30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024
Home Blog Page 919

Guru SK Seri Aman dipuji sediakan bangku semasa perhimpunan

0

KEBIASAANNYA perhimpunan rasmi waktu pagi di sekolah, murid mahupun pelajar akan berdiri bagi mengikuti aktiviti berkenaan sehingga selesai.

Namun, lain pula di Sekolah Kebangsaan Seri Aman Bedong, Kedah apabila menyediakan kemudahan bangku kecil untuk murid-murid di sekolah tersebut semasa perhimpunan pagi.

Keprihatian guru-guru sekolah tersebut mendapat pujian warganet sehingga tular menerusi media sosial sejak 1 Ogos lalu.

“Persediaan dan perasmian penggunaan kerusi duduk untuk anak-anak SK Seri Aman semasa perhimpunan rasmi sekolah.

“Terima kasih atas keprihatinan pihak pentadbiran. Ahad 31 Julai 2022,” kongsi orang ramai menerusi Facebook.

Muird-murid SK Seri Aman mengikuti perhimpunan dengan lebih selesa.

Bagaimana pun terdapat juga warganet yang tidak bersetuju dengan tindakan tersebut kerana dianggap “merajakan” murid.

Untuk rekod, SK Seri Aman berasal dari sekolah persendirian Inggeris di Bedong yang wujud sejak zaman penjajahan.

Malangnya sekolah tersebut terpaksa ditutup semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Pada tahun 1954, satu mesyuarat penaja Bedong English School Building Committee telah mencetuskan penubuhan semula sebuah sekolah tersebut.

Dengan sumbangan kewangan yang menggalakkan daripada orang ramai, peruntukan kewangan dan sebidang tanah seluas 5 relong 320 jemba (ketika itu) daripada kerajaan negeri, sebuah bangunan enam bilik darjah, pejabat, kantin dan tandas didirikan dan siap pembinaannya pada bulan Disember 1954.

-EDISI9

Pelajar tingkatan satu, rakan curi tabung surau ditahan

SEORANG pelajar tingkatan satu dan rakannya yang nekad mencuri tabung di sebuah surau di Taman Keramat Permai, di Ampang, Kuala Lumpur, mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu disedari jemaah surau berusia 68 tahun apabila melihat tabung itu tertanggal dari kedudukan asal di bahagian ruangan solat wanita pada jam 6 pagi, 28 Julai lalu.

Menurutnya, jumlah kerugian dialami sebanyak RM30 dan jemaah surau berkenaan kemudian tampil membuat laporan polis.

“Susulan itu pada jam 10.10 malam tadi, sepasukan polis menahan dua lelaki berusia 13 dan 21 tahun di tepi Jalan 6/10, Tasek Tambahan.

“Suspek pertama masih bersekolah di Sri Kembangan Selangor manakala seorang lagi suspek tidak bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, turut dirampas sebuah motosikal Yamaha Lagenda dipercayai digunakan di tempat kejadian yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah mensasarkan tabung duit derma dalam surau.

“Reman terhadap suspek dibuat pada hari ini di Mahkamah Ampang dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-EDISI9

Pembangunan negeri Sarawak sentiasa jadi keutamaan – PM

0

PEMBANGUNAN negeri Sarawak sentiasa diutamakan Kerajaan Persekutuan dan ia terbukti dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.55 bilion yang disediakan di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah RMKe-12, Kerajaan telah menetapkan sasaran sifar miskin tegar pada akhir tahun 2025 melalui Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang turut melibatkan Sarawak.

Menurutnya, fasa pertama BMTKM di Bumi Kenyalang itu melibatkan empat lokaliti iaitu Gedong, Kampung Seberang Sebuyau, Kampung Spaoh dan Pakan.

“Selain BMTKM, seramai 867,967 Keluarga Malaysia di Bumi Kenyalang telah menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM745 juta.

“Ini membuktikan kecaknaan Kerajaan terhadap Keluarga Malaysia di negeri ini,” katanya sempena Majlis Penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menyatakan Kerajaan turut menyedari perbezaan harga barangan yang ketara antara bandar dan pedalaman di enam buah negeri terutama di Sarawak.

Berikutan itu menurutnya, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta pada tahun ini bagi melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu melalui Community Drumming atau lebih dikenali sebagai Program Penyeragaman Harga.

“Ini bagi membolehkan penduduk di kawasan pedalaman atau luar bandar menikmati tujuh harga barangan keperluan asas pada harga yang sama di bandar.

“Barangan tersebut ialah gula putih, tepung gandum kegunaan am/bukan kegunaan am, minyak masak sawit, beras putih, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel,” katanya.

Menurut beliau, daripada RM200 juta, sebanyak RM125 juta ataupun lebih 62 peratus adalah khusus bagi melaksanakan program itu di Bumi Kenyalang, yang memberi manfaat kepada 500,000 penduduk negeri Sarawak melibatkan 112 zon merangkumi 538 kawasan pengedaran.

Sementara itu, Ismail Sabri menyatakan Projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM16.1 bilion yang dilancarkan pada bulan Mac 2015, kini berada pada tahap 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

“Kerajaan juga akan meneruskan Fasa 2 Projek SarawakSabah Link Road (SSLR) yang akan menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Brunei.

“Projek Fasa 2 SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng di Lawas ini, akan menghubungkan Mulu hingga Long Merarap sejauh 326km dengan kos RM7.68 bilion. Pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan,” katanya.

Malah menurut beliau, Kerajaan turut menambah baik jaringan jalan raya sedia ada antara Miri ke Limbang dan Lawas melalui Brunei di bawah Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB), melibatkan kerja-kerja naik taraf sepanjang 96.351km bagi tempoh tiga tahun dengan kos berjumlah RM2.93 bilion.

“Ini akan menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi setempat kerana Lebuh Raya Pan Borneo mula memberi impak positif dan limpahan ekonomi kepada Keluarga Malaysia yang berniaga di Pasar Tamu Simpang Bekenu,” katanya.

Selain itu, bagi menjamin keselesaan dan kemudahan generasi masa hadapan Ismail Sabri berkata, peruntukan sebanyak RM5.77 bilion telah disediakan di bawah RMKe-12 bagi membangunkan dan menaik taraf sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak.

Menurut beliau, daripada 409 buah projek pembangunan baharu dan sambungan, sebanyak 111 buah projek kini siap sepenuhnya, 109 buah projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 189 buah projek berstatus prabina.

“Peruntukan sebanyak RM2.16 bilion juga turut disediakan bagi menampung 361 buah projek menaik taraf dan membangunkan semula sekolah yang mempunyai bangunan daif. 21. Sebanyak 203 buah projek telah siap, 68 buah projek di peringkat pembinaan manakala bakinya dalam peringkat prabina.

Bagi sektor kesihatan pula kata beliau, sebanyak enam projek pembinaan hospital dan klinik dilaksanakan di negeri ini, melibatkan tambahan bangunan, kelengkapan perubatan serta kuarters.

“Sehingga kini Hospital Sri Aman telah pun siap, manakala lima buah projek lagi yang melibatkan kos sebanyak RM695.5 juta di Miri, Mukah, Kuching dan Serian, dijangka siap tahun depan.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) turut menyediakan peruntukan sebanyak RM13.4 bilion bagi pembangunan prasarana dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia Sarawak.

Pada masa yang sama menurut beliau, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak juga komited dalam menyediakan kemudahan jalur lebar (internet) kepada rakyat negeri ini melalui Program Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Bagi maksud ini, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4.09 bilion di bawah RMKe-12 untuk memastikan capaian jalur lebar secara menyeluruh kepada Keluarga Malaysia di Sarawak menjelang 2030.

Selain itu, menurut beliau, Kerajaan telah membina stesen jana kuasa hidroelektrik ketiga di Sarawak, Baleh Hydroelectric Project (HEP) di pedalaman Kapit yang dijangka siap pada tahun 2025.

“Empangan ini berkapasiti 1,295 MegaWatt (MW) akan dapat menampung permintaan hidroelektrik di kawasan sekitar, selain turut mewujudkan 3,500 peluang pekerjaan setempat,” katanya.

-EDISI9

Bekas Exco Johor dilepas, dibebaskan tuduhan rasuah

MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan bekas EXCO Johor, Datuk Abd Latif Bandi dan dua yang lain atas tuduhan rasuah, mengubah wang haram berjumlah RM35.7 juta, lima tahun lalu.

Hakim, Kamaruddin Kamsun membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua tertuduh Abdul Latiff, 56, Ahmad Fauzan Hatim, 30 dan Amir Shariffuddin Abd Raub, 49.

Abd Latif dan Amir Shariffuddin menghadapi 33 pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama.

Abd Latif turut menghadapi 13 pertuduhan dan masing-masing empat pertuduhan bagi Amir Shariffudin serta Ahmad Fauzan Hatim di bawah Seksyen 32(8)(c) serta Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Kamaruddin dalam penghakimannya berkata, keputusan dibuat setelah mahkamah meneliti perbicaraan dan hujahan.

“Saya sudah mendengar kes pembelaan dan di akhir kes pembelaan, setelah mendengar keterangan bersumpah daripada kesemua saksi, meneliti kesemua eksibit yang ada, memeriksa keterangan bertulis yang difailkan, dan hujahan lisan yang ada.

“Mahkamah membuat dapatan bahawa OKT (orang kena tuduh) pertama (Amir Sahriffuddin), bayaran fee konsultasi yang OKT berhak menerima adalah sah di sisi undang-undang, menyangkal dakwaan pendakwaan wang diperoleh daripada aktiviti haram secara tidak sah.

“Jadi, OKT 2 (Abd Latif) didapati tidak bersalah menggunakan kuasa untuk mendapat suapan, maka tidak ada mana-mana keadaan yang boleh diwujudkan pendakwaan wang diterima daripada hasil aktiviti haram.

“Kesimpulan secara ringkas, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Justeru, kesemua OKT dilepas dan dibebaskan dari kesemua pertuduhan, dan wang jaminan dikembalikan,” katanya seperti dilaporkan Metro Online hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah I, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Abd Latif dan Ahmad Fauzan Hatim diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin, Datuk Hasnal Rezua Merican, Siti Sarah Khalil, Zulaikha Aini Mohamed Khoir Johari, Rahim Alin dan Muzzamil Merican, manakala Amir Shariffuddin diwakili Khairulazwad Sariman.

Sementara itu, Wan Shaharuddin dalam hujahnya berkata, pihaknya akan meneliti keputusan yang diputuskan mahkamah terhadap ketiga-tiga tertuduh, dan akan membuat fail rayuan berhubung keputusan itu minggu ini.

Pada 26 Jun lalu, Mahkamah Sesyen menangguhkan keputusan kes dihadapi bekas Abd Latif dan anak lelakinya serta seorang perunding hartanah.

Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta dan masing-masing mengaku tidak bersalah.

Kamarudin pada 21 April 2019 melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu dengan dua yang lain terbabit untuk membela diri selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu.

24 termasuk kanak-kanak terbunuh serangan Israel ke atas Gaza

0

JUMLAH kematian akibat serangan Israel di Gaza meningkat kepada 24 orang, termasuk enam kanak-kanak, menurut pihak berkuasa kesihatan wilayah itu pada Sabtu.

Memetik laporan AFP, Kementerian kesihatan di Gaza menyalahkan Israel atas kematian berkenaan yang turut menyebabkan 203 penduduk, cedera.

Dalam pada itu, Israel berkata, serangan menolak dakwaan melakukan serangan di Jabalia yang mengorbankan kanak-kanak.

Menurutnya, ia disebabkan oleh salah pelancaran roket oleh kumpulan pejuang Jihad Islam.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan di Gaza memberi amaran tentang permulaan kira detik untuk menghentikan perkhidmatan kesihatan di hospital dalam tempoh 72 jam akan datang.

Satu-satunya loji janakuasa di Gaza ditutup hari ini selepas kehabisan bahan api, lima hari selepas Israel menghentikan penghantaran bahan itu ke Palestin.

“Loji jana kuasa di Gaza berhenti (beroperasi) kerana kekurangan bahan api,” kata jurucakap syarikat elektrik, Mohammed Thabet Memetik laporan Reuters.

Loji itu beroperasi tanpa penghantaran bahan api melalui Israel sejak negara itu menghentikan penghantaran barangan dan individu merentasi sempadan ke Gaza, sejak Selasa lalu.

Bekalan elektrik di Gaza dijangka terus berkurangan sehingga hanya empat jam sehari, kata Mohammed.

Diesel untuk loji janakuasa itu kebiasaannya dibawa masuk dari Mesir atau Israel, yang mengekalkan kepungan terhadap Gaza sejak Hamas menguasai Gaza pada 2007.

Penutupan sempadan antara Israel dan Gaza dilaksanakan ketika tentera Israel bersiap siaga dengan serangan balas, susulan penahanan dua anggota kanan Jihad Islam di Tebing Barat.

Kumpulan itu tidak bertindak sehinggalah Israel memulakan serangan udara di Gaza semalam, sekali gus menyebabkan militan itu melancarkan roket ke arah Israel.

Mara mempunyai dana yang cukup taja pelajar ke luar negara

0

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) mempunyai dana mencukupi untuk menghantar pelajar tajaannya menyambung pengajian ke luar negara.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, agensi itu akan meneruskan program berkenaan biarpun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

“Kerajaan akan terus menghantar pelajar-pelajar Malaysia (tajaan MARA) ke luar negara.

“Tiada tekanan (untuk menghentikan) kerana setiap tahun apabila nak buat bajet, dah letak siap-siap bajet untuk pendidikan, jadi tak (perlu) susah hati,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat dan Agihan Zakat FELCRA Berhad di Pantai Geting, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KPLB, Mas Rizal Mohd Helmi, Pengerusi FELCRA Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohamad Yasid Bidin dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria

Jelas Mahdzir, polisi MARA menghantar pelajar tajaannya ke luar negara adalah berdasarkan bidang tumpuan.

Manakala pelajarnya pula dipilih berdasarkan kesesuaian semasa.

“Hari ini orang bercakap pasal teknologi digital, perubahan iklim, tenaga lestari, kecerdasan buatan (AI), ini antara bidang yang diberi tumpuan selain bidang sedia ada seperti kejuruteraan dan aeroangkasa.

Selain itu tambah Mahdzir, MARA turut memilih universiti terkemuka yang berada dalam senarai ranking 50 ternama dunia.

“Pelajar yang dihantar juga memiliki markah terbaik untuk ditempatkan di universiti-universiti terbaik ini,” katanya.-Edisi 9

Joe Ee raih emas negara, pasukan boling padang pingat perak

ATLET gimrama, Ng Joe Ee menghadiahkan pingat emas kelima kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 sebentar tadi.

Dalam saingan disiplin bola di Arena Birmingham, dia berjaya mendapat 29.700 mata bagi mengenepikan cabaran tujuh pencabar lain.

Ini adalah penampilan pertama Joe Ee di temasya Sukan Komanwel.

Semalam beliau hanya mampu menduduki tangga kelima acara all-around individu selain tempat keempat acara berpasukan.

Sementara itu, pasukan boling padang Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas trio wanita negara tumpas 9-17 kepada tuan rumah England pada aksi final acara triples wanita di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Victoria Park, awal pagi tadi.

Gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Azlina Arshad memberi tentangan sengit di awal permainan.

Bagaimanapun pasukan England, dibarisi Jamie Lea Winch, Natalie Chestney, Sian Honnor, berjaya menguasai perlawanan dan menjarakkan mata sekaligus mengesahkan ingat emas pada ‘End’ yang ke-17.

Pencapaian trio negara itu sekali gus menyaksikan skuad boling padang kebangsaan setakat ini meraih satu pingat perak dan satu gangsa.

Secara keseluruhan kontinjen negara kini mengumpul 11 pingat di Sukan Komanwel Birmingham 2022 membabitkan empat pingat emas, empat perak dan tiga gangsa. – BERNAMA

1,158 pelajar baharu diploma daftar di UPSI mulai esok

SERAMAI 1,158 pelajar baharu diploma akan mendaftar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi sesi akademik 2022/2023 mulai esok.

Pelajar baharu diploma itu akan mengikuti 12 program pengajian di tujuh fakulti melibatkan Fakulti Bahasa dan Komunikasi; Fakulti Muzik dan Seni Persembahan; Fakulti Pengurusan dan Ekonomi serta Fakulti Pembangunan Manusia.

Turut terlibat adalah Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif; Fakulti Sains dan Matematik serta Fakulti Sains Sukan dan Sains Kejurulatihan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata, pada semester ini kesemua pelajar akan mengikuti pengajian secara bersemuka.

Katanya, pelajar akan ditempatkan di Kolej Awang Had Salleh, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pekan Tanjung Malim.

“Proses pendaftaran akan diadakan di Dewan Kolej Ungku Omar yang terletak bersebelahan dengan kolej penginapan pelajar iaitu Kolej Awang Had Salleh.

“Ibu bapa yang datang menghantar anak-anak tidak perlu bimbang dengan keselamatan mereka kerana Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) akan memastikan kebajikan pelajar terjaga,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas mengenai harga makanan di kolej kediaman, Norkhalid berkata, pihak universiti akan menyediakan Menu Keluarga Malaysia dengan harga pakej RM3.50 di semua 23 kafetaria di UPSI.

“Alhamdulillah, semua kafetaria akan bersama universiti mengambil berat soal kebajikan pelajar supaya pelajar dan ibu bapa tidak terasa terbeban menanggung kos pengajian,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff mengucapkan tahniah kepada semua pelajar baharu yang berjaya diterima masuk ke UPSI.

“Saya berharap pelajar sudah bersedia untuk mengharungi kehidupan kampus dan membina kecemerlangan diri demi kecemerlangan universiti,”katanya.- Edisi 9

PRU15 akan diadakan jika terdapat tarik sokongan – Ismail Sabri

KERAJAAN sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat sekiranya terdapat pihak menarik sokongan terhadap kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PRU-15 perlu diadakan jika perkara itu berlaku bagi memilih kerajaan yang baharu.

“Kalau ada pihak yang menarik sokongan dan kerajaan tumbang, maka pilihan raya perlu diadakan selepas itu.

“Kerajaan sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya dalam apa juga keadaan.

“Kalau kita masih kekal, kita pertimbangkan tarikh pilihan raya mengikut kesesuaian dan saya sudah sebutkan pilihan raya akan tetap diadakan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini.

Terdahulu, media melaporkan PN berkemungkinan menarik diri daripada kerajaan sebagai protes terhadap keengganan Perdana Menteri untuk memenuhi perjanjian bagi melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu.

Menjelaskan mengenainya, Ismail Sabri berkata, beliau difahamkan penarikan sokongan PN itu tidak dikeluarkan secara rasmi dan kenyataan berkenaan hanya dibuat oleh satu dua orang saja.

“Saya pun dengar macam tu saja, ada ahli parti itu yang menyatakan perkara itu tidak dibawa ke dalam mesyuarat parti pun.

“Dari segi tindakan kita tunggu dulu keputusan rasmi parti berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menegaskan dalam negara demokrasi mana-mana parti politik boleh membuat keputusan sendiri.

“Apa yang penting, (penarikan sokongan) kesannya kita terpaksa hadapi pilihan raya. Kalau semua bersedia, maka kita tiada pilihan untuk mengadakan pilihan raya,” katanya. -BERNAMA

KPLB sedia pelbagai aktiviti usahawan di MAHA 2022

0

PELBAGAI aktiviti usahawan menarik disediakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) buat pengunjung Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2022 pada 4 hingga 14 Ogos ini.

Penyertaan KPLB di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) membawakan Pavilion Usahawan Desa @ KPLB yang memaparkan program keusahawanan di bawah KPLB seperti Program Rural Business Challenge (RBC), Program Start Right@KPLB (PSR), Program Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), Program Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan Program Desamall@KPLB.

Usahawan bimbingan agensi di bawah KPLB turuf memasarkan produk daripada kategori Makanan dan Minuman, Kesihatan dan Kecantikan serta Fesyen dan Aksesori.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, Pavilion Usahawan Desa @ KPLB menyediakan ruang bagi memasarkan pelbagai produk jualan dari 50 usahawan bimbingan agensi di bawah KPLB.

“Selain sebuah kafeteria dan kiosk kopi sebagai satu tarikan pengunjung untuk menikmati makanan dan minuman yang dihasilkan oleh usahawan luar bandar iaitu RBC Cafe dan Cembor Kopi.

“Di samping itu, antara pengisian aktiviti yang turut dijadualkan di pavilion ini termasuk product testing dan product pitching oleh usahawan luar bandar bagi memastikan aktiviti promosi serta jualan produk/ perkhidmatan usahawan luar bandar dapat dipertingkatkan.”

“ Program Desamall@KPLB di Pavilion Usahawan Desa @ KPLB membawa sebanyak 189 produk dengan 474 Stock Keeping Unit (SKU) dengan nilai berjumlah RM43,000.00 melibatkan seramai 39 usahawan, “katanya.

Che Murad berkesempatan melawat di booth Program Desamall@KPLB di Pavilion Usahawan Desa @ KPLB di MAHA 2022.

Sesi Shopee Live dan Laz Live sebanyak tiga slot setiap hari turut memberi peluang usahawan memasarkan produk secara langsung menerusi platform e-Dagang Shopee dan Lazada.

Che Murad berkata, penyertaan usahawan kali ini adalah secara sistem penggiliran harian yang melibatkan enam slot pameran setiap hari bagi membolehkan usahawan memanfaatkan sepenuhnya ruang, peluang dan masa yang diberikan untuk memasarkan produk masing-masing kepada pengunjung serta pembeli serta pelanggan yang berpotensi.

Dalam pada itu, KPLB juga adalah rakan strategik pelaksanaan MAHA pada tahun ini di Laman Nanas menerusi penyertaan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA); Laman Padi menerusi penyertaan FELCRA Berhad; dan Laman Mekanisasi menerusi penyertaan dua syarikat alumni program TVET MARA iaitu syarikat TS Multitech Sdn. Bhd. dan syarikat TCS Automation & Security Sdn. Bhd.

Manakala Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) tampil di Pavilion Terengganu dengan produk pelancongan, perkhidmatan dan pendidikan.-Edisi 9

KPM laksana proses pemutihan tanah sekolah

0

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan proses ‘pemutihan’ untuk memindahkan milik tanah sekolah daripada kerajaan negeri kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) bagi memudahkan pembinaan sekolah pada masa hadapan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, isu kelewatan projek pembinaan sekolah sebelum ini adalah disebabkan proses yang begitu lama bagi pengambilan tanah berkenaan.

“Pembinaan sekolah ini isu panjang yang dah berlarutan lama. Isu kelewatan pembinaan sekolah saya sentiasa tekankan ialah tanah tapak sekolah kita selama ini bukan milik JKPTG atau kerajaan.

“Sebab itu, bila dapat peruntukan untuk dilaksanakan pembinaan sekolah bila semak tapaknya belum milik JPTGK, maka proses pertukaran itu sungguh lama dan kita ambil tindakan proaktif ‘pemutihan’ tanah untuk kita pastikan selepas ini, semua tanah ini milik kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ke-6 SK Putrajaya Presint 17(1) di Stadium Mini UNITEN, di Kajang.

Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 1 memaklumkan pengurusan projek pembinaan sekolah antara tempoh 2016 hingga 2021 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), termasuk projek sambungan, adalah kurang cekap dan kurang berkesan.

Laporan tersebut menyebut, masalah koordinasi antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat utiliti, serta isu ketersediaan tapak projek turut menyumbang kepada kemajuan projek yang antaranya mengalami kelewatan.

Justeru itu, Radzi berkata, pihaknya menjalankan usaha sama dengan PBT untuk memastikan masalah pembinaan sekolah termasuk yang terbengkalai dapat dilaksanakan segera dan tidak memberi kesan kepada pembangunan infrastruktur pendidikan negara.

“Kita tahu sekolah terbengkalai lama maka keadaannya makin teruk dan kos pembinaan yang asas itu nak kena tambah lagi sebab itu tumpuan kita nak selesaikan masalah kecil ini dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, pihaknya sedang mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai kaji selidik yang mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran.

Radzi berkata, KPM terlebih dahulu perlu mengetahui sampel kajian yang dilaksanakan DOSM itu termasuk umur peserta kajian sebelum memperincikan dan menjelaskan penyelesaian kepada umum.

“Kita nak tahu kohort umur mana yang diambil kajian itu. Kalau umur 60 ke atas pada waktu itu, mungkin akses pendidikan tak macam sekarang, jadi kita perlu perincikan kajian DOSM ini, nak tahu peratusan itu kohort umur mana,” katanya.- BERNAMA

MAFI perlu teruskan jihad perangi orang tengah

0

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu meneruskan ‘jihad memerangi orang tengah’ yang pernah dilaksanakan sebelum ini bagi mengatasi tindakan orang tengah yang mengeksploitasi petani dan nelayan dengan memanipulasi harga di pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau pernah mengisytiharkan ‘jihad memerangi orang tengah’ pada tahun 2014 ketika menerajui Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani.

“Jadi jihad ini perlu diteruskan oleh MAFI menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan dengan kerjasama agensi-agensi di bawahnya seperti mewujudkan pusat pembelian padi, pusat pengumpulan buah – buahan, penambahan pasar tani serta pasar nelayan,” katanya katanya ketika berucap pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA 2022) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.

Beliau berkata, di sebalik kepincangan rantaian bekalan makanan dunia, Kerajaan kekal komited dalam mengurus isu kekurangan bekalan makanan biarpun berdepan dengan pelbagai kekangan.

“Justeru, Kerajaan berusaha menangani manipulasi ‘orang tengah’ dan ‘kewujudan kartel’ dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi.

“Semalam, MyCCC juga telah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap lima perusahaan makanan ternakan yang bersekongkol dalam
menaikkan harga makanan ayam.

“Ini amaran Kerajaan terhadap kartel yang cuba memanipulasi harga dan pasaran,”katanya.

Perdana Menteri berkata, beberapa langkah intervensi telah dilaksanakan Kerajaan
bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara antaranya membatalkan kelulusan kuota import (AP), melaksanakan sekatan eksport ayam, mewujudkan stok pail ayam dan ikan.

“Dalam langkah intervensi ini, Kerajaan buat pertama kalinya memberikan subsidi berjumlah RM 1.1 bilion bagi meringankan beban penternak ayam sekaligus memastikan bekalan pengeluaran ayam dan telur mencukupi serta menjamin kestabilan harga.

“Langkah-langkah ini terbukti telah menunjukkan kejayaan di mana hari ini bekalan ayam bukan sahaja berlebihan bahkan harga ayam juga lebih rendah daripada paras harga siling yang ditetapkan oleh Kerajaan iaitu RM 9.40 sekilogram,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), sektor agromakanan dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun sekali gus menjadikan sektor ini sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kita perlu bergerak selari dengan trend terkini yang menitik beratkan soal keselamatan makanan, jaminan bekalan makanan, nutrisi dan juga ketahanan dalam sistem makanan negara.

Katanya, Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara bagi merangka dasar sekuriti
makanan secara holistik.

“Di bawah jawatankuasa ini, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021 – 2025 telah dibangunkan dengan mengambil kira isu dan cabaran sekuriti makanan yang negara kita hadapi,” katanya.

Ujar beliau, MAFI sebagai peneraju utama sektor agromakanan perlu memastikan setiap perancangan, setiap dasar dan pelan saling melengkapi bagi menjayakan usaha negara dalam meningkatkan kemampanan dan ketahanan sistem agromakanan.

“Sebagai sebahagian langkah memperkasakan sistem sekuriti makanan negara, Kerajaan menerusi MAFI akan memperkenalkan Skim Insurans Takaful Agromakanan melibatkan keseluruhan sektor agromakanan.

Perdana Menteri berkata, bersempena MAHA 2022, beliau ingin mengumumkan berita baik kepada individu termasuk graduan yang ingin
memulakan perniagaan mikro berasaskan makanan di rumah (home-based), membeli mesin bagi tujuan perniagaan makanan, atau pembelian motosikal bagi tujuan penghantaran makanan menerusi platform e-hailing dan seumpamanya.

“Kerajaan bersetuju memperuntukkan RM 50 juta melalui Agrobank di bawah Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz yang akan menawarkan pembiayaan sebanyak
RM 5,000 bagi peringkat pertama dan RM10,000 bagi peringkat kedua.

“Di bawah program ini, pemohon diberikan moratorium bagi tempoh 6 bulan pertama dan dikenakan tiga peratus kadar keuntungan bagi bulan ketujuh dengan tempoh maksimum
pembiayaan sehingga 60 bulan atau 5 tahun.

Jelasnya, Kerajaan akan terus memainkan peranan efektif dengan kerjasama semua pihak dalam menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat pada harga berpatutan
secara berterusan untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.-Edisi 9