pasti akan faham betapa sengsara impak akibat wabak itu kepada rakyat negara ini. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, ramai yang hilang pekerjaan.

Jabatan Statistik Malaysia hari ini menyatakan kadar pengangguran mencatatkan jumlah tertinggi dalam tempoh 10 tahun. Berdasarkan statistik terbaru, kadar penggangguran pada Mac 2020 meningkat 3.9 peratus – rekod paling tinggi sejak Jun 2010 iaitu 3.6 peratus.

Pada masa sama, ternampak jutaan rakyat lagi sedang menaruh harapan tinggi kepada kerajaan memulihkan semula ekonomi dan memberikan bantuan untuk mereka meneruskan kehidupan demi sesuap nasi.

Ketika ini Kerajaan PN telah melakukan terbaik bagi membantu rakyat tetapi perjuangan masih belum selesai, kesengsaraan rakyat akibat bahana Covid19 masih belum berakhir dan jangan ditambah lagi penderitaan mereka dengan politik `kemaruk kuasa’ yang tidak berkesudahan. Soalnya, adakah semua ini ada dalam fikiran Mahathir?

Apakah jawatan Perdana Menteri atau menjatuhkan Muhyiddin jauh lebih penting daripada nasib rakyat?

Mahathir sepatutnya faham rakyat sedang menderita, rakyat sedang sengsara, ada antara mereka belum tentu dapat makan tiga kali sehari kerana hilang pekerjaaan ketika PKP. Sekarang negara baru mahu bangkit semula, jangan diganggu dengan nafsu politik yang tiada penghujung.

Cukuplah 22 bulan, Kerajaan PH memerintah yang Mahathir menjadi Perdana Menteri, manifesto yang dibentangkan bagi memperdayakan rakyat menyokong pakatan itu akhirnya tidak ditunaikan.

Advertisements

Apabila rakyat menuntut, kata Mahathir, “ia bukan kitab suci yang wajib ditunaikan”. Sebab itulah Kerajaan PH tumbang tidak sampai sepenggal kerana rakyat ditipu.

Dan perlu diingat kerajaan PH jatuh kerana angkara sendiri! Armada Perak dalam satu kenyataan kelmarin mengesahkan, pemimpin PKR dan DAP yang paling hebat mendesak Mahathir meletakkan jawatan. Apabila kedua-dua parti itu semakin melampau maka berlaku pergolakan dalam Bersatu.

Mahathir perlu faham, kerajaan berusia 22 bulan tidak akan jatuh jika beliau tidak meletakkan jawatan dan ketika menjadi Perdana Menteri Interim, beliau yang mahu Kabinet sedia ada dibubarkan kerana beliau mahu mewujudkan Kabinet Perpaduan – yang ditolak semua parti termasuk sekutu beliau. 

Sekarang kenapa pula cuba menutup kesilapan strategi itu dengan menuding jari kepada UMNO dan Pas?

Cukuplah Tun! Berilah peluang kepada Muhyiddin untuk menerajui negara dengan tenang. Kasihanilah rakyat, mereka tidak pedulipun dakyah-dakyah Tun bersama kawan-kawan yang bercakap soal  ‘kerajaan pintu belakang’,’tebuk atap’ dan ‘pengkhianatan’. Apa yang rakyat mahukan ialah kerajaan membela nasib mereka.

Kalau betul lah rakyat tidak suka dengan cara Kerajaan PN ditubuhkan, Tun bersabarlah menanti PRU-15. Insha-Allah, kalau Allah SWT sudah tentukan Tun akan menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga, tiada siapa yang boleh menghalangnya.

Begitu juga kalau Dr. Mahathir bercadang menaikkan seseorang daripada Malaysia Timur sebagai Perdana Menteri, kalau rezeki orang itu, tiada siapapun boleh tolak.  Tetapi biarlah semuanya itu ditentukan oleh rakyat melalui PRU-15, bukan sekarang.

Ketika ini tumpuan adalah untuk memulihkan ekonomi negara dan kehidupan rakyat. Apa yang dilakukan oleh Kerajaan PN setakat ini mendapat pujian pelbagai pihak malah rakyat dari negara lain turut memuji cara Muhyiddin.

Apakah disebabkan ini Dr. Mahathir ‘cemburu’? atau Adakah disebabkan kebencian mendalam terhadap UMNO? Atau bekas Perdana Menteri itu terlalu sayangkan DAP?

Penulis hanya bertanya jawapannya ada pada pemimpin politik paling veteran itu. Yang pasti, cukuplah Tun, kasihanilah rakyat seperti  Mak Cik Kiah, Pak Salleh yang mengharapkan kerajaan stabil bagi membela nasib mereka kerana tidak ada anak bertaraf jutawan atau cucu-cucu yang kaya-raya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PAPTI rangka pelbagai program sambut jubli emas tahun depan

PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) merangka pelbagai program  bagi menyambut Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 penubuhannya tahun depan. Presiden...

Lagi Artikel Berkaitan