33.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024
Home Blog Page 777

Muhyiddin jawab isu seleweng dana RM600 bilion

0

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini tampil menjawab tuduhan penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM600 bilion sehingga laporan polis dibuat terhadapnya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau tidak pasti daripada mana angka tersebut dipetik tetapi dipercayai berkaitan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion yang dilaksana semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, pakej-pakej rangsangan ekonomi itu dilaksanakan bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas semasa tempoh pandemil Covid-19.

Berikut kenyataan penuh Muhyiddin berhubung isu tersebut:

Ahli Parlimen Hulu Langat daripada parti Pakatan Harapan (PH) telah membuat laporan polis terhadap saya kononnya saya telah menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion.

Ahli Parlimen Lembah Pantai yang baru dilantik sebagai Menteri Komunikasi Digital juga membuat tuduhan yang sama terhadap saya.

Sebelum itu, beliau membuat kenyataan bahawa Perdana Menteri telah mengarahkan polis supaya menyiasat Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atas dakwaan menuduh Perdana Menteri sebagai ejen Israel.

PDRM kemudiannya menafikan Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang disiasat.

Nampaknya, baru beberapa hari menjadi kerajaan, PH tanpa segan silu telah menggunakan pihak polis untuk menekan pemimpin yang tidak sehaluan dengan mereka. This is a clear attempt at silencing dissent.

Ini berbeza sekali dengan janji reformasi institusi mereka untuk menjamin kebebasan institusi-institusi penting negara tanpa campur tangan politik termasuk PDRM.

Apapun, saya tidak hairan dengan kemungkiran janji-janji mereka. Sebelum pilihan raya mereka bermati-matian menafikan akan bekerjasama dengan puak kleptokrat.

Muhyiddin Yassin bermesra dengan orang ramai yang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di PPV KLCC. – Sumber: FB KLCC

Selepas pilihan raya, mereka tanpa segan silu berpeluk cium dan membentuk kerajaan bersama-sama, sehinggakan ada yang membuat parodi lagu “dulu benci penyamun, sekarang sayang penyamun”.

Berbalik kepada tuduhan penyelewengan dana sebanyak RM600 bilion, saya tidak pasti dari mana angka ini dipetik.

Saya agak ia merujuk kepada 8 Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion yang saya laksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas semasa tempoh pandemik.

Daripada keseluruhan RM530 bilion ini, sebahagian besarnya adalah berbentuk non-fiskal, iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Ini termasuk pengeluaran KWSP i-Lestari, i-Sinar, i-Citra bernilai RM145 bilion, pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion, moratorium bayaran pinjaman bank untuk individu dan syarikat bernilai RM180 bilion, jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat bernilai RM80 bilion dan inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan.

Tak mungkin saya seleweng wang ini kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan. Saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini.

Menurut kenyataan Menteri Kewangan pada 29 Jun 2021, perbelanjaan yang melibatkan wang kerajaan dalam bentuk suntikan fiskal pula bernilai RM83 bilion.

Ini termasuk perbelanjaan untuk pembelian vaksin bernilai RM5 bilion dan pelbagai bentuk bantuan langsung tunai untuk rakyat seperti subsidi upah bernilai RM20.92 bilion, Bantuan Prihatin Nasional bernilai RM18.2 bilion, Geran Khas Prihatin bernilai RM4.21 bilion, Geran Khas Prihatin Permai bernilai RM842,000,000, Skim Pembiayaan Mudah Bumiputera bernilai RM500,000,000 dan bantuan-bantuan lain yang dimasukkan terus ke akaun penerima yang layak.

Tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya.

Kalau hal ini berlaku, sudah tentu akan diketahui melalui penemuan audit yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah tentu membentangkan laporan mengenainya di Parlimen. Tak mungkin JAN atau PAC terlepas pandang. Ini bukan perkara kecil. Ia perkara besar.

Malah Bank Negara Malaysia tentunya telah mendapat notifikasi tentang pergerakan jumlah wang yang besar masuk ke akaun saya dan siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun yang lalu. Tetapi tidak ada apa-apa pun.

Nak kata saya halang siasatan kerana saya Perdana Menteri pun tak betul. Kerana saya telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri lebih setahun yang lalu.

Selain itu, kalau hal ini berlaku sekalipun, sudah tentu Pak Mat, Pak Jusoh, Mak Piah di kampung sedar wang yang sepatutnya mereka terima tak masuk ke dalam akaun mereka. Cuba tanya mereka. Dapat ke tidak duit itu.

Tanya juga En Salim, Mr Lim, Mr Kumar mereka terima atau tidak subsidi upah yang disalurkan kepada syarikat-syarikat mereka. Kalau semua dapat, mana mungkin wang itu diseleweng oleh saya?

Negara kita mempunyai sistem dan amalan yang standard untuk menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan wang kerajaan. Kesemua perbelanjaan kerajaan adalah tertakluk kepada audit kerajaan.

Jika terdapat penemuan audit yang mencurigakan, teguran audit boleh dibuat terhadap jabatan kerajaan yang berkenaan.

Jika terdapat salah laku rasuah atau penyelewengan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap si pelaku.

Saya percaya pihak Kementerian Kewangan Malaysia khususnya Agensi LAKSANA mempunyai setiap butiran perbelanjaan bagi semua 8 Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri.

Saya tidak takut untuk disiasat kerana saya tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah.

Cuma pesan saya kepada ahli-ahli politik PH dan UMNO, janganlah asyik menuding jari kepada orang lain dengan menuduh yang bukan-bukan semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan yang baru berusia beberapa hari ini yang kelihatan masih belum ada idea bernas untuk menyelesaikan permasalahan rakyat. Awak dah jadi kerajaan, act like a government.

Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka.

Radzi nafi terlibat dalam pelaburan patuh syariah

0

AHLI Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menafikan beliau terlibat dalam pelaburan patuh syariah sepertimana tertera dalam poster yang tular pada platform media sosial.

Bekas Menteri Pendidikan berkata, beliau mengetahui mengenai perkara itu selepas mendapat pertanyaan daripada orang ramai tentang hantara ‘Pelaburan Patuh Syariah’ yang menggunakan wajahnya sebagai poster promosi.

“Saya ingin jelaskan bahawa saya tidak pernah terlibat langsung dalam apa-apa urusan syarikat tersebut.

“Saya mohon supaya pihak yang menaikkan posting ini, sila turunkan segera atau anda akan berdepan dengan tindakan undang-undang yang akan diambil oleh pihak saya,” katanya hari ini.

Radzi juga merayu kepada mereka yang melihat hantaran tular tersebut agar segera melaporkannya kepada pihak Facebook.

“Kalau ada yang kongsi poster di Whatsapp, minta abaikan. Terima kasih semua!,” katanya.

Terdahulu, Radzi berkongsi satu poster yang tular dipercayai digunakan sebuah syarikat yang tertulis “Pelaburan Patuh Syariah” dan turut memaparkan gambar beliau. – Edisi 9

Anwar pengerusi mesyuarat khas pertama Kabinet

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.

Ini selepas tiga hari senarai anggota Jemaah Menteri diumumkan oleh Perdana Menteri, Jumaat lalu.

Barisan Kabinet dianggotai 28 menteri serta dua timbalan perdana menteri, selain Anwar sendiri memegang portfolio Menteri Kewangan.

Mesyuarat pertama yang dihadiri kesemua Jemaah Menteri itu bermula jam 10 pagi.

Anwar tiba di bangunan Perdana Putra itu pada kira-kira 8.10 pagi sebelum mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan.

Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 24 November lalu, hampir seminggu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada mana-mana parti politik mahupun gabungan berjaya memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Terdahulu, kesemua barisan menteri Kabinet telah mengimbas kad perakam waktu dan memasuki pejabat masing-masing sebelum menghadiri mesyuarat berkenaan. – Edisi 9

Zahid kembali mulakan tugas di pejabat lamanya

0

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memulakan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri hari ini.

Beliau memasuki pejabatnya di Aras 4, Bangunan Perdana Putra pada pukul 8.06 pagi dengan diiringi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Zahid kemudiannya mengimbas kad perakam waktu seterusnya mengaminkan bacaan doa yang dibaca Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam JPM, Kamaruzaman Abdul Aziz.

Selepas memasuki pejabatnya, beliau turut menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.

Jumaat lalu, Ahmad Zahid, 69, diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam kabinet kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kemudiannya mengangkat sumpah jawatan bersama 27 menteri yang lain di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu.

Ini merupakan kali kedua beliau bertugas sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas kali terakhir menjawat jawatan tersebut sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Dalam satu hantaran ringkas di Facebook, Ahmad Zahid berharap semoga Allah memudahkan semua urusan demi negara.

-EDISI9

Fadhlina, Menteri Pendidikan wanita pertama mulakan tugas

0

AHLI Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek yang merupakan wanita pertama dilantik sebagai Menteri Pendidikan memulakan tugasnya secara rasmi hari ini.

Beliau tiba di bangunan kementerian di Putrajaya pada pukul 8.55 pagi, seterusnya menyempurnakan sesi mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama bekerja.

Fadhlina yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang undang-undang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali.

Inilah kali pertama Kementerian Pendidikan diterajui oleh seorang wanita dengan terakhir dipegang oleh Datuk Dr Radzi Jidin manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah menjawat jawatan sama pada 1986 hingga 1991.

Fadhlina, 45, anak kepada Allahyarham Datuk Siddiq Fadzil, bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang dilantik Anwar pada 2 Disember lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Ketua Angkatan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menang di Parlimen Nibong Tebal dalam persaingan empat penjuru dengan majoriti 16,293 undi.

Beliau menewaskan Datuk Mansor Othman (Perikatan Nasional), Datuk Seri R.S Thanenthiran (Barisan Nasional) dan Goh Kheng Huat (Bebas). – Edisi 9

Safawi ke Ratchaburi FC – JDT

0

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) akhirnya mengesahkan perpindahan Safawi Rasid ke Liga Thailand secara pinjaman.

Berita berkenaan diumumkan dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial JDT.

Mengikut hantaran berkenaan, Safawi dan seorang lagi pemain import, Moussa Sidibe akan dipinjamkan ke kelab Ratchaburi FC.

Pengarah Teknikal JDT, Hector Bidoglio dalam hantaran itu mengucapkan maju jaya buat kedua-dua tonggak terbabit.

“Kelab Bolasepak JDT telah mencapai persetujuan dengan pasukan Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC untuk meminjamkan Safawi Rasid dan Moussa Sidibe.

“Harimau Selatan mendoakan yang terbaik buat kedua-dua pemain ini untuk musim akan datang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Safawi akan berhijrah melebarkan sayap ke Liga Thailand selepas berakhirnya saingan Piala AFF pada Januari depan.

Pengesahan itu dibuat Pengerusi Ratchaburi FC, Tanawat Nitikanchana yang disiarkan oleh media portal antarabangsa, Main Stand-International hari ini.

Menurut laporan itu, segala perbincangan sudah dimuktamadkan dan tonggak sayap JDT dan Harimau Malaya itu bersetuju menyertai kelab itu.

Difahamkan, Safawi yang baharu melangsungkan perkahwinan akan mengisi kuota pemain ASEAN di kelab itu.

-EDISI9

Malaysia terus majukan hubungan dengan Thailand – Anwar

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap dapat bekerjasama dengan rakan sejawatnya dari Thailand Prayut Chan-o-Cha, untuk memajukan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Thailand.

Anwar berkata demikian bagi mengulas perutusan tahniah daripada Prayut atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10 di Facebook.

Thank you my friend Prime Minister Prayut Chan-o-Cha, for your kind wishes (Terima kasih sahabat saya Perdana Menteri Prayut Chan-o-Cha atas ucapan anda),” katanya.

Prayut dalam suratnya berkata beliau berharap dapat bekerjasama rapat untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala termasuk menjalin kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Saya yakin Malaysia akan terus maju dan makmur di bawah visi dan kepimpinan anda dan hubungan kejiranan akan terus berkembang dan menghasilkan banyak manfaat bersama yang meluas untuk rakyat dan rantau kita,” kata Prayut.

Anwar, 75, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 24 November lalu.

Pada Februari, Malaysia dan Thailand mengesahkan komitmen mereka untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan dua hala, bekerjasama rapat mencapai sasaran perdagangan dua hala US$30 bilion menjelang 2025.

-EDISI9

Bekas MB Pahang terima ijazah pada usia 72 tahun

0

MINAT mendalam terhadap ilmu menjadi pendorong kepada bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob untuk menamatkan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang pada usia 72 tahun.

Bukan sekadar tamat pengajian malah Adnan yang merupakan antara 414 graduan penerima ijazah dalam bidang itu hari ini pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ke-38, juga dianugerahkan Rector’s List kerana berjaya menampilkan prestasi cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.62.

Berkongsi perjalanan akademiknya, Adnan berkata, walaupun beliau sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sastera daripada Universiti Malaya pada 1984, beliau bertekad terus mengejar ilmu dalam bidang perundangan pula.

“Ramai orang tanya saya mengapa saya sambung belajar, sebenarnya saya daripada kecil suka mencari ilmu pengetahuan. Itulah sebab walaupun sudah memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang sastera, saya masih berminat untuk melanjutkan pelajaran.

“Sebenarnya saya pernah buat (belajar) undang-undang di sini pada 1984 dan saya termasuk dalam kelompok kedua jurusan ini, tetapi tidak tamat sebab saya dipanggil untuk bertanding pilihan raya pada 1986,” katanya seperti dilaporkan Bernama pada majlis konvokesyen itu di Dewan Utama Pusat Kebudayaan, UIAM, hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan yang berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang dari 1999 hingga 2018 itu berkata beliau seronok dikelilingi rakan-rakanya ketika sedang mengulang kaji pelajaran.

“Saya dapati belajar ini mudah walaupun saya sudah tua. Saya lebih suka dikelilingi oleh kawan-kawan saya. Semasa mereka datang minum kopi, semasa itulah saya belajar kerana ia lebih cepat untuk saya. Ramai orang agak hairan mengapa saya kalau tiada kawan, saya tidak boleh belajar,” katanya.

Menurutnya beliau berjaya menamatkan pengajiannya setelah tiga semester mengikuti pembelajaran secara dalam talian manakala selebihnya secara bersemuka dalam kuliah khas bersama pensyarah.

“Saya diberi tempat yang khusus untuk mengadakan sesi pembelajaran dengan pensyarah, tetapi, saya sempat berkenalan (dengan rakan sejurusan) lain melalui dalam talian. Semua pangkat anak-anak saya, ada yang panggil saya pak long, atok dan sebagainya,” katanya berseloroh.

Apabila ditanya adakah beliau mempunyai perancangan menceburi bidang guaman selepas ini, beliau berkata: “Saya bercadang begitu, besar kemungkinan saya akan buat ‘chambering’ di Kuantan, Insya-Allah,Namun begitu saya kena tengok mungkin ada tawaran tertentu untuk melibatkan diri dalam bidang yang tertentu,” katanya.

Adnan menyertai politik pada 1969 dan telah memegang pelbagai jawatan antaranya Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong dan Ketua UMNO Bahagian Bentong pada 1987 sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada 25 Mei 1999.

Beliau merupakan Menteri Besar Pahang yang paling lama berkhidmat iaitu selama 19 tahun sebelum melepaskan jawatan itu pasca Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Ganjaran pulang mengundi: Fahmi gesa SPR, polis siasat Sanusi

0

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menyiasat Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan yang dipercayai ada kaitan dengan politik wang.

Gesaan itu dibuat Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil melalui rakaman video di Twitter beliau hari ini.

Menurut beliau, kenyataan Muhammad Sanusi dalam ceramahnya di Parlimen Padang Serai malam kelmarin, seolah-olah memberi bayangan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diberi ganjaran atas undi mereka.

“(Ia dalam bentuk) duit ya, RM50 atau RM100 dan sebagainya, sama ada ia cuba diselindungi sebagai dana untuk balik (mengundi) tapi ia berulang dalam konteks Pilihan Raya Kecil (PRK) Padang Serai.

“Saya percaya kenyataan beliau ini sangat bahaya, wajar disiasat oleh PDRM dan SPR kerana yang saya risaukan adalah politik wang, semakin menjadi-jadi dan seolah-oleh dihalalkan dengan terma atau takrif.

“Tapi kita tahu sebenarnya ia adalah bentuk sogokan supaya pengundi memilih satu-satu parti, jadi saya mohon pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera menyiasat kenyataan beliau,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perikatan Nasional (PN) Padang Serai, malam kelmarin, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah dilaporkan kecewa dengan sikap segelintir penyokong parti PN yang menuntut balasan kerana pulang mengundi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu berkata, perbuatan tersebut amat memalukan kerana penyokong parti lawan khususnya Pakatan Harapan (PH) tidak pernah meminta duit walaupun pulang dari luar negara.

“Undi kita penting, jangan berkira duit minyak RM50, RM100 atau RM200 (kerana) yang lawan kita balik dari Taiwan, China, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia, duit tambang sekupang pun tak minta. 

“Dia undi PH, dia jahanamkan kita. Hampa (anda) RM50 riuh merata, minta merata buat video dan tunjuk kat orang, buat malu. Kawan tu balik habis puluh ribu, sekupang dia tak minta pasai dia tau penting tanah ini untuk dikuasai.

“Kita bodoh, ligan (kejar) wakil rakyat minta RM50, tak bagi (ugut) tak mau balik dah. Negeri ini orang nak amik dah,” kata Muhammad Sanusi ketika berucap pada ceramah jelajah berkenaan.

-EDISI9

Bukan perkauman, hanya periksa individu mencurigakan

POLIS menafikan tindakan anggotanya memeriksa empat lelaki tempatan di tepi jalan Jalan Cenderuh, Taman Bamboo, Jinjang, Kuala Lumpur malam tadi membabitkan unsur perkauman.

Sebaliknya Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pemeriksaan sedemikian adalah tugas yang perlu dijalankan sekiranya pihak polis mengesan sebarang kenderaan atau individu dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun menurutnya, satu siasatan dijalankan sebaik tersebar satu ciapan di media sosial berkaitan kejadian itu dan mengaitkannya dengan isu perkauman.

“Terkesan satu ciapan di Twitter oleh seorang individu yang memuat naik tangkap layar (mesej di WhatsApp) aduannya kepada Ketua Polis Negara, kira-kira pukul 11.20 malam tadi.

“Pengadu tidak berpuas hati kerana anaknya diperiksa secara rambang oleh lima lelaki yang memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis di Jalan Cenderuh, Taman Bamboo,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujar Eng Lai lagi, siasatan mendapati lima anggota dari Balai Polis Jinjang itu sedang menjalankan rondaan cegah jenayah dan nampak empat lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan, kira-kira pukul 10.30 malam.

“Apabila melihat ketibaan pihak polis, mereka dengan segera masuk ke dalam kereta masing-masing.

“Selepas memperkenalkan diri, pihak polis meminta kad pengenalan mereka untuk membuat semakan rekod jenayah dengan Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul,” katanya.

Eng Lai berkata ketika pemeriksaan, seorang lelaki meminta anggota polis bercakap dengan peguamnya bagi tujuan pengesahan dan pihak polis menjelaskan tujuan pemeriksaan itu dijalankan.

“Setelah selesai pemeriksaan, kesemua mereka dibenarkan beredar dari lokasi pemeriksaan setelah pihak polis tidak menemui sebarang kesalahan dilakukan,” katanya.

“Pihak polis sentiasa berhemah dan bersikap adil dalam melaksanakan tugas pencegahan jenayah dengan tidak mengamalkan sebarang unsur perkauman,” katanya.

“Kita ingin menasihatkan orang awam supaya tidak mudah membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

-EDISI9

Zahid pengkhianat atau penyelamat UMNO?

KERAJAAN baharu sudah dibentuk, Anwar Ibrahim sudah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan Kabinet sudahpun diumumkan.

Impian Anwar untuk menjadi Perdana Menteri selepas perjuangan lebih 24 tahun akhirnya tercapai. Bermakna perjuangan PKR juga boleh dikatakan berakhir.

Zahid pula dapat menjadi Timbalan Perdana Menteri setelah membuat perancangan begitu lama untuk menabalkan gurunya sebagai PM.

Itu kalau merujuk perbualan telefon yang didakwa suara Zahid dan Anwar sejurus berakhir Persidangan Agung UMNO Mac lalu.

Laungan No Anwar, No DAP akhirnya tinggal tahi di wajah 3.5 juta UMNO setelah parti itu memilih Yes Anwar, Yes DAP untuk menjadi rakan sekutu membentuk kerajaan sejurus PRU-15.

Keputusan yang mengecewakan Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang sehingga sampai hari ini masih meroyan dan merengek disebabkan gagal membentuk kerajaan. Sebahagian orang UMNO pun kecewa…

Nampaknya scheme of things oleh Muhyiddin tak menjadi. Umpanan jawatan PM kepada Ismail Sabri Yaakob juga gagal dan 10 Ahli Parlimen UMNO yang sudah tanda tangan SD menyokong Muhyiddin sebagai PM ditarik balik.

Pedih memang pedih. Tapi itulah percaturan Zahid dan UMNO/BN ketika parti itu menjadi kingmaker selepas PRU-15 ekoran tiada parti yang berjaya dapat jumlah kerusi separuh daripada 221 yang dipertandingkan.

Tiga pemimpin parti Melayu utama, Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Muhyiddin Yassin (Bersatu) dan Abdul Hadi Awang (Pas).

Apakah Zahid mengkhianati UMNO atau menyelamatkan parti itu?

Itulah yang masih hangat dibincangkan di mana-mana biarpun kerajaan sudah dibentuk dan Anwar sudah jadi PM.

Buat masa ini aku tak mahu ulas sama ada Zahid akan terlepas semua dakwaan mahkamah yang dihadapinya atau nasib Najib Razak yang sedang dipenjarakan.

Aku lebih tertarik dengan gerakan yang dilakukan Zahid selepas PRU-15 yang menyaksikan UMNO/BN membakulsampahkan No Anwar No DAP yang diputuskan parti itu sebelum ini.

Mari kita tengok senario yang bakal berlaku jika UMNO/BN bersama PN. Ini berdasarkan pandangan beberapa orang ‘totok’ UMNO yang aku jumpa.

PN adalah parti yang diasaskan bersama oleh Bersatu dan Pas. Bersatu ditubuhkan oleh Mahathir Mohamad dan Muhyiddin bagi ‘mengambil alih’ UMNO yang dikatakan sudah tidak relevan.

Bersatu adalah duplikasi UMNO. Nama pun hampir sama, perjuangan juga sama dan tidak mustahil perlembagaan kedua-dua parti ini sama. Sebabnya Bersatu mengambil acuan UMNO.

Bersatu atau nama penuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Ada yang sebut singkatan PPBM. UMNO pula Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Dulu singkatannya dipanggil PEKEMBAR sebelum ditukar menjadi UMNO.

Muhyiddin pula bekas Timbalan Presiden UMNO yang dipecat sebab tidak sehaluan dengan Presidennya, Najib Razak pada 2014/2015 lalu.

Bayangkan kalau UMNO duduk di bawah satu kerajaan PN, sekali lagi kerajaan PN, apa akan jadi pada masa depan UMNO? Apakah masih boleh bertahan atau ‘ditelan’ oleh Bersatu?

PN juga adalah parti gabungan hampir menyerupai Barisan Nasional (BN). Kalau BN berada di bawah kerajaan PN bukankah nama BN akhirnya lenyap?

Itulah orang UMNO takut, walaupun Annuar Musa kata Muhyiddin tak akan ‘bunuh’ UMNO. Tapi siapa tahu?

Bayangkan UMNO adalah parti Melayu, Bersatu dan Pas juga parti Melayu. Lalu parti mana paling dominan? Kalau Bersatu dominan apakah mereka boleh berlaku adil dalam pengagihan kerusi atau jawatan?

Ah, jangan fikirkan sangat soal jawatan dan kerusi, yang penting penyatuan ummah. Itu kata penyokong PN yang cuba memujuk UMNO.

Tapi Pas sendiri tidak rela melepaskan jawatan atau kerusi dimenangi di Terengganu kepada UMNO selepas Muafakat Nasional dibentuk. Malah rela tidak membubarkan DUN ketika Parlimen dibubar.

Apalagi selepas Pas mempunyai kerusi terbanyak iaitu 49 kerusi di blok PN berbanding Bersatu dan UMNO/BN dalam PRU-15. Agak-agak bolehkah mereka berlaku adil dalam ‘poligami politik’ ini?

Lalu, apakah Zahid pengkhianat atau penyelamat UMNO?

Mari kita tengok apa pula senario apabila UMNO/BN bersama PH walaupun di dalamnya ada DAP, musuh ketat UMNO sejak merdeka.

Dalam PH tiada pesaing UMNO. PH tidak ada parti Melayu yang dominan, yang ada cuma Amanah yang dikatakan duplikasi Pas, cuma tidak terlalu ekstrim dan dipimpin oleh mereka yang bukan bertaraf ulama atau ‘tok guru’.

Penyokong PKR kebanyakan mereka yang taksub dengan gerakan Reformasi yang diperjuang parti itu sejak Anwar dipenjarakan buat kali pertama 20 tahun lalu. Manakala sebahagian lagi percaya kepada formula Rafizi Ramli.

DAP juga adalah parti campuran walaupun ‘kecinaan’ mereka amat ketara walaupun mereka cuba meramaikan calon-calon PRU daripada orang Melayu, tetapi struktur kepimpinan parti itu masih didominasi oleh satu kaum.

DAP sedar mereka tidak akan dapat menjadi kerajaan jika tanpa sokongan orang Melayu. Sebab itulah mereka menjadi pemegang saham dalam penubuhan Amanah dan MUDA.

Namun PRU-15 menyaksikan mereka tetap gagal menguasai majoriti kerusi Parlimen, ekoran ketebalan semangat kemelayuan dan keislaman pengundi di Pantai Timur Semenanjung.

UMNO melihat ini satu peluang terbaik untuk mereka mengembalikan kekuatan parti, terutama sokongan orang bukan Melayu yang hampir 100 peratus menyokong PKR dan DAP sebelum ini.

UMNO tidak lagi boleh bergantung harap kepada MCA dan MIC yang dilihat sangat lemah. Mereka perlu bersama parti politik kaum bukan Melayu yang lebih kuat, iaitu DAP selain PKR.

Bagaimanapun, untuk mengembalikan kekuatan parti, UMNO terpaksa menggadaikan maruah dengan ‘bersujud’ di kaki DAP dan Anwar.

Anwar juga sedar tanpa UMNO beliau sukar untuk mencapai cita-cita menjadi PM. Beliau pernah mencuba melalui Pas, tetapi gagal.

Sebab itu Anwar dilihat mempergunakan UMNO untuk mencapai tujuan tersebut, setelah dia melihat UMNO semakin hilang taring sejak 2008.

UMNO/BN dalam PRU tahun 2008 kehilangan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain Wilayah Persekutuan.

Pada PRU14, UMNO/BN hanya menguasai tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang dan kemuncaknya pada PRU-15 lalu apabila UMNO/BN hanya tinggal 30 kerusi Parlimen dan hanya menguasai Melaka dan Johor, itupun menerusi PRN sebelum ini.

Justeru, apabila UMNO/BN bersama PH bermakna ketiga-tiga parti — PKR, DAP dan UMNO — saling memerlukan untuk menjadi sebuah kerajaan.

Tambahan pula dalam keadaan rakyat yang masih lagi dibelenggu kesusahan hidup lantaran pandemik COVID-19 yang melanda dan kemelesetan ekonomi, Malaysia memerlukan sebuah negara yang kukuh dan padu.

UMNO melihat hanya dengan berganding dengan PH sahaja mereka dapat membina negara yang kukuh segi politik setelah mengharungi keadaan terumbang-ambing sejak PRU-14 lalu.

UMNO pernah cuba bergandingan dengan PN dan Muhyiddin sebelum ini, namun mereka tidak berpuas hati. UMNO juga pernah membentuk Muafakat Nasional bersama Pas tetapi dikhianati.

Bersatu dan Pas juga pernah bersama PH namun kedua-dua parti itu juga mengkhianati kesepakatan yang dibentuk bersama.

Lalu, salahkah UMNO/BN mahu bersama PH ketika kedudukan parti itu semakin hilang sokongan dalam kalangan orang Melayu sendiri?

Fikir-fikirkanlah…

Pelantikan Zahid berdasarkan hierarki parti – SUA UMNO

0

PELANTIKAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan berunsurkan kepentingan politik, tetapi dibuat dengan mengambil kira kedudukannya dalam hierarki parti.

Memetik Bernama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelantikan Ahmad Zahid ke jawatan kedua tertinggi negara itu juga, bertujuan memberikan kestabilan kepada Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk selepas tiada parti memperolehi majoriti mudah 112 di Dewan Rakyat.

“Tidak pernah satu Kabinet pun yang tidak menerima kritikan… berapa banyak kali kita melihat ada satu perkara yang 100 peratus sempurna. Mesti ada pihak yang tidak bersetuju di sana-sini.

“Jika kita memberikan kepada orang lain selain Presiden (Ahmad Zahid), kestabilan itu agak tercabar. Kestabilan pertama dalam UMNO dan kedua dalam Kerajaan Perpaduan itu sendiri.

“Oleh itu kita ingin kestabilan dan mengikut hierarki parti satu perkara yang sesuai dibuat pada saat ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ceramah di Kampung Pianggu di Piangu di Rompin, Pahang, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) antara 27 jemaah Kabinet yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.

Selain Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid juga memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ditanya mengenai penerimaan parti terhadap keputusan barisan jemaah Kabinet, Ahmad berkata maklum balas positif diterima daripada peringkat akar umbi parti.

“Kita sedar kita hanya ada 30 kerusi dan enam wakil (menjadi menteri) pada pandangan kita Alhamdulillah, walaupun kita meminta lebih. Kita tunggu senarai timbalan menteri pula,” katanya.