28.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024
Home Blog Page 920

Kadar kebolehpasaran graduan UNIKL lebih 97 peratus

0

UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) berjaya mencatat kadar kebolehpasaran graduannya 97.1 peratus pada 2021 dan 96.1 peratus pada 2020 walaupun situasi ekonomi global mencatatkan pertumbuhan negatif dalam tempoh itu.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, UniKL kini berada dalam kelompok 15 universiti terbaik Malaysia mengikut ranking universiti terbaik dunia yang diumumkan oleh Times Higher Education dan QS.

“Kadar kebolehpasaran graduan kesemua 12 kampus UniKL tersenarai di dalam kedudukan 20 tertinggi dalam kalangan universiti dan kolej swasta di dalam laporan kajian pengesanan graduan (tracer study) yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

“Tiga buah pusat UniKL bagi teknologi rel, robotik dan satelit pula diiktiraf sebagai TVET Collaboration Hub (TCH) di bawah Majlis TVET Negara manakala UniKL MIIT pula diiktiraf sebagai Premier Digital Tech Institution oleh MDEC.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-17 & 18, UniKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Ibu Negara hari ini.

Jelas Mahdzir, sebagai pelopor bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional Tinggi (H-TVET) negara, UniKL akan terus mengembangkan program latihan dalam bidang teknologi baharu.

“Kerajaan akan terus membantu perkembangan TVET yang diterajui oleh UniKL termasuk membuka kampus baru di Perlis dan Pahang dalam bidang Logistik Lestari, Kejuruteraan Air, Teknologi Pertanian dan Teknologi Bangunan selain UniKL juga bercadang membuka sebuah kampus satelit di Sabah.

Terkini, tambah Mahdzir, UniKL sedang mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah kampus baharunya di Kuala Lumpur bagi menyokong misi pengantarabangsaan UniKL.

“Misi itu mampu melonjakkan lagi peranan UniKL dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara termasuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa ke Malaysia.

“Sejak penubuhannya pada 2002, UniKL telah melahirkan sejumlah 73,317 graduan,” katanya.

UniKL kata Mahdzir, turut berbangga dengan pencapaian 241 graduannya dari tahun 2016 hingga 2021 yang dapat menembusi pasaran kerja di luar negara.

Sementara itu, Majlis Konvokesyen Ke-17 & Ke-18 UniKL membabitkan keseluruhan 10,547 graduan iaitu 5,338 graduan tahun 2020 dan 5,209 graduan tahun 2021.

Ia termasuk 137 pelajar antarabangsa dari 28 buah negara.

Konvokesyen UniKL tahun ini juga mencatat sejarah apabila seramai 70 graduan sulung program Huffaz Profesional menamatkan pengajian akademik dan hafazan Al-Quran.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, selaku Tuanku Canselor UniKL dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Ibni Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat mencemar duli ke majlis berkenaan.

Terdahulu, Mahdzir menerima watikah pemashyuran sebagai Pro Canselor UniKL daripada Al-Sultan Abdullah.

Beliau turut merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku Canselor UniKL atas lantikan itu.

“Sesungguhnya perkenan Tuanku Canselor itu datang bersama tanggungjawab yang besar bagi patik untuk memastikan agar UniKL selaku APEX pendidikan TVET milik penuh MARA ini menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi negara terkemuka dunia satu hari nanti”, kata Mahdzir

-EDISI9

Pelajar antara 2 maut motosikal bertembung sesama sendiri

0

DUA penunggang motosikal termasuk seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri dalam kejadian di Jalan Batu Putih berhampiran Kampung Pulau Serai, Dungun, Terengganu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam, Muhammad Ruzie Rosemawi, 27, yang merupakan seorang pemandu lori meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Dungun.

Sementara itu, Muhammad Airie Gaazali, 16,  pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Serai pula maut di lokasi kejadian. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Modenas yang ditunggang Muhammad Ruzie dari arah Kampung Peladang menghala Kampung Batu Putih tiba-tiba bertembung dengan motosikal jenis Y15ZR yang ditunggang Muhammad Airie dari arah bertentangan. 

“Pertembungan itu menyebabkan kedua-kedua mangsa tercampak di atas jalan dan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala,” katanya hari ini.

Baharudin berkata, berikutan keadaan yang gelap, sebuah lagi motosikal jenis Yamaha 135LC yang datang dari arah Kampung Batu Putih, turut terlanggar salah sebuah motosikal itu selepas pertembungan tersebut berlaku. 

“Bagaimanapun, penunggang dan pembonceng motosikal itu hanya cedera ringan,” katanya. 

Baharudin berkata, mereka yang cedera  dibawa ke Unit Kecemasan, Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan manakala mayat mangsa pula dibawa ke bilik forensik hospital itu untuk tindakan lanjut. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. 

-EDISI9

Pelbagai aktiviti sempena Semarakkan Transformasi Pendidikan

0

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) merangka pelbagai program dalam kempen Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan yang bermula 1 Ogos lalu sehingga 16 September ini.

Sehingga kini hampir 50 program diatur yang merangkumi hal-hal berkaitan menginovasi pengajaran dan pembelajaran (PdP); mendigital perkhidmatan, membugar kurikulum dan pentaksiran; memperkukuh infrastruktur, menyemarak inklusiviti dalam pendidikan, memantap modal insan serta mengoptimum potensi bakat murid.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kementerian kini dalam usaha mentransformasi sektor tersebut dengan libat urus pelbagai rakan strategik dan pemegang taruh.

“Malaysia tidak ketinggalan tetapi kita berada pada tahap mendatar yang memerlukan transformasi.

“KPM sedang melalui tempoh transformasi jauh lebih cepat daripada biasa khususnya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini,” katanya sempena Forum Transformasi Pendidikan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara program yang telah dilaksanakan termasuk webiner Penambahbaikan Portfolio Warden Asrama di Sekolah-sekolah di bawah KPM membabitkan 9,868 peserta terdiri daripada warden asrama bagi kluster Pemantapan Modal Insan.

Turut diadakan webinar Meningkatkan Kemahiran Guru Menggunakan Google Workspace membabitkan 600 guru secara atas talian bagi kluster menginovasikan PdP turut dilaksanakan pada minggu pertama.

Pada minggu kedua iaitu dari 8 hingga 14 Ogos ini, Program Forum Remaja Peringkat Kebangsaan dilaksanakan membabitkan 500 peserta bagi kluster mengoptimumkan potensi bakat murid.

Sementara itu, berdasarkan program yang telah diatur, sepanjang minggu kedua bulan ini akan dilangsungkan Pelancaran Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat membabitkan kerjasama KPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri yang akan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 14 (1).  

Program tersebut membabitkan kira-kira 550 penyertaan itu serta pelancaran Portal Adu Buli.

Pada minggu keempat dari 22 hingga 28 Ogos pula, antara program diatur ialah Program Jelajah Mesra Orang Asli di Perak selama tiga hari iaitu dari 24 hingga 26 Ogos.

“Kumpulan sasar bagi program berkenaan ialah pegawai KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), guru pelatih pribumi, guru sekolah, dan murid orang asli Perak dengan anggaran peserta seramai 292 orang bagi kluster menyemarak inklusiviti dalam pendidikan,” katanya.

Pada minggu kelima pula iaitu dari 29 Ogos hingga 4 September ini, program yang dilaksanakan sepanjang bulan September ialah peluasan pemasaran hasil karya seni visual murid KPM melalui pameran di galeri seni visual berprestij di Galeri Shah Alam.

Program itu membabitkan 184 penyertaan di bawah kluster mengoptimumkan potensi bakat murid.

Pada minggu keenam pula iaitu dari 5 hingga 11 September, program Kejohonan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2022: 24 acara sukan akan dijalankan di seluruh negara membabitkan jumlah penyertaan seramai 12,000 bagi kluster mengoptimumkan potensi bakat murid.

-EDISI9

Warga emas ‘nyanyuk’ pandu lawan arus disaman

0

SEORANG lelaki warga emas ditahan pagi semalam selepas dikesan memandu kereta secara melawan arus di Lebuh raya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Perak.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata tangkapan terhadap lelaki berusia 83 tahun itu dibuat oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di kawasan plaza tol WCE.

“Polis telah kesan pemilik sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang dipandu secara berlawanan arus di Kilometer 211 arah utara WCE dekat sini.

“Video kejadian itu telah tular di aplikasi media sosial bertarikh 9 Ogos 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Nor Omar lagi, tindakan saman telah diambil terhadap pemandu tersebut di atas kesalahan memandu melawan arus (Abaikan isyarat lalu-lintas) di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hasil siasatan awal juga mendapati pemilik kenderaan tersebut mengalami penyakit Alzheimer dan simptom nyanyuk dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Difahamkan, ketika kejadian warga emas itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bharu, Ayer Tawar. 

-EDISI9

LRA Langat 2 henti tugas: 397 kawasan ketiadaan air

0

SEJUMLAH 397 kawasan di tiga wilayah Air Selangor akan mengalami gangguan bekalan air bermula jam 10 pagi sehingga 3.30 petang ini berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 pada jam 4.30 pagi ini.

Air Selangor dalam kenyataan berkata, henti tugas sementara itu berikutan insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Karak, Pahang akibat kes kemalangan di Kilometer 75.9 Lebuh Raya Karak-Bentong menuju Kuala Lumpur semalam.

Katanya, berikutan itu tiga wilayah Air Selangor iaitu Petaling membabitkan tiga kawasan, Kuala Lumpur (172 kawasan) dan Hulu Langat (222 kawasan) dijangka akan mengalami gangguan bekalan air.

“LRA Langat 2 dijangka akan mula beroperasi semula pada jam 3.30 petang hari ini bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan.

Bekalan air terawat dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat apabila sistem agihan bekalan air sudah distabilkan,” katanya.

Kenyataan itu berkata, senarai kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berjadual boleh dilihat di laman sosial Facebook Air Selangor.

Katanya, bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal.

“Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas,” katanya.- Edisi 9

Kontrak KSN disambung dua tahun lagi

0

TAN Sri Mohd Zuki Ali dilantik semula sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 11 Ogos hingga 10 Ogos 2024.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan semula Mohd Zuki sebagai KSN diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“Pelantikan semula Tan Sri Mohd Zuki Ali adalah atas kepentingan negara kerana perkhidmatan beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara masih diperlukan,”katanya.

Mohd Zuki, 60, dilantik sebagai KSN sejak 31 Dis 2019 dan merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau juga pernah bertugas di Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. – BERNAMA

Peguam baharu Najib tarik diri jika rayuan diteruskan 15 Ogos

PASUKAN peguam yang baharu dilantik mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak bagi rayuan terakhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa mereka akan menarik diri sekiranya mahkamah tetap akan terus mendengar rayuan itu, minggu depan.

Difahamkan peguam daripada Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) dan Tetuan Hisyam Teh, tidak bersedia meneruskan rayuan itu kerana ia melibatkan isu penting dan memerlukan masa untuk persediaan kerana ia bukan rayuan biasa.

Oleh itu, jika mahkamah tetap mahu prosiding rayuan utama diteruskan pada Isnin ini, peguam terlibat tidak mempunyai pilihan, selain menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri itu.

Difahamkan, perkara itu dimaklumkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zahara Wan Yusoff dan Siti Hajar Mustaffa semasa pengurusan kes di hadapan mereka yang dijalankan secara dalam talian pada Rabu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul bertindak bagi pihak responden, manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan M.Rueben mewakili Najib (perayu).

Pada 26 Julai, Najib telah memberhentikan Tetuan Shafee & Co daripada bertindak sebagai peguam yang mewakilinya. – BERNAMA

JIM serbu ‘private party’, 84 warga asing ditahan

DUA premis di Kuala Lumpur diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi berasingan yang dilakukan termasuk membabitkan sebuah premis yang menganjurkan private party pada Sabtu lalu.

Lokasi pertama operasi membabitkan private party di Bukit Bintang dan lokasi kedua di sebuah penempatan warga asing di Brickfields, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata, hasil daripada serbuan berkenaan, pihak berkuasa telah berjaya menahan 84 warga asing.

Beliau berkata, dalam kedua-dua serbuan itu, pihak JIM telah memeriksa seramai 365 individu dan hasilnya seramai 84 orang warga asing yang berusia diantara 20 tahun hingga 50 tahun telah ditahan.

“Dalam operasi pertama, pihak JIM telah menyerbu sebuah private party yang dijalankan oleh penganjur warganegara Malaysia dan tetamu terdiri daripada kalangan warga asing majoriti daripada benua Afrika.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, telah berlaku beberapa aksi provokasi dan cubaan melarikan diri melalui pintu belakang premis. Walaubagaimanapun, situasi berjaya ditenteramkan dan pemeriksaan dapat dilakukan dengan baik.

“Seramai 171 orang telah diperiksa dan 25 orang telah ditahan terdiri daripada petugas majlis, artis persembahan, pelayan dan tetamu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen yang sah, pas tamat tempoh dan salah guna pas.

“Setiap tetamu dikenakan bayaran masuk sebanyak RM150 secara atas talian dan lokasi party hanya akan dimaklumkan pada hari terakhir kepada tetamu bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Party ini menghidangkan minuman keras dan persembahan yang mencolok mata. Rata-rata artis yang membuat persembahan dan tetamu terdiri daripada warga asing dan ramai dalam kalangan mereka memegang pas pelajar asing,”katanya.

Khairul Dzaimee berkata, serbuan kedua membabitkan sebuah penempatan warga asing berbentuk kontena tiga tingkat yang terletak di Brickfields.

“Pegawai serbuan telah mengepung kawasan penempatan ini sebelum memulakan pemeriksaan. Semasa pemeriksaan, terdapat cubaan melarikan diri.

“Kebanyakannya warga asing yang diperiksa terdiri daripada warganegara Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal. Seramai 294 orang warga asing diperiksa dan 59 orang terdiri daripada pelbagai warganegara telah ditahan,”katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan dikesan adalah tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah untuk tinggal serta peserta Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin yang ditolak.

“Semua kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“Selain tahanan warga asing ini, beberapa orang warganegara tempatan termasuk penganjur majlis dan majikan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan,”katanya. – Edisi 9

Polis Bintulu kesan penjawat awam babitkan kes rogol

POLIS sedang memburu seorang penjawat awam dikenali sebagai Tengku Nasrul Haizal Mohd. Nasir bagi membantu siasatan satu kes rogol yang dilaporkan pada 29 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit berkata, suspek berusia 33 tahun itu dipercayai telah melarikan diri.

“Mengikut rekod, lelaki itu mempunyai alamat asal di Tumpat, Kelantan,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Ujar Batholomew lagi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek diminta supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurikman Jadi di talian 019-4517155 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bintulu di talian 086-318304,” katanya.

Terdahulu, tular sejak semalam di media sosial seorang guru dari Kelantan merogol seorang pelajar sekolah menengah di Bintulu, Sarawak.

Difahamkan, kedua-dua mangsa merupakan anak Orang Ulu dan berumur 14 tahun.

-EDISI9

Penyokong mengamuk Kelantan FC kalah

0

AKSI Liga Perdana antara Kelantan FC menentang Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV, petang ini dicemari insiden memalukan apabila penyokong The Red Warriors mengamuk susulan kekalahan 1-2 dialami pasukan itu.

Menerusi beberapa klip video tular di laman media sosial, penyokong Perak FC diarahkan masuk ke dalam padang dan tidak dibenarkan untuk keluar dari stadium selepas wisel penamat dibunyikan.

Malah, bukan setakat penyokong, tetapi pemain dikatakan terpaksa ‘berlindung’ di tengah stadium bagi mengelak daripada mencetuskan perkara tidak diingini daripada berlaku.

Keadaan tidak terhenti di situ apabila, penyokong skuad The Bos Gaurus dilihat meraikan kemenangan mereka di atas padang sambil sesetengahnya terus melakukan provokasi ke arah penyokong Kelantan FC.

Suasana bertambah kecoh apabila penyokong Kelantan FC berkumpul di luar stadium sehingga memaksa pihak keselamatan bersama pasukan polis menahan penyokong-penyokong Perak di dalam kawasan stadium.

Sehingga pukul 8.30 malam ini, penyokong Perak FC dipercayai masih terperangkap di dalam stadium kerana penyokong Kelantan FC mengepung kawasan stadium sehingga menutup laluan keluar.

Pada aksi terbabit, pendahulu Liga Perdana itu tewas 1-2 di tangan Perak FC yang menghuni tangga ke-11 meskipun mendahului seawal minit pertama menerusi Jasmir Mehat.

Namun, dua gol menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor (m15) dan gol sendiri (m20) memastikan Perak FC meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan FC di laman sendiri pada musim ini.

-EDISI9

Bekas Panglima TLDM jawab tuduhan pelancaran LCS di Lumut 2017

0

BEKAS Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin menegaskan tuduhan kononnya pelancaran kapal tempur pesisir (LCS) di Lumut pada tahun 2017 dilaksanakan untuk menipu dan mengelirukan orang ramai adalah tidak benar.

Ahmad Kamarulzaman berkata, pelancaran dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum ia siap sepenuhnya merupakan tradisi serta praktis Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak sekian lama.

Menurutnya, tradisi itu bukan pertama kali diadakan di Lumut pada tahun 2017, malah, menjadi amalan biasa di negara-negara lain.

“Sebab itu, perkara ini juga disebut oleh Kepten (B) Ir. Azhar Jumaat dalam sesi menghadap Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)  pada 11 Disember 2021 lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memetik semula penjelasan Azhar dalam sesi menghadap itu iaitu daripada segi tradisi, we call launching dengan naming berkenaan hanya melibatkan satu aktiviti tradisi yang melibatkan kapal-kapal perang sahaja.

Bahkan menurut Azhar lagi, untuk aktiviti launching dan naming itu, daripada segi tradisi dan praktis itu, memang ia dipraktikkan sebelum ini juga.

“Sebagai contoh praktis di negara lain, semasa pelancaran kapal LCS yang dibina oleh Naval Group untuk Kerajaan UAE di Perancis, kapal tersebut juga belum siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkongsikan kenyataan berkenaan susulan visuals pelancaran kapal LCS di Lumut pada tahun 2017 menjadi perhatian semula sejak akhir-akhir ini.

“Saya sebagai Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia turut hadir di upacara tersebut. Maklum balas orang awam tentang di mana kapal, kenapa lancar kalau masih tidak siap?… ini saya boleh faham dan hormati.

“Cuma, apabila fitnah seperti ini diviralkan, saya terpanggil utk membetulkan persepsi negatif bagi melindungi maruah dan nama baik TLDM yang saya sayangi,” katanya.

Menurut beliau, menjadi satu perkara penting untuk beliau memaklumkan fakta sebenar supaya orang awam tidak terus keliru akibat kenyataan sesetengah pihak yang bersifat populis dan politiking.

“Jadi tuduhan kononnya pelancaran LCS di Lumut pada tahun 2017 dilaksanakan untuk tipu dan kelirukan orang ramai, tidak benar.

“Malah, saya perlu beritahu orang ramai bahawa yang dilancarkan di Lumut ketika itu ialah kapal LCS 1 sebenar yang sedang dalam proses pembinaan, bukan dummy. Ini termasuk ‘mast’ yang yang dikhabarkan palsu,” katanya.

Tambah beliau lagi, semua perkara berkenaan turut dijelaskan semasa sesi PAC sebelum ini.

“Jadi janganlah ada pihak sengaja timbulkan isu demi kepentingan sendiri sehingga sanggup kelirukan orang ramai,” katanya.

Pada 24 Ogos 2017, Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu hantaran dalam Facebook berkata, Tuanku Zara Salim, Raja Permaisuri Perak telah mencemar duli menyempurnakan Upacara Penamaan dan Pelancaran Kapal Kombat Litoral 1 TLDM dan turut disaksikan Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Limbungan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

TLDM akan menerima 6 buah Kapal Kombat Litoral secara berperingkat melalui kontrak perolehan di antara Kerajaan Malaysia dan BNS. Upacara pada hari ini menandakan kejayaan projek Kapal Kapal Kombat Litoral Pertama oleh BNS untuk TLDM.

Upacara itu juga membuktikan kemampuan dan keupayaan industri pertahanan maritim tempatan dalam membina dan menyiapkan kapal perang yang serba canggih dan berteknologi tinggi. Ia menandakan Armada TLDM akan memiliki kapal tercanggih yang mempunyai keupayaan daya tempur serta pertahanan kapal empat dimensi.

Menarik di upacara ini adalah pelepasan kapal ke laut buat kali pertama setelah proses pembinaannya yang tidak sampai satu setengah tahun sejak majlis peletakan lunas kapal yang diadakan tahun lepas.

Kapal ini dinamakan Maharaja Lela sempena Dato’ Maharaja Lela yang mengetuai perjuangan penduduk tempatan menentang British di Perak.

Bagaimanapun, isu LCS berkenaan mula mencetuskan kontroversi apabila baru-baru ini dalam satu kenyataan PAC, kontrak projek LCS diberikan oleh kerajaan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) secara rundingan terus dan kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan.

-EDISI9

Lompat parti: Jabatan Peguam Negara dapatkan perkenan Agong

0

JABATAN Peguam Negara akan menjalankan proses untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia sebagai tindakan susulan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti diluluskan di Dewan Negara semalam.

“Seterusnya, perintah kuatkuasa tarikh peruntukan tersebut juga akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh kuatkuasa mengikut Fasal 1 RUU tersebut.

“Setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pemakluman melalui surat kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Wan Junaidi, pemakluman tersebut bertujuan mengesyorkan kepada semua negeri mengenai pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan semua Dewan Undangan Negeri untuk meminda Perlembagaan Negeri masing-masing dengan memasukkan peruntukan larangan bertukar parti.

“Ia bagi terlihat selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Ini adalah untuk penyeragaman dengan undang-undang Persekutuan di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.-Edisi 9