25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kadar kebolehpasaran graduan UNIKL lebih 97 peratus

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) berjaya mencatat kadar kebolehpasaran graduannya 97.1 peratus pada 2021 dan 96.1 peratus pada 2020 walaupun situasi ekonomi global mencatatkan pertumbuhan negatif dalam tempoh itu.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, UniKL kini berada dalam kelompok 15 universiti terbaik Malaysia mengikut ranking universiti terbaik dunia yang diumumkan oleh Times Higher Education dan QS.

“Kadar kebolehpasaran graduan kesemua 12 kampus UniKL tersenarai di dalam kedudukan 20 tertinggi dalam kalangan universiti dan kolej swasta di dalam laporan kajian pengesanan graduan (tracer study) yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

“Tiga buah pusat UniKL bagi teknologi rel, robotik dan satelit pula diiktiraf sebagai TVET Collaboration Hub (TCH) di bawah Majlis TVET Negara manakala UniKL MIIT pula diiktiraf sebagai Premier Digital Tech Institution oleh MDEC.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-17 & 18, UniKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Ibu Negara hari ini.

Jelas Mahdzir, sebagai pelopor bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional Tinggi (H-TVET) negara, UniKL akan terus mengembangkan program latihan dalam bidang teknologi baharu.

“Kerajaan akan terus membantu perkembangan TVET yang diterajui oleh UniKL termasuk membuka kampus baru di Perlis dan Pahang dalam bidang Logistik Lestari, Kejuruteraan Air, Teknologi Pertanian dan Teknologi Bangunan selain UniKL juga bercadang membuka sebuah kampus satelit di Sabah.

Terkini, tambah Mahdzir, UniKL sedang mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah kampus baharunya di Kuala Lumpur bagi menyokong misi pengantarabangsaan UniKL.

“Misi itu mampu melonjakkan lagi peranan UniKL dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara termasuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa ke Malaysia.

“Sejak penubuhannya pada 2002, UniKL telah melahirkan sejumlah 73,317 graduan,” katanya.

UniKL kata Mahdzir, turut berbangga dengan pencapaian 241 graduannya dari tahun 2016 hingga 2021 yang dapat menembusi pasaran kerja di luar negara.

Sementara itu, Majlis Konvokesyen Ke-17 & Ke-18 UniKL membabitkan keseluruhan 10,547 graduan iaitu 5,338 graduan tahun 2020 dan 5,209 graduan tahun 2021.

Ia termasuk 137 pelajar antarabangsa dari 28 buah negara.

Konvokesyen UniKL tahun ini juga mencatat sejarah apabila seramai 70 graduan sulung program Huffaz Profesional menamatkan pengajian akademik dan hafazan Al-Quran.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, selaku Tuanku Canselor UniKL dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Ibni Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat mencemar duli ke majlis berkenaan.

Terdahulu, Mahdzir menerima watikah pemashyuran sebagai Pro Canselor UniKL daripada Al-Sultan Abdullah.

Beliau turut merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku Canselor UniKL atas lantikan itu.

“Sesungguhnya perkenan Tuanku Canselor itu datang bersama tanggungjawab yang besar bagi patik untuk memastikan agar UniKL selaku APEX pendidikan TVET milik penuh MARA ini menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi negara terkemuka dunia satu hari nanti”, kata Mahdzir

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan