28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Mahathir yang tak pernah puas…

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

“JIKA semua pilih Muhyiddin, saya OK.”

Masih terngiang-ngiang kata-kata yang keluar dari mulut Tun Dr Mahathir Mohamad ketika krisis pelantikan Perdana Menteri yang baharu selepas beliau meletakkan jawatan pada penghujung Februari lalu.

Hampir seluruh media pada 27 Februari melaporkan bahawa Dr Mahathir bersetuju sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, sekali gus membuka laluan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu.

Bagaimanapun, selepas Muhyiddin mendapat perkenan Seri Paduka Baginda dan seterusnya mengangkap sumpah sebagai Perdana Menteri, sehinggalah hari ini, Dr Mahathir terus menerus mempersoalkan pelantikan Ahli Parlimen Pagoh itu menggantikannya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan yang kehilangan kuasa sebagai kerajaan selepas 22 bulan mentadbir negara, berterusan menjaja cerita bahawa kerajaan gabungan yang dibentuk oleh Muhyiddin yang kemudian dinamakan Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan tidak sah, kerajaan pintu belakang atau kerajaan tebuk atap.

Walhal beliau sendiri memberi lampu hijau kepada Muhyiddin yang dinamakan sebagai Perdana Menteri, sekali gus menafikan janjinya sendiri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk melepaskan kerusinya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila dibebaskan dari penjara.

Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda telah menjalankan beberapa proses sebelum keputusan dibuat berlandaskan Perlembagaan negara, iaitu dengan memanggil menghadap setiap Ahli Parlimen, mengadakan mesyuarat Majlis Raja-raja dan mendapatkan kepastian daripada pemimpin tertinggi parti politik.

KENYATAAN media yang didakwa dikeluarkan oleh Bersatu. – Sumber: Capital Post

Jelas bahawa pelantikan Muhyiddin dan kerajaan PN dibuat berdasarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen menerusi pengakuan mereka di hadapan Seri Paduka Baginda sendiri dan selepas berunding dengan raja-raja Melayu lain.

Walaupun PH mendakwa mereka mendapat tanda tangan daripada 114 Ahli Parlimen, namun ia tidak terpakai memandangkan Seri Paduka sendiri sudah mengambil kenyataan dari setiap daripada mereka dah sudah tentu ia lebih mutlak berbanding tanda tangan yang dibuat selepas keputusan diambil oleh Yang di-Pertuan Agong.

Advertisements

Namun, seperti kita semua kenali, Dr Mahathir tidak akan mudah mengalah dan beliau akan berusaha sedaya untuk menjatuhkan Muhyiddin dan mendapatkan semula kerusi Perdana Menteri yang dilepaskan sebelum ini.

Usaha terbaru beliau ialah dengan membawa usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Parlimen dan usul itu telah diterima oleh Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Bagaimanapun usaha tersebut terencat selepas kerajaan memutuskan untuk tidak mengadakan perbahasan dalam sidang Parlimen yang berlangsung selama sehari pada Isnin ini, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada Titah Yang di-Pertuan Agong.

Menerusi satu rakaman video yang disiarkan menerusi akaun media sosial miliknya, Dr Mahathir mendakwa kerajaan PN cuba menghalang beliau daripada bersuara di Parlimen, termasuk usaha beliau untuk memberikan penjelasan tentang usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

“Saya tunggu untuk diberi peluang bercakap dan saya akan gunakan masa itu untuk saya menjelaskan sebab-sebab saya bawa usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin.

“Tetapi ada percubaan untuk menghalang saya bercakap sebagai ahli dewan. Apa jenis kerajaan ini di mana ahli dewan tak boleh bercakap,” tegasnya dalam rakaman video tersebut.

Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh itu mendakwa sidang Parlimen pada Isnin ini boleh dianggap tidak sah dan melanggar undang-undang kerana tiada perbahasan diadakan termasuk usul-usul daripada kerajaan.

“Apa guna mesyuarat ini jika hanya mendengar ucapan kerajaan (yang disampaikan) menerusi titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Bagi mereka yang mengenali Dr Mahathir, akan tahu bahawa beliau bukan seorang yang berjiwa besar sebaliknya sangat arogan dengan menuduh orang lain semuanya tidak betul, sebaliknya hanya beliau sahaja yang betul.

Ini bukan perkara baharu, sebaliknya sejak beliau menjadi Perdana Menteri Keempat pada tahun 1980-an dahulu sehingga ke hari ini. Malah semua Perdana Menteri sebelum dan selepasnya tidak pernah betul di matanya.

Malah penulis percaya andai Anwar ditakdirkan menjadi Perdana Menteri, jika Dr Mahathir masih bernafas, beliau juga akan tetap mengkritik, menghentam dan membuat pelbagai tuduhan terhadap Anwar jika tidak kena di matanya.

Apatah lagi Anwar merupakan musuh “bebuyutan” beliau sejak sekian lama sehingga dicampakkan bekas Timabalan Perdana Menteri itu ke penjara dan dari situ tertubuhlah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertujuan menuntut pembebasan pemimpin mereka dari penjara.

Justeru, tidak hairan jika beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan Muhyiddin dengan apa cara sekali pun. Baginya, kepuasan diri itu lebih penting walaupun rakyat secara keseluruhannya sudah menerima kerajaan PN dan kepimpinan Muhyiddin yang dilihat jauh lebih baik berbanding 22 bulan pemerintahan PH.

Advertisements

Terkini

Didenda RM30,000 jual RON95 kepada kenderaan asing

SEORANG pemilik sebuah stesen minyak didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang kerana menjual barangan kawalan berjadual petrol RON95 kepada...

Lagi Artikel Berkaitan