30.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 18, 2024
Home Blog Page 776

Ahli UMNO jangan tinggalkan parti, pesan Annuar

0

TAN Sri Annuar Musa menitipkan nasihat terakhir kepada semua Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Ketereh agar jangan meninggalkan parti susulan ketiadaan beliau nanti.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh yang dipecat semalam berkata, ini sebahagian dari harga perjuangan dan memilih untuk berkata benar, walaupun pahit.

“Malam tadi saya mengadakan pertemuan dengan semua AJK UMNO Bahagian Ketereh yang saya pimpin selama 35 tahun.

“Pesan saya pada mereka, jangan bersedih, jangan tinggalkan parti. Banyak bersabar,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Annuar memaklumkan akan mengadakan perjumpaan terakhir dengan semua kepimpinan cawangan UMNO di Ketereh, petang ini.

“Petang ini jam 3 petang, saya bertemu dengan semua pemimpin 123 cawangan, wanita, pemuda dan puteri.

“Saya izinkan ucapan saya dibuat secara live di Facebook. Tiada apa pun yang perlu disembunyikan, Insya-Allah,” katanya.

Kelmarin, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat mengambil keputusan memecat keahlian Annuar bersama dua pemimpin wanita UMNO Bahagian.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan kemudiannya mengesahkan dan berkata, tindakan itu diambil mengikut fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya.

Beliau berkata, ia termasuk jika seseorang ahli UMNO itu terbukti melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti serta perkara mengenai tata etika ahli. – Edisi 9

Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 bermula 19 Mac 2023

0

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan sesi persekolahan Kalendar Akademik bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan bagi sesi 2023/2024 akan bermula pada 19 Mac 2023 (Kumpulan A) dan 20 Mac 2023 (Kumpulan B).

KPM menerusi kenyataan yang dikeluarkan berkata, sesi persekolahan melibatkan negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) bermula pada 19 hingga 9 Mac 2024, sementara 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024 untuk negeri Kumpulan B melibatkan Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menurutnya, berdasarkan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 2 Tahun 2021 sebelum ini, sesi persekolahan baru 2023/2024 sepatutnya bermula pada 12 Mac 2023.

“Bagaimanapun, ketetapan baharu itu dibuat supaya pengoperasian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan KPM dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Selain itu, perubahan permulaan sesi sekolah itu turut dilakukan supaya sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 dikekalkan pada Mac 2023.

“Ia juga bagi memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 supaya sesi persekolahan tidak kurang daripada 190 hari,” katanya.

KPM berkata, pihaknya juga mengambil maklum cadangan daripada beberapa pihak untuk mengembalikan permulaan sesi persekolahan kepada bulan Januari.

”KPM berpandangan perkara ini boleh dilaksanakan dengan memendekkan cuti persekolahan secara berperingkat bermula daripada tahun 2023 sehingga 2026 dengan pematuhan kepada jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik.

”Namun, mengambil kira kebajikan para guru, murid dan kesan kepada ekonomi negara, KPM mengambil keputusan untuk menangguhkan cadangan ini bagi meminimakan impak kepada pihak-pihak berkaitan,” katanya.

Tambah KPM, ia juga mengambil kira pelbagai pandangan yang diterima daripada pemegang taruh untuk mengelakkan peperiksaan SPM diadakan pada bulan November dan Disember kerana bertembung dengan musim tengkujuh.

“Pelaksanaan peperiksaan SPM dalam musim tengkujuh boleh menimbulkan tekanan bukan sahaja bagi guru dan petugas peperiksaan, malah kepada murid dan ibu bapa yang terlibat.

“Apabila SPM diadakan pada Februari atau Mac, tempoh menunggu untuk calon terbabit bagi kemasukan ke universiti juga akan lebih pendek berbanding sebelum ini.

“Walau bagaimanapun, KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum,”kata KPM.

Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 boleh di muat turun melalui laman sesawang KPM di pautan https//www.moe.gov.my/takwim. – Edisi 9

Jurutera wanita maut motosikal ditunggangi terbabas

0

SEORANG jurutera teknologi maklumat maut apabila motosikal ditunggangi terbabas dalam di Jalan Persiaran Apec, Cyberjaya, petang semalam.

Dalam kejadian pukul 7 petang itu, mangsa dikenali sebagai Nurul Sahira Kamaruzzaman, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda Dash dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Puchong, Selangor.

“Setiba di lokasi, motosikal ditunggangi mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan mangsa kemudian tercampak di atas jalan.

“Mayat mangsa kemudiannya terus dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat,” katanya hari ini.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutann Jalan (APJ) 1987. – Edisi 9

Peneroka Felda rugi RM140,000 diperdaya ‘Macau Scam’

SEORANG peneroka dari Felda Chini Timur 2, Pahang berputih mata kerana terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM140,000 akibat penipuan dari sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd Zaidi Mat Zin, pada 1 Disember lalu, mangsa telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya anggota polis dari Ampang, Selangor.

“Mangsa diberitahu bahawa dia disyaki terlibat dalam penggubahan wang haram dan rasuah serta dikehendaki memberikan butiran akaun bank miliknya.

“Sindiket berkenaan kemudiannya meminta mangsa memindahkan semua wangnya dalam akaun Maybank ke akaun Bank Islam.

“Mangsa melakukan seperti yang disuruh dan memindahkan wangnya secara berperingkat menggunakan mesin ATM yang terletak di Pusat Tenun Diraja Pahang, di Chini antara 1 Disember lalu hingga 6 Disember,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Zaidi memberitahu, pada Rabu lalu mangsa telah menyemak baki dalam akaun Bank Islam di Jalan Mahkota, Kuantan dan mendapati wang tersebut telah dipindahkan secara berperingkat ke beberapa akaun tidak dikenali.

Jelasnya, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis Rabu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Edisi 9

Pelantikan sebagai Timbalan Menteri Kewangan suatu amanah

0

SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Kewangan sebagai suatu amanah yang besar yang perlu digalas.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, beliau akan melakukan yang terbaik demi rakyat dan negara.

“Mohon doakan agar saya diberi kekuatan dan petunjuk dalam menghadapi pelbagai cabaran,” katanya menerusi Twitternya.

Turut dilantik ke jawatan yang sama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam dari Pakatan Harapan (PH), Steven Sim Chee Keong.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai 27 timbalan menteri yang melengkapkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau.

Anwar berkata, senarai nama timbalan menteri dipilih ini selepas perbincangan dibuat bersama dengan semua ketua-ketua parti dan mengambil kita perwakilan dari semua wilayah, wanita dan kalangan muda.

Ahmad, 56, sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industi di bawah Kabinet Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15), Ahmad memenangi kerusi Parlimen Pontian dengan majoriti 5,758 undi. – Edisi 9

Ahmad Maslan, Steven Sim antara 27 dilantik Timbalan Menteri

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO dan Steven, Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang akan membantu Anwar di kementerian itu.

Perdana Menteri turut mengumumkan 25 lagi nama-nama Timbalan Menteri menggabungkan muka lama dan baharu yang mewakili semua parti yang bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan.

Antara muka baharu yang dilantik ialah Ahli Parlimen Alor Gajah, Azly Zahari, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim.

Menurut Anwar, senarai nama timbalan menteri itu dipilih selepas perbincangan dibuat bersama dengan semua ketua-ketua parti dan mengambil kita perwakilan dari semua wilayah, wanita dan kalangan muda.

Anwar berkata, istiadat mengangkat sumpah berkenaan dihadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan diadakan di Istana Negara pada pukul 3 petang esok.

Berikut merupakan senarai penuh Timbalan Menteri yang diumumkan oleh Anwar.

TIMBALAN MENTERI KEWANGAN

  • Datuk Seri Ahmad Maslan (BN/UMNO)
  • Steven Sim Chee Keong (PH/DAP)

TIMBALAN MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH

  • Datuk Rubiah Wang (GPS/PBB)

TIMBALAN MENTERI PERLADANGAN & KOMODITI

  • Datuk Siti Aminah Aching (GRS/UMNO)

TIMBALAN MENTERI PENGANGKUTAN

  • Datuk Hasbi Habibollah (GPS/PBB)

TIMBALAN MENTERI PERTANIAN & KETERJAMINAN MAKANAN

  • Chan Foong Hin (PH/DAP)

TIMBALAN MENTERI EKONOMI

  • Datuk Hanifah Hajar Taib (GPS/PBB)

TIMBALAN MENTERI PEMBANGUNAN KERAJAAN TEMPATAN

  • Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH/PKR)

TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN

  • Adly Zahari (PH/AMANAH)

TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA

  • Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (BN/UMNO)

TIMBALAN MENTERI DALAM NEGERI

  • Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN/UMNO)

TIMBALAN MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA & INDUSTRI

  • Liew Chin Tong (PH/DAP)

TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

  • Datuk Mohamad Yusof Apdal (WARISAN)

TIMBALAN MENTERI SAINS & TEKNOLOGI

  • Datuk Arthur Joseph Kurup (GRS/PBRS)

TIMBALAN MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA & MASYARAKAT

  • Aiman Athirah Sabu (PH/AMANAH)

TIMBALAN MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI & KOS SARA HIDUP

  • Fuziah Salleh (PH/PKR)

TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG & REFORMASI INSTITUSI)

  • Ramkarpal Singh (PH/DAP)

TIMBALAN MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR & PERUBAHAN IKLIM

  • Datuk Seri Huang Tiong Sii (GPS/PDP)

TIMBALAN MENTERI PEMBANGUNAN USAHAWAN & KOPERASI

  • K. Saraswathy (PH/PKR)

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

  • Datuk Mohamad Alamin (BN/UMNO)

TIMBALAN MENTERI PELANCONGAN, SENI & BUDAYA

  • Khairul Firdaus Akbar Khan (GRS/BERSATU)

TIMBALAN MENTERI KOMUNIKASI & DIGITAL

  • Teo Nie Ching (PH/DAP)

TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN

  • Lim Hui Ying (PH/DAP)

TIMBALAN MENTERI BELIA & SUKAN

  • Adam Adli Abd. Halim (PH/PKR)

TIMBALAN MENTERI SUMBER MANUSIA

  • Mustafa @ Mohd Yunus

TIMBALAN MENTERI KESIHATAN

  • Lukanisman Awang Sauni (GPS/PBB)

TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

  • Wilson Ugak Kumbong (GPS/PRS)

-EDISI9

43 tahun bersama UMNO, Annuar diberi kata-kata semangat

0

TAN Sri Annuar Musa menyingkap kembali memori di awal pembabitannya menyertai parti UMNO setelah 43 tahun sebagai ahli dan kini terpaksa menerima keputusan pemecatannya oleh pucuk pimpinan parti.

Katanya, beliau menyertai UMNO pada tahun 1979 dan telah membayar yuran di cawangan Badak Mati.

Annuar turut berkongsi nombor keahliannya.

“Selepas solat jumaat saya ziarah rumah Cikgu Haji Abdullah@Cikgu Lah Badak Mati.

“Di rumah inilah pada tahun 1979 saya mula menjadi ahli UMNO dan membayar yuran di cawangan Badak Mati.

“Kini 43 tahun ahli UMNO dan merupakan penaja UMNO (Baru), selepas UMNO diharamkan 1988, dengan nombor keahlian 00000124,” katanya hari ini.

Tulisan beliau dalam media sosial itu mendapat lebih 1,500 komen daripada warganet yang kebanyakan daripada mereka memberikan kata-kata semangat beliau.

Zaidi Hj Sulaiman mendoakan agar Annuar tabah dan sabar dengan ujian di dunia.

“Manusia bukan tempat sandaran untuk kita hidup dan sesungguhnya hanya Allah SWT yang maha mengetahui perjalanan hidup hamba-hamba-Nya,” katanya menerusi ruangan komen.

Chikwa Dy pula berharap agar bekas menteri Kabinet itu meneruskan agenda penyatuan ummah dan tidak berputus asa.

“Tak apa Tan Sri. Ahli dengan nombor keahlian 0000001 (Tun Dr Mahathir Mohamad) dah lama keluar sebab UMNO dah jauh tersasar. Mari bersama Pejuang, parti yang masih dengan prinsip demi agama bangsa dan tanahair,” kata Kamal Akram Ibrahim.

Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh disahkan dipecat keanggotaannya oleh Majlis Kerja Tertinggi parti yang bermesyuarat malam tadi.

Pengesahan itu dibuat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Turut menerima nasib yang sama ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin yang juga isteri Datuk Seri Shahidan Kasim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim iaitu isteri Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Shahidan dan Ismail bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Arau dan Maran dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) setelah tidak dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN).

Kedua-dua mereka secara automatik tergugur sebagai ahli UMNO kerana bertanding atas tiket parti lawan.

Annuar pula terus menerus mengkritik pucuk pimpinan parti yang memilih Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai rakan sekutu bagi membentuk kerajaan.

Beliau sebelum ini dilihat antara pemimpin UMNO yang mesra dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Edisi 9

Tiga nelayan ditahan cuba seludup 10,000 minyak diesel

CUBAAN sebuah bot pukat tunda menyeludup 10,000 liter minyak diesel tidak berjaya apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Kedah dan Perlis di kedudukan 5.0 batu nautika barat Tanjung Chincin pada jam 10.40 malam semalam.

Bot nelayan kelas C terbabit ditahan ketika Kapal Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Langkawi.

Maritim Malaysia dalam kenyataan dikeluarkan berkata, sebelum ditahan, pihak penguatkuasa mendapati bot pukat tunda berkenaan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa dihampiri.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot itu, terdapat satu ruang asing yang dibuat di bawah rumah bot yang ditutupi dengan kayu papan lapis.

“Anggota penguat kuasa kemudian bertindak membongkar kayu papan tersebut dan menemukan dua kotak yang telah diubahsuai menjadi tong minyak tambahan dan mengesyaki bot nelayan ini terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak subsidi.

“Minyak tambahan yang dibawa dianggarkan sebanyak 10000 liter dengan nilai hampir RM21,500,” katanya.

Katanya, dalam Op terbabit, pihak berkuasa turut menahan tiga lelaki warga Thailand yang berumur lingkungan 22 hingga 59 tahun.

“Bot berkenaan terus dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

“Sehubungan dengan itu, kes disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen dan Akta Bekalan 1961 iaitu memilik barang-barang kawalan dengan melakukan kesalahan.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 mereka boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20, 000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, “katanya.

Ujar Maritim Malaysia, pengusaha bot nelayan tempatan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan. – Edisi 9

Judi Piala Dunia: 412 ‘bookie’ ditahan sejak 19 November

SERAMAI 412 individu disyaki terlibat kegiatan judi bola sepak sepanjang kejohanan Piala Dunia Qatar ditahan menerusi 348 serbuan Op Soga IX di seluruh negara sejak 19 November sehingga hari ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saadudin berkata, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 348 kertas siasatan telah dibuka dan dari jumlah tersebut, sebanyak 289 kertas siasatan masih dalam tindakan.

“Sebanyak 52 kertas siasatan berjaya dituduh manakala sebanyak tujuh lagi telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

“Kesemua tangkapan merupakan bookie atau punter dan telah direman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tangkapan terbanyak melibatkan serbuan di negeri Selangor seramai 135 suspek, diikuti Johor (51), Kuala Lumpur (43) dan Sarawak (34).

Noorsiah berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan termasuk kredit di dalam perisian bernilai RM10.60 juta, wang tunai RM417,613; dolar Hong Kong 382,295 dan dolar Singapura 500.

“Dalam pada itu, polis juga turut merampas 20 unit komputer, 11 komputer riba , dua tablet, 496 telefon bimbit, 11 penghala (router), 207 kad sim dan 103 helai catitan disyaki pertaruhan.

“Siasatan dijalankan di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujar beliau.

Katanya, PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan, berlandaskan undang-undang sedia ada dalam usaha menangani aktiviti perjudian.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian, boleh salurkan maklumat tersebut melalui Hotline Whatsapp Op Soga IX di talian 016-5773477. – Edisi 9

Kes Najib: Yana harap kerajaan pimpinan Anwar lebih terbuka

0

ANAK Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa berharap kerajaan baharu pimpian Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat lebih terbuka dan memberi kebenaran agar perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan bapanya dapat disiarkan secara langsung menerusi media.

Menurut Nooryana, ini kerana semakan kehakiman kes SRC yang akan bermula pada 19 Januari depan sangat penting bagi bapanya yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun.

“Dari awal lagi, ayah saya minta perbicaraan kes dia disiarkan secara langsung agar rakyat faham apa sebenarnya yang berlaku di dalam mahkamah.

“Memandangkan semakan kehakiman kes SRC yang akan bermula pada 19 Januari 2023 adalah sangat penting bagi ayah saya dan dia bakal dibebaskan sekiranya menang.

“Saya berpendapat bahawa kerajaan Anwar Ibrahim patut lebih terbuka dan bertindak telus dengan memberi kebenaran bagi perbicaraan ini disiarkan secara langsung melalui online streaming.

“Apakah pendapat sahabat-sahabat saya? Yes or no?” rayunya hari ini.

Pada Mac 2019, Najib yang juga bekas Perdana Menteri menyokong supaya perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta disiarkan secara langsung.

Beliau berpendapat rakyat berhak untuk mendapatkan kebenaran berhubung tuduhan yang dilemparkan kepada dirinya selain dapat membantu ketelusan serta kedaulatan undang-undang.

Memetik laporan media tempatan, satu petisyen dalam talian yang dilancarkan bagi mendesak perbicaraan Najib disiarkan secara langsung telah meraih 34,901 tandatangan setakat pukul 9 malam, 30 Mac 2019.

Bagaimanapun Menteri Komunikasi dan Multimedia yang ketika itu Gobind Singh Deo pada November 2018 pernah menolak cadangan itu dan berkata ia tidak akan disiarkan secara langsung di RTM dan saluran Bernama.

Oktober lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh 19, 20 dan 26 Januari tahun depan untuk mendengar semakan kes penyelewengan dana milik melibatkan Najib.

Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada Ogos lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

-EDISI9

Momentum kecemerlangan KKM akan diteruskan – Dr Zaliha

0

MOMENTUM kecemerlangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus dibawa dan diperjuangkan agar dapat mengangkat kementerian itu ke peringkat lebih tinggi, kata Dr Zaliha Mustafa.

Menteri Kesihatan yang baharu dilantik itu bagaimanapun berkata, mana-mana perkara yang memberi manfaat besar kepada negara dan rakyat pasti akan diteruskan.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti semula atau ditambah baik.

“Tidak terkecuali pasti ada kemungkinan perkara yang perlu diketepikan selari dengan kehendak semasa.

“Buat masa ini, masih dalam proses meneliti segala polisi yang sedia ada supaya keputusan pada masa mendatang adalah selari dengan agenda mendahulukan rakyat, dan mencapai matlamat Kerajaan Perpaduan ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha juga akan memastikan visi dan misi selaku Menteri Kesihatan selaras dengan visi dan misi KKM yang telah termaktub, di samping setiap perkara dilaksanakan selari dengan dukungan Kerajaan Perpaduan.

“Perlu difahami dan ditekankan bahawa sektor kesihatan ini adalah untuk semua tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.

“Agenda mengutamakan rakyat merupakan keutamaan oleh pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini.

“Setiap pemimpin pastinya akan memikirkan apa yang ingin dibawa kepada rakyat, tetapi kita kadang-kadang terlupa ada perkara yang rakyat sendiri mahu kita laksanakan.

“Sehubungan dengan itu, sebagai wanita pertama yang menduduki jawatan Menteri Kesihatan, sudah pasti naluri keprihatinan itu amat tinggi untuk memenuhi apa yang diinginkan rakyat dan warga penjawat awam dalam sektor ini.

“Saya akan menggalas tanggungjawab selaku menteri mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya. – Edisi 9

SPRM fokus siasatan terhadap dana kerajaan RM92.5 bilion

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menumpukan siasatan terhadap dana kerajaan sebanyak RM92.5 bilion setelah mendapat butiran daripada Kementerian Kewangan berhubung isu dana berjumlah RM600 bilion sebelum ini.

Menurut SPRM dalam kenyataannya, dana tersebut digunakan bagi menyediakan pakej rangsangan ekonomi oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2020 dan 2021 berkait pengurusan COVID-19.

“Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion.

“Daripada jumlah itu, RM437.5 bilion merupakan dana bukan daripada kerajaan.

“Sementara, sebanyak RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan, jadi fokus siasatan SPRM kini terarah kepada dana kerajaan RM92.5 bilion tersebut,” kata agensi itu.

SPRM berkata, Kementerian Kewangan kini sedang memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkan kepada pihaknya minggu hadapan.

Rabu lalu, media melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipanggil oleh SPRM berhubung dakwaan salah guna dana sebanyak RM600 bilion ketika pandemik Covid-19.

Turut akan dipanggil ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Portal berita The Vibes yang memetik sumber berkata, siasatan itu dijalankan SPRM susulan laporan yang diterima daripada pihak tertentu, yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik itu melanda negara mulai 2020.

Ketika pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Khairy yang juga Menteri Sains dan Teknologi pada permulaan pentadbiran Muhyiddin, kemudiannya bertukar portfolio itu dengan Datuk Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan.

Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion yang dilakukan kerajaan terdahulu. – Edisi 9