25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Momentum kecemerlangan KKM akan diteruskan – Dr Zaliha

Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti semula atau ditambah baik.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MOMENTUM kecemerlangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus dibawa dan diperjuangkan agar dapat mengangkat kementerian itu ke peringkat lebih tinggi, kata Dr Zaliha Mustafa.

Menteri Kesihatan yang baharu dilantik itu bagaimanapun berkata, mana-mana perkara yang memberi manfaat besar kepada negara dan rakyat pasti akan diteruskan.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti semula atau ditambah baik.

“Tidak terkecuali pasti ada kemungkinan perkara yang perlu diketepikan selari dengan kehendak semasa.

“Buat masa ini, masih dalam proses meneliti segala polisi yang sedia ada supaya keputusan pada masa mendatang adalah selari dengan agenda mendahulukan rakyat, dan mencapai matlamat Kerajaan Perpaduan ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha juga akan memastikan visi dan misi selaku Menteri Kesihatan selaras dengan visi dan misi KKM yang telah termaktub, di samping setiap perkara dilaksanakan selari dengan dukungan Kerajaan Perpaduan.

“Perlu difahami dan ditekankan bahawa sektor kesihatan ini adalah untuk semua tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.

“Agenda mengutamakan rakyat merupakan keutamaan oleh pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini.

“Setiap pemimpin pastinya akan memikirkan apa yang ingin dibawa kepada rakyat, tetapi kita kadang-kadang terlupa ada perkara yang rakyat sendiri mahu kita laksanakan.

“Sehubungan dengan itu, sebagai wanita pertama yang menduduki jawatan Menteri Kesihatan, sudah pasti naluri keprihatinan itu amat tinggi untuk memenuhi apa yang diinginkan rakyat dan warga penjawat awam dalam sektor ini.

“Saya akan menggalas tanggungjawab selaku menteri mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan