30.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 28, 2021

‘Cukup-cukuplah Tun jadi PM kami’

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

SURAT TERBUKA BUAT TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

Assalamualaikum Tun,

Semoga Tun berada dalam lindungan Allah SWT dan sihat sentiasa di bulan Ramadan yang mulia ini. Tujuan surat ini ditulis untuk memaklumkan kepada Tun bahawa kami rakyat Malaysia sudah tidak mahu lagi Tun menjadi Perdana Menteri kami.

Cukup-cukuplah selama 22 tahun Tun menjadi Perdana Menteri Keempat Malaysia (1981-2003) dan kemudian menjadi Perdana Menteri Ketujuh selama 22 bulan (Mei 2018 – Februari 2020).

Tun pun sudah meletakkan jawatan dengan suka rela, tiada paksaan dari rakyat atau ada usul tidak percaya di Parlimen. Yang ada mungkin desakan daripada rakan sekutu parti Tun sendiri dalam Pakatan Harapan yang mahukan Tun menyerahkan kerusi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Lain-lain desakan tiada sama sekali.

Kami sendiri tidak faham kenapa Tun meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh kemudian mengharapkan Yang di-Pertuan Agong melantik semula Tun sebagai Perdana Menteri Kelapan. Permainan apa yang Tun cuba permainkan, kami tidak faham. Apakah Tun gila talak?

Tun juga bermain sandiwara ketika Tun menyatakan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu, parti Tun sendiri ketika menawarkan diri untuk menjadi Perdana Menteri bagi menyelesaikan kemelut perebutan jawatan antara Tun dan Anwar, dan ketika Seri Paduka Baginda buntu untuk memilih seorang calon Perdana Menteri. Tetapi kemudian Tun juga menganggap kerajaan Muhyiddin sebagai kerajaan pintu belakang.

Tun,

Dulu Tun selalu nasihatkan dan memberi petua kepada kami agar “berhenti sebelum kenyang”. Tetapi kalau dilihat keadaan Tun hari ini, kami mahu bertanya apakah Tun masih lagi belum kenyang sehingga sekarang Tun berusaha pula untuk menjadi Perdana Menteri Kesembilan?

Usul yang cuba dibawa oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan kemudian usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang cuba Tun bawa sendiri ke dalam Parlimen, untuk apa Tun?

Baca juga:   UMNO Sabah, hayati sejarah Perang Uhud

Apakah Tun masih mengharapkan Tun kembali menjadi Perdana Menteri untuk kali ketiga dalam hidup Tun?

Sudah-sudahlah Tun. Tun pun sudah hampir berusia 95 tahun, apa lagi yang Tun harapkan? Kalau dikatakan untuk menyelamatkan negara, nak selamatkan daripada siapa Tun? Lagipun kemusnahan apa yang dibawa oleh kerajaan Muhyiddin yang baru berusia dua bulan ini?

Baca juga:   Gantung Parlimen: Azalina persoal penjelasan Takiyuddin

Tun,

Kami mahu maklumkan bahawa kami bahagia dengan kerajaan hari ini. Betul mereka bukan kerajaan yang dipilih rakyat tetapi dari Perdana Menteri sehinggalah menteri-menteri yang dilantik sebahagian besarnya adalah mereka yang sudah diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi untuk mewakili mereka.

Barisan menteri-menteri Kabinet yang mentadbir negara hari ini juga adalah pilihan rakyat, yang dipilih oleh rakyat semasa PRU-14 lalu, cuma dari kalangan parti berbeza.

Betul mereka dari parti politik berbeza tetapi mereka bersatu dalam menjaga kebajikan rakyat, bersama-sama memulihkan ekonomi dan kestabilan negara serta yang paling penting bergerak bersama-sama dalam menangani wabak Covid-19 yang melanda seluruh negara dan dunia sekarang.

Apa guna ada parti yang sama seperti Pakatan Harapan (PH) yang dipilih rakyat jika selama 22 bulan diberi peluang mentadbir negara perjalanan mereka tidak sederap, masing-masing parti mahu menonjolkan diri, tiada kesepakatan, tiada seiya-sekata dan yang lebih buruk saling tuduh menuduh serta saling berebut jawatan Perdana Menteri.

Untuk apa Tun menjaja bahawa PH adalah kerajaan yang dipilih rakyat tetapi kebajikan rakyat diabai, bantuan dan subsidi untuk rakyat yang dihulurkan semasa zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) dipotong, dicantas malah ditarik balik satu persatu.

Baca juga:   Ahli politik fokus tanggungjawab bantu rakyat - Agong

Buat apa Tun meratib bahawa PH adalah kerajaan pilihan rakyat jika Tun mahukan rakyat yang memilih kerajaan Tun mengikat perut, membuang tongkat, bekerja lebih kuat seolah-olah kami rakyat marhain sebelum ini hanya goyang kaki tanpa sebarang usaha.

Maaf Tun, kami sudah tidak perlukan lagi Tun untuk menjadi Perdana Menteri. Cukup-cukuplah peluang yang diberikan sebanyak dua kali sebelum ini.

Kalau benar kerajaan hari ini tidak kompeten, Perdana Menteri gagal mengurus negara, kalau perlu carilah seorang Perdana Menteri yang jauh lebih muda dari Tun.

Kami tidak memerlukan seorang Perdana Menteri yang masih berusaha membawa wawasan lapuk. Cukup-cukuplah dengan Wawasan 2020 Tun, kereta nasional Tun, dasar penswastaan Tun atau misi ke bulan dan puncak Everest Tun.

Zaman itu sudah lama berlalu. Berikanlah kami seorang calon Perdana Menteri yang boleh mewakili generasi hari ini, yang mempunyai wawasan untuk 50 tahun akan datang, bukan wawasan yang 30 tahun yang lalu untuk dibawa hari ini.

Kami tidak mahu Tun menjadi Perdana Menteri kami lagi. Kalau tiada yang layak biarkanlah kerajaan hari ini di bawah Muhyiddin untuk mentadbir negara sehingga PRU-15 akan datang. Dalam PRU itu nanti Tun bertandinglah lagi dan jika PH menang sekali lagi, pilihlah seorang Perdana Menteri yang lebih muda, cergas dan cerdas.

Akhir kata, kami berharap agar Tun tingkatkan ketakwaan Tun sepanjang bulan Ramadan ini. Perbanyakkan amal ibadah bagi menghadapi hari-hari depan yang akan berhenti bila-bila masa sahaja. Sudah-sudahlah memburu duniawi.

Baca juga:   Syed Saddiq masuk politik untuk 'bersihkan politik'?

Sekian, terima kasih dan selamat berpuasa.

1 COMMENT

  1. Ini pandangan peribadi. Agenda sebenarnya TM nak jadi PM bukan saja dendam pada TSMY lebih kepada dendam pada DSN. Dia berjaya jailkan Anuar dan dia telah bersumpah akan jailkan DSN klu tidak dirasa maruahnya tercemar. Terjadi perkara ni sebab DSN lebih popular seluruh dunia atas nama Bosku sedangkan namanya dicaci dan dihina nitizen. Tu yg dia tak boleh tahan. Selama dia memerintah semua agenda menjatuhkan PM berjaya tapi DSN jatuh tapi lebih popular. Itu agenda yg tersirat sebab dia pwrnah cakap PN memerintah akan mengugurkan kes di mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini

Bekas mufti luah syukur Sittah Annur bertaubat

CYBERJAYA - Bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang juga bekas Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk...

Lagi Artikel Berkaitan