29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024
Home Blog Page 918

Tubuh jawatankuasa teliti syor hukuman gantian mati mandatori

0

KERAJAAN akan menubuhkan beberapa jawatankuasa untuk meneliti dan mengkaji cadangan pindaan akta berkaitan serta syor hukuman gantian oleh Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dan kebolehlaksanaan penambahbaikan hala tuju sistem keadilan jenayah negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerajaan bercadang untuk membentangkan pindaan akta yang berkaitannya ketika sesi Mesyuarat Ketiga Parlimen Ke-14 bermula Oktober depan.

“Pelbagai pihak berkepentingan seperti kementerian atau jabatan dan pakar perundangan dijangka akan dilibatkan dalam proses ini,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) di Dewan Rakyat.

Kasthuriraani bertanyakan bilangan banduan akhir dalam penjara mengikut pecahan kaum, umur, jantina, status ekonomi, jenis kesalahan, kewarganegaraan serta usaha kerajaan menuju ke arah sistem ‘rehabilitative’ dan jangka masa pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, kerajaan bersetuju secara prinsip untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan diganti hukuman tertakluk budi bicara mahkamah, dengan keputusan dicapai selepas mendengar pembentangan pelaporan hasil kajian Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada 8 Jun lalu.

Dalam hal ini, pemansuhan hukuman mati mandatori membabitkan 11 kesalahan iaitu sembilan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan 2 kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Kerajaan akan meneliti dan melaksana kajian lanjut untuk menentukan hukuman gantian bagi kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati yang tertakluk pada budi bicara mahkamah bagi memastikan pindaan akta yang berkaitan mengambil kira prinsip ‘proportionality’ serta keperlembagaan mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, seramai 1,343 banduan sudah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah berdasarkan statistik Jabatan Penjara Malaysia setakat 5 Julai lalu, iaitu membabitkan seramai 62.3 peratus atau 849 banduan warganegara dan seramai 494 atau 36.7 peratus bukan warganegara.

Katanya, berdasarkan jumlah itu juga, banduan dijatuhkan hukuman mati kerana melakukan kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah sebanyak 67.2 peratus atau 903 banduan iaitu 506 orang banduan warganegara dan selebihnya 397 banduan bukan warganegara.

“Seramai 410 orang banduan iaitu 324 orang banduan warganegara dan 86 orang banduan bukan warganegara didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan serta selebihnya seramai 30 orang banduan didapati melakukan kesalahan di bawah lain-lain akta seperti Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Culik 1961,” katanya.-BERNAMA

Azeem kelima terpantas dunia, Tebogo cipta rekod baharu

PELARI pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi menjadi pelari kelima terpantas dunia remaja bawah 20 tahun dengan catatan masa 10.14 saat.

Dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia awal pagi ini (waktu Malaysia), pingat emas milik Letsile Tebogo dari Botswana yang mencipta rekod baharu dunia B20 dengan masa 9.91 saat.

Tempat kedua diraih pelari Jamaica, Bouwahjgie Nkrumie dengan catatan masa 10.02s manakala tempat ketiga Benjamin Richardson (Afrika Selatan) dengan kepantasan 10.12s.

Semalam, Azeem, 18, memadamkan rekod kebangsaan yang dipegang Khairul Hafiz Jantan apabila mencatat masa 10.09 saat dalam saingan kelayakan.

Rekod lama 10.18 saat dicipta Khairul Hafiz ketika SUKMA pada 2016.

Sementara itu pemenang pingat emas 100m dan 200m Sukan SEA Hanoi 2021, Puripol Boonson dari Thailand turut mencatat masa 10.12s untuk menduduki tempat keempat.

Boonson sebelum ini turut menyamai catatan dibuat Azeem iaitu 10.09s di separuh akhir, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan Thailand. – Edisi 9

Hubungan dua hala Malaysia, AS sejak 60 tahun lalu – PM

0

MALAYSIA dan Amerika Syarikat (AS) telah menjalinkan hubungan dua hala sejak 60 tahun lalu, selain menjadi rakan kongsi penting dalam semua bidang.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai contoh, dalam bidang ekonomi, Amerika Syarikat merupakan rakan dagang dan pelabur utama Malaysia.

Menurutnya, pada tahun ini, nilai dagangan Malaysia -Amerika Syarikat berjumlah RM216.97 bilion, manakala nilai pelaburan terkumpul berjumlah RM117.44 bilion.

“Dalam kerjasama pertahanan, Malaysia menghargai bantuan yang diterima dari Amerika Syarikat melebihi AS$200 juta sehingga tahun ini.

“Begitu juga semasa negara berdepan dengan pandemik Covid-19, Amerika Syarikat banyak membantu, termasuk bantuan percuma vaksin Pfizer sebanyak 1 juta dos,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian sempena jamuan tengah hari sempena meraikan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia.

Pelosi dan delegasi kongresnya tiba di Malaysia hari ini sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi ke empat negara Asia.

Ujar Ismail Sabri, semasa majlis makan tengah hari, beliau telah menyatakan komitmen berterusan Malaysia dalam menangani isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia.

“Saya telah meminta Amerika Syarikat supaya menilai semula penarafan Tier 3 kepada Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (Trafficking In Person) yang dikeluarkan oleh negara itu.

“Mengenai situasi di Myanmar, saya menggesa Amerika Syarikat supaya memainkan peranan yang lebih penting untuk mencapai penyelesaian terbaik terhadap krisis itu termasuk membantu penyelesaian isu Rohingya,” katanya.

-EDISI9

Pesta kutip ribuan minyak masak paket terapung di Laut Jawa

0

TULAR sebuah video berdurasi satu minit 29 saat memaparkan ribuan minyak masak paket ditemukan terapung di tengah Laut Jawa.

Video berkenaan tular sejak hujung minggu lalu, namun sehingga kini masih belum terdapat butiran lanjut mengenai insiden berkenaan.

Ia umpama pesta buat sekumpulan nelayan ketika cuba membawa naik paket minyak itu ke atas kapal mereka.

Minyak paket itu dipercayai pengedarnya di Indonesia berdasarkan maklumat pada plastik.

Awak-awak kapal menggunakan pelampung dan beg untuk membawa naik paket miyak masak yang masih terapung.

Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi warganet termasuklah di Malaysia terutamanya bagi yang berhadapan kesukaran mendapatkan paket minyak sekilogram bersubsidi.

-EDISI9

Love scam: Wanita rugi hampir setengah juta

SEORANG eksekutif terpaksa berputih mata menanggung kerugian hampir setengah juta apabila terperangkap dalam penipuan ‘Love Scam’ sejak lebih 10 bulan lalu.

Difahamkan, wanita berusia 41 tahun itu menjadi mangsa sindiket penipuan selepas mengenali seorang lelaki warga asing melalui Facebook pada Ogos tahun lalu.

Mennurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin Abdul Hamid, perkenalan mangsa dan ahli sindiket itu berterusan melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon antarabangsa.

“Sepanjang tempoh perkenalan mangsa tidak pernah bertemu dengan suspek dan lelaki itu mendakwa bekerja sebagai jurutera petroleum yang mempunyai syarikat di Singapura.

“Pada Oktober tahun lalu, suspek memberitahu syarikatnya mempunyai masalah kewangan dan meminta pertolongan daripada mangsa.

“Mangsa percaya dengan kata-kata suspek kemudiannya memasukkan wang ke akaun yang didakwa milik peguam suspek berjumlah RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Mohammad Fakhrudin, mangsa telah membuat 47 kali transaksi pembayaran ke empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM428,000.

“Mangsa mula sedar ditipu selepas memaklumkan perkara berkenaan kepada keluarga dan segera membuat laporan polis semalam,” katanya.

-EDISI9

Banjir kilat di Johor, JPS pam keluar air dari kawasan terjejas

0

SUSULAN kejadian banjir kilat di Johor Baharu petang tadi sehingga menenggelamkan lebih 500 kenderaan di pusat bandar raya itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengambil tindakan segera dengan mengepam keluar air dari kawasan terjejas.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, JPS juga akan menambah baik lagi sistem pengepaman ini untuk menampung kapasiti air yang lebih tinggi.

“Namun, saya difahamkan hujan lebat hari ini adalah lebih daripada kebiasaan. Taburan hujan hari ini hampir cecah 100 mm berbanding dengan paras biasa iaitu 20mm.

“Paras air pasang juga agak tinggi iaitu sekitar 1.15 meter dan ini telah menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir ke laut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat kawasan di sekitar Bangunan Persekutuan dan Hospital Sultanah Aminah di Bandaraya Johor Bahru yang dilanda banjir.

Turut bersama dalam lawatan berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pengangkutan & Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Salleh.

Ujar Onn Hafiz lagi, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan EXCO bertanggungjawab melihat punca menyebabkan banjir kilat di sekitar bandar raya ini serta segera mencari jalan mengatasinya.

“Beliau (Exco) dan Pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mencari penyelesaian segera supaya perkara sebegini dapat dielak pada masa akan datang,” katanya.

-EDISI9

Tiada unsur radiasi di lokasi penemuan serpihan roket China

0

TIADA sebarang radiasi radioaktif dikesan di lokasi penemuan objek dipercayai serpihan roket Long March 5B milik China di Sepupok, Niah, Miri semalam.

Perkara itu disahkan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) yang telah mengadakan pemeriksaan di lokasi terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.50 petang semalam meminta khidmat khas membantu LPTA membuat pemeriksaan di lokasi.

Menurutnya, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dikerah ke lokasi untuk bersedia memberi sebarang khidmat bantuan jika diperlukan oleh pihak LPTA.

“Tiga pegawai LPTA Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tiba di lokasi penemuan objek itu kira-kira jam 5 petang.

“Selepas membuat pemeriksaan, pegawai LPTA memaklumkan tiada radiasi dikesan pada objek terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, pegawai LPTA kemudiannya mengambil objek terbabit untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, objek berukuran lima meter dipercayai serpihan roket berkenaan turut ditemukan penduduk di kawasan kebun kelapa sawit di Desa Pengadang, Balai Karangan, Kalimantan Barat, Indonesia yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Kuching.

Difahamkan pasukan penyiasat dari Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) sudah membuat pemeriksaan di lokasi penemuan itu.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengesahkan serpihan roket itu terbakar ketika memasuki atmosfera Bumi dan melintasi ruang udara Malaysia termasuk Sarawak.

-EDISI9

Tipu pakej haji: 132 laporan polis, kerugian RM5.6 juta

SEBANYAK 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan setakat Ahad lepas membabitkan kerugian lebih RM5.6 juta.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, laporan yang diterima setakat 31 Julai lepas itu melibatkan 336 orang yang menjadi mangsa penipuan tiga syarikat pelancongan swasta.

Menurutnya, Kuala Lumpur mencatatkan bilangan laporan tertinggi iaitu 52 membabitkan kerugian kira-kira RM2.3 juta diikuti Selangor dengan 33 laporan melibatkan kerugian RM966,100.

Sementara itu, 18 laporan melibatkan kerugian kira-kira RM1.2 juta diterima di Pahang manakala tujuh laporan di Johor dengan kerugian RM226,500 dan masing-masing enam laporan diterima di Kelantan dan Perak membabitkan kerugian keseluruhan RM483,000.

“Kedah mempunyai tiga laporan dengan nilai kerugian RM48,000 dan Terengganu dua laporan babitkan kerugian RM76,000 manakala masing-masing satu laporan di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang melibatkan kerugian RM48,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata 23 kertas siasatan telah dibuka dengan lima daripadanya telah lengkap dan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

Pada 7 Julai lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji yang menggunakan visa furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan swasta. – BERNAMA

Bapa campak tiga anak dari atas MRR2 sebelum terjatuh

SEORANG lelaki warga Myanmar bertindak kejam apabila sanggup mencampakkan tiga anaknya berusia antara enam dan lapan tahun dari jejambak Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran lampu isyarat Desa Jaya, Kepong, Kuala Lumpur awal pagi ini.

Dalam kejadian itu, dua anak lelakinya berusia enam dan tujuh tahun meninggal dunia di tempat kejadian sementara anak perempuannya berusia lapan tahun kini dirawat di Hospital Selayang dan keadaannya kritikal.

Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang berusia 38 tahun itu kemudiannya dipercayai terjatuh dari lokasi yang sama, iaitu dari ketinggian kira-kira 20 meter.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu, lelaki berkenaan dilihat berjalan di lebuh raya itu sambil mendukung seorang kanak-kanak sementara dua lagi mangsa dipimpin di tangan kanan dan kirinya.

“Apabila seorang saksi cuba menghampirinya, suspek secara tiba-tiba bertindak mencampak kesemua tiga anaknya sebelum dia terjatuh,” katanya dalam kenyataan di sini.

Eng Lai memaklumkan, suspek dan dua anak lelakinya mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah sementara seorang lagi anak perempuan yang berusia lapan tahun dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

Berdasarkan pemeriksaan pegawai perubatan katanya, anak perempuannya itu mengalami kecederaan dalaman di perut dan keretakan di bahagian rusuk kirinya.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan kritikal,” katanya.

Ujar beliau, setakat ini polis masih belum mendapat sebarang maklumat berhubung ibu kepada mangsa.

Beliau memberitahu, mayat tiga beranak itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superitendan Baldev Singh Gurdial Singh di talian 012-480 6062 atau balai polis berhampiran dengan segera. – Edisi 9

Puteri BN cetuskan inspirasi terhebat, ramai wanita sertai parti

KEWUJUDAN Puteri Barisan Nasional (BN) telah mencetuskan inspirasi terhebat sehingga lebih ramai wanita muda tampil untuk bersama-sama dalam perjuangan parti itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, wajah-wajah wanita muda berbilang kaum telah bersama menjulang panji BN demi sebuah perjuangan yang luhur dan murni.

“Merekalah sebahagian generasi masa depan BN dan mereka jua sandaran untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia.

“Penubuhan Puteri BN yang akan diabsahkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN turut membuktikan sesuatu,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid meghadiri Konvesyen Puteri BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Presiden UMNO itu berkata, hal itu boleh disaksikan ketika konvensyen tersebut diberlangsung dengan penuh semangat.

“Jentera puteri daripada parti komponen dan Friends of BN mempamerkan sebuah iltizam yang jitu dan hebat.

“Senada mereka berazam mahu menempa kebangkitan buat parti yang mereka dokong ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.

Ujarnya, sebagai Pengerusi BN tentunya beliau terharu dan teruja melihat keyakinan, kesungguhan dan keazaman anak-anak muda ini.

“Bahawasanya BN sebuah parti malar segar yang memenuhi aspirasi setiap segmen masyarakat termasuk golongan muda.

“Tidak ada yang baru jika tiada yang lama. Yang lama sayang yang baru, yang baru hormat yang lama.

“Kombinasi lama dan baru antara ekosistem dan kedinamikan politik yang terdapat pada gabungan politik milik rakyat ini.

“Ini membuktikan BN sentiasa mengangkat dan memperakui generasi baharu dalam perjuangannya untuk rakyat dan negara.

“Tahniah Puteri BN. Semoga kewujudan Puteri BN mencetuskan inspirasi terhebat untuk lebih ramai wanita muda bersama BN.

“Ayuh terus mara ke hadapan. Semarakkan lagi kesiapsiagaan. Usah menoleh lagi kerana ini adalah masa untuk BN bangkit,” katanya. – Edisi 9

Che Puan Nur Diana Petra diisytihar sebagai Sultanah Kelantan

0

SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengisytiharkan isteri baginda, Che Puan Nur Diana Petra Abdullah sebagai Sultanah Kelantan berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu membawa gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membacakan pengisytiharan  tersebut di Istana Balai Besar, Kota Bharu yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad.

Menurut Ahmad, pengisytiharan dilakukan menurut Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) bagi pemakluman kepada negeri dan rakyat amnya.

Baginda juga memperkenankan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra iaitu isteri Tengku Mahkota Kelantan sebagai Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan.

Sofie Louise Johansson Petra kini digelar Che Puan Mahkota Kelantan

Kurniaan pangkat itu berkuat kuasa hari ini.

– EDISI9

Catat 10.09s di Colombia, Azeem padam rekod Hafiz

PELARI pecut remaja negara, Muhammad Azeem Fahmi dinobat sebagai lelaki paling pantas di Malaysia apabila mencatatkan larian 10.09 saat dalam acara 100 meter dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia hari ini.

Catatan 10.09 saat itu sekali gus memadam rekod kebangsaan 10.18 saat yang dipegang oleh Khairul Hafiz Jantan pada 2016.

Pelari berusia 18 tahun ini mencatatkan masa kedua terpantas dalam kejohanan itu di belakang pelari Botswana, Letsile Tebogo yang mencatatkan 9.96 saat yang juga rekoda dunia bawah 20 tahun.

Pelari sensasi dari Ipoh, Perak itu mengatasi seperta Jepun, Hiroki Yanagita yang mencatatkan 10.24s dan Tomas Mondino dari Argentina (10.34s) dalam saringan kelayakan untuk melangkah ke separuh akhir.

Pecutan Azeem juga lebih deras daripada pelari Thailand, Puripol Boonson (10.20 saat) yang memenangi acara 100 meter lelaki Sukan SEA 2021 di Vietnam di mana Azeem dibatalkan penyertaannya di peringkat saringan ekoran berlaku kontroversi di permulaan perlumbaan. – Edisi 9