24.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 13, 2024

Covid-19 buka mata rakyat terhadap Muhyiddin, kerajaan PN

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

ISU penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia telah membawa impak positif kepada politik tanah air khususnya pandangan rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang mengambil alih tampuk pemerintahan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak 1 Mac lalu selepas mentadbir negara selama 22 bulan.

Walaupun wabak yang telah membunuh lebih 100 ribu orang setakat ini di seluruh dunia, termasuk lebih 70 orang di Malaysia sejak Disember tahun lalu, namun ia telah membuka mata majoriti rakyat termasuk keupayaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya.

PH, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah dinilai oleh rakyat sebagai sebuah pakatan parti politik yang semasa itu menjadi pembangkang, paling layak menggantikan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 60 tahun, tetapi dilihat membawa banyak kerosakan kepada negara.

Rakyat menilai BN yang diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak, perlu ditumbangkan lantaran mereka merasai bebanan hidup apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan yang dimomokkan pula oleh barisan pembangkang bahawa cukai tersebut dikenakan terhadap rakyat bagi melunaskan hutang 1MDB yang dikatakan dicuri oleh Najib.

Lantaran momokan, hasutan dan fitnah berterusan oleh PH sejak berakhir beberapa pilihan raya umum sebelumnya, ditambah penyertaan Bersatu diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas pemimpin UMNO yang dipecat atau meninggalkan parti itu, maka PH dikatakan parti yang akan menyelamatkan negara.

Majoriti rakyat percaya bahawa Najib telah mencuri wang rakyat ekoran terpalit dengan skandal 1MDB dan “kemewahan” isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang ditonjolkan maka BN telah ditolak oleh rakyat dalam PRU-14 lalu, membolehkan pembangkang PH yang diketuai oleh DAP buat pertama kali dapat memerintah negara.

Namun, rakyat tidak mengambil masa lama apabila corak pemerintahan PH mula dinilai oleh mereka. Sikap kerajaan menerusi tindak-tanduk Dr Mahathir dan para menteri yang kelihatan tunduk terhadap kemahuan DAP, golongan liberal dan LGBT di samping kumpulan pro-bukan Melayu yang lebih menonjol telah menimbulkan kegelisahan rakyat.

Suara-suara rakyat termasuk dalam media-media sosial yang sebelum ini cenderung mencemuh Najib dan UMNO/BN mula berpaling dan menghentam tindakan-tindakan para menteri dan keputusan-keputusan ‘U-turn’ kerajaan Dr. Mahathir dan PH.

Ini termasuk langkah kerajaan membuka pintu seluas-luasnya kepada pelancong dari China ketika Covid-19 sudah mula menular di negara itu khususnya di Wuhan.

Desakan-desakan rakyat agar kerajaan menyekat kemasukan pelancong China tidak diendahkan oleh kerajaan malah mereka menuduh pihak-pihak yang cuba mengajar kerajaan sebagai ‘palatau’ manakala netizen-netizen yang cuba mengingatkan kerajaan tentang bahaya Covid-19 pula ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Namun kuasa Allah siapa yang tahu. Ribut dalam kerajaan PH yang selama ini cuba ditutup akhirnya tidak dapat dibendung. Perebutan jawatan Perdana Menteri antara Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim terkuak pada penghujung Februari lalu, ketika wabak Covid-19 telah mengorbankan tujuh nyawa di Malaysia yang semuanya melibatkan pelancong dari China.

Dr. Mahathir melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri lantaran tidak dapat menahan desakan demi desakan daripada parti-parti dalam kerajaan sendiri serta pertubuhan-pertubuhan pro-Anwar di luar parti. Peletakan jawatan Dr. Mahathir serta tindakan Bersatu keluar dari PH ditambah 11 Ahli Parlimen PKR meninggalkan parti itu menyebabkan PH tumbang selepas hilang majoriti di Parlimen.

Krisis politik yang berlaku dalam kerajaan PH menyebabkan kedudukan kerusi Parlimen terbahagi kepada dua kumpulan iaitu mereka yang menyokong Dr. Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri dan kumpulan penyokong Anwar menyebabkan Yang di-Pertuan Agong mengambil jalan paling selamat iaitu melantik Muhyiddin (selepas menerima sokongan Ahli Parlimen mengatasi Dr Mahathir dan Anwar) sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Walaupun kerajaan Muhyiddin dianggap sebagai kerajaan pintu belakang ekoran pelantikan beliau bukan hasil keputusan pilihan raya umum (PRU), namun cara Ahli Parlimen Pagoh dan bekas Timbalan Perdana Menteri ketika berada di dalam BN itu berdepan wabak Covid-19 telah mencelikkan mata rakyat.

Advertisements

Suara-suara lantang yang mencemuh kerajaan PN di bawah Muhyiddin mula mendapat pujian apatah lagi apabila beliau mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19 dilaksanakan.

Rakyat mulai bersyukur dengan perubahan tampuk pemerintahan kerajaan dari PH kepada PN walaupun tidak melalui proses PRU kerana membayangkan jika PH masih memerintah, sudah tentu kesukaran lebih besar akan dirasai oleh rakyat kerana kerajaan PH dianggap tidak mesra rakyat, tetapi lebih kepada kalangan korporat dan kalangan perniagaan.

Ini dapat dilihat daripada Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh Dr. Mahathir ketika beliau bertindak sebagai Perdana Menteri interims ebelum pelantikan Perdana Menteri sebenar, hanya memberi tumpuan kepada sektor pelancongan dan perniagaan, bukan untuk rakyat marhain.

Ekoran itu, Pakej Rangsangan Ekonomi oleh Perdana Menteri interim bagai angin lalu di mata rakyat dan sedikit pun tidak dirasai oleh golongan marhain. Tambahan pula ketika itu keadaan negara yang ‘tiada kerajaan’ selepas peletakan jawatan Dr Mahathir sendiri.

Sebaliknya Muhyiddin telah berjaya meyakinkan rakyat bahawa kerajaan pimpinannya jauh lebih baik berbanding PH malah bantuan-bantuan yang disalurkan kepada rakyat untuk semua golongan ketika PKP akibat Covid-19 benar-benar menginsafkan para pengundi yang memilih PH sebagai kerajaan semasa PRU-14 lalu.

Langkah demi langkah dibuat oleh Muhyiddin dan Kementerian Kesihatan (KKM) diketuai oleh Datuk Dr Adham Baba selaku Menteri dan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah untuk menangani Covid-19 menggembirakan rakyat, walaupun terpaksa “berkurung” di rumah ekoran PKP.

Golongan mahasiswa yang selama ini paling lantang menentang kerajaan BN dan menjulang tinggi PH mula sedar dan tidak lagi berani bersuara terhadap kerajaan PN, walaupun mereka terpaksa “berkurung” di asrama dan kolej-kolej universiti masing-masing.

Ternyata kepimpinan Muhyiddin, cara beliau menangani isu Covid-19, tidak mengungkit-ungkit kelemahan dan kesilapan kerajaan terdahulu, cara beliau menasihati rakyat bagai seorang bapa serta merendah diri telah membungkam mulut banyak pengkritiknya.

Malah para pemimpin PH yang kini kembali sebagai pembangkang, juga semakin tidak diendahkan rakyat walaupun tidak putus-putus membangkitkan pelbagai isu yang bertujuan menunjukkan kelemahan kerajaan PN, namun sebaliknya telah dikecam dan dicemuh oleh rakyat.

Suara-suara Anwar, Lim Kit Siang, Khalid Samad dan beberapa lagi pemimpin PH yang lantang menyerang Muhyiddin dan kerajaan PN dengan pelbagai tuduhan (senjata sama yang digunakan sejak sekian lama) tidak sedikit pun mencederakan pihak yang diserang.

Sebaliknya serangan mereka pula yang dikecam oleh rakyat dan rakyat khususnya kalangan netizen bangun mempertahankan tindakan-tindakan kerajaan PN.  Kini rakyat menjadi benteng mempertahankan kerajaan PN daripada serangan pembenci (haters) dan pembangkang.

Ternyata wabak Covid-19 walaupun digeruni kerana telah mengorbankan ratusan ribu nyawa namun di Malaysia, rakyatnya masih boleh tersenyum gembira walaupun terpaksa meninggalkan pekerjaan harian masing-masing dan ada yang hilang mata pencarian.

Namun keprihatinan kerajaan membuatkan mereka masih tetap bersyukur. Mereka tidak boleh membayangkan apa akan berlaku kepada nasib mereka jika PH masih lagi memerintah negara.

Mereka sudah tentu dikerah untuk ikat perut, berlapar anak beranak kerana untuk menerima bantuan kerajaan mungkin tidak sama sekali.

Advertisements

Terkini

1,091 projek naik taraf sekolah daif telah diluluskan – KPM

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan sebanyak 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara...

Lagi Artikel Berkaitan