SEJUMLAH 397 kawasan di tiga wilayah Air Selangor akan mengalami gangguan bekalan air bermula jam 10 pagi sehingga 3.30 petang ini berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 pada jam 4.30 pagi ini.
Air Selangor dalam kenyataan berkata, henti tugas sementara itu berikutan insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Karak, Pahang akibat kes kemalangan di Kilometer 75.9 Lebuh Raya Karak-Bentong menuju Kuala Lumpur semalam.
Katanya, berikutan itu tiga wilayah Air Selangor iaitu Petaling membabitkan tiga kawasan, Kuala Lumpur (172 kawasan) dan Hulu Langat (222 kawasan) dijangka akan mengalami gangguan bekalan air.
“LRA Langat 2 dijangka akan mula beroperasi semula pada jam 3.30 petang hari ini bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan.
Bekalan air terawat dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat apabila sistem agihan bekalan air sudah distabilkan,” katanya.
Kenyataan itu berkata, senarai kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berjadual boleh dilihat di laman sosial Facebook Air Selangor.
Katanya, bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal.
“Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas,” katanya.- Edisi 9