31.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024
Home Blog Page 271

Pemuda UMNO lapor polis tuntut siasat ‘memo dalaman’ AGC bocor

0

PEMUDA UMNO akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis bagi menuntut supaya satu siasatan dapat dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap kebocoran dokumen didakwa ‘Memo Dalaman’ Jabatan Peguam Negara (AGC) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata tindakan itu dibuat selepas sayap UMNO itu berasa terkilan kerana sehingga kini, tiada maklum balas bagi menjawab tuntutan supaya siasatan dijalankan sama ada dokumen itu beserta isi kandungannya adalah sahih atau tidak.

“Sehingga ke hari ini, tidak ada mana-mana pihak boleh mengesahkan kesahihan dokumen berkenaan.

“Ini secara tidak langsung memberikan impak negatif kepada tahap keyakinan orang awam kepada AGC.

“Maka yang demikian atas dasar prihatin dan memegang teguh kepada Rukun Negara Malaysia yang ketiga dan keempat, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang, Pemuda UMNO akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis supaya satu siasatan dijalankan pihak berkuasa yang berkenaan,”katanya dalam kenyataan di Facebook beliau, hari ini

Beliau turut berpendapat, tindakan itu wajar diambil bagi mengembalikan keyakinan orang awam terhadap sistem perundangan Malaysia.

Dr Muhamad Akmal berkata, pihaknya juga mengambil maklum kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, yang menyatakan siasatan sedang dijalankan untuk menyiasat kebocoran dokumen itu.

“Mewakili Pemuda UMNO, saya juga mengeluarkan kenyataan pada 18 Ogos lalu mendesak satu siasatan dijalankan berkenaan kesahihan dokumen yang didakwa ‘Memo Dalaman’ AGC bertarikh 10 Oktober 2019.

“Namun, amat mendukacitakan apabila AGC pula mengumumkan bahawa Peguam Negara kini sedang bercuti sehingga beliau bersara kelak pada 6 September 2023,” katanya.

Katanya, tindakan Peguam Negara mengumumkan bercuti tanpa memberikan hasil siasatan dan maklum balas mewajarkan desakan Pemuda UMNO ini, kerana meninggalkan isu ini tergantung tanpa sebarang jawapan.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai satu dokumen didakwa ‘Memo Dalaman’ daripada AGC oleh pasukan pendakwaan bagi kes International Petroleum Investment Company (IPIC), iaitu firma pelaburan Abu Dhabi, bertarikh 10 September 2019, yang menyentuh mengenai enam pertuduhan dikenakan terhadap Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah. – Edisi 9

Dua pelancong sesat tunggang jet ski maut ditembak

0

AKIBAT tersesat bermain jet ski sehingga merentasi sempadan maritim antara dua negara Mediterranean di Maghribi, dua pelancong ditembak mati oleh pengawal pantai Algeria.

Bilal Kissi dan Abdelali Merchouer, kedua-duanya warga Perancis-Maghribi, mengambil jalan yang salah dari pusat peranginan pantai Saidia di hujung timur laut Maghribi, kata laman web berita Le360, memetik seorang saksi.

Lelaki ketiga, Smail Snabe, juga warga Perancis-Maghribi turut ditangkap oleh pengawal pantai Algeria dan tampil di hadapan pendakwa raya pada Rabu.

Terdapat empat lelaki dalam kumpulan itu pada Selasa dan semuanya menaiki jet ski.

Kami tersesat tetapi kami terus berjalan sehingga kami mendapati diri kami berada di Algeria.

“Kami tahu kami berada di Algeria kerana bot hitam Algeria datang ke arah kami dan mereka yang berada di atas “menembak kami”.

“Alhamdulillah, saya tidak terkena, tetapi mereka membunuh abang dan rakan saya. Mereka menahan rakan saya yang lain.

“Lima peluru terkena abang dan rakan saya. Rakan saya yang lain terkena peluru,” kata Mohamed Kissi iaitu abang kepada salah seorang mangsa yang maut, dipetik sebagai berkata oleh laman web Maghribi, Al Omk.

“Kami tersesat dan kehabisan minyak,” katanya, sambil menambah bahawa dia diselamatkan oleh tentera laut Maghribi yang membawanya kembali ke marina Saidia.

Insiden itu berlaku ketika ketegangan antara Algeria dan Maghribi yang diburukkan lagi oleh pertikaian kedua negara terhadap wilayah Sahara Barat.

Sempadan antara dua negara Afrika Utara ditutup sejak 1994, dan Algiers memutuskan hubungan dengan Rabat pada 2021.

Ketika ditanya mengenai laporan menembak pemain jet ski pada Khamis, jurucakap kerajaan Maghribi, Mustapha Baitas, enggan mengulas.

Sementara itu, tiada maklum balas atau kenyataan dibuat oleh Algeria, susulan kes berkenaan. -Agensi

140 permit ceramah, kempen PRK diluluskan – Polis Johor

POLIS Johor sudah meluluskan 140 permit ceramah dan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sejak 26 Ogos lalu hingga Khamis.

Jurucakap Media PRK Johor, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintenden Ibrahim Mat Som berkata, jumlah itu adalah daripada 148 permohonan yang diterima pihak polis.

“Semalam sahaja, sebanyak 22 permit ceramah dan kempen PRK diluluskan kawasan Parlimen Pulai. Ia meliputi lima permit bagi ceramah dan 17 permit bagi kempen di Parlimen berkenaan.

“Sementara, sebanyak 19 permit ceramah dan kempen bagi DUN Simpang Jeram yang meliputi 18 permit ceramah dan satu permit kempen.

“Dalam pasa itu, sebanyak dua kertas siasatan juga sudah dibuka sepanjang tempoh berkempen, membabitkan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Polis Johor menasihatkan supaya semua parti serta kumpulan penyokong menghormati antara satu sama lain serta tidak melakukan kerosakan terhadap poster, banner, bendera, kain rentang mana-mana parti politik dengan mencabut atau membakarnya.

“Ini kerana, ia merupakan satu perbuatan khianat dan menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Sekiranya, berdepan sebarang permasalahan yang timbul, mana-mana pihak boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang yang sedia ada,” ujarnya. – Edisi 9

Kerajaan komited sepenuhnya terhadap NIMP 2030 – Anwar

0

KERAJAAN komited sepenuhnya untuk menyokong pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang memerlukan anggaran jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion sepanjang tempoh tujuh tahun pelaksanaannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan itu sebahagian besarnya daripada sektor swasta, digunakan daripada ekuiti swasta, modal dan pasaran kewangan.

“Hampir 10 peratus akan diperuntukkan oleh kerajaan untuk membantu memangkin dan memberi insentif kepada pelaburan ini melalui Dana Pembangunan Perindustrian NIMP dan Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP,”katanya pada pelancaran NIMP 2030 hari ini.

Beliau berkata, NIMP 2030 menyasar untuk meningkatkan nilai tokokan pembuatan sebanyak 6.5 peratus kepada RM587.5 bilion menjelang 2030, hasil daripada intervensi pelan induk tersebut bagi sektor berimpak tinggi.

Jelasnya, sektor berimpak tinggi tersebut termasuklah elektrik dan elektronik (E&E), kimia, kenderaan elektrik, aeroangkasa dan farmaseutikal.

“Dari segi pekerjaan, pertumbuhan 2.3 peratus dari 2023 diunjurkan. Ini susulan daripada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi ketika negara bergerak ke arah aktiviti tokokan nilai tinggi dan peningkatan dalam automasi dan kemajuan teknologi,”katanya.

Anwar juga berkata, kerajaan yakin strategi dalam NIMP 2030 akan membuahkan hasil yang bermakna dan memberi impak besar kepada ekonomi negara. – BERNAMA

Tebus angkat prinsip, harga diri manusia

0

DUIT memberi definisi yang pelbagai oleh setiap manusia. Ada yang hidup mewah kerana duit malah tidak kurang yang masih bermati-matian bekerja hanya untuk mencari duit untuk digunakan dalam kehidupan seharian.

Meski ‘si kaya’ mahupun ‘si miskin’, selagi namanya sebuah kehidupan, memiliki duit adalah satu keperluan untuk kelangsungan hidup.

Tetapi adakah setiap manusia menggunakan ‘jalan’ yang ‘lurus’ dan betul untuk mendapatkan duit? 

Barangkali isu inilah yang sangat signifikan dan mahu diangkat oleh Jason Chong menerusi naskhah terbaharu arahannya, Tebus yang diedarkan oleh MyContent Distribution. 

Tebus dibawakan oleh Vian Media Sdn Bhd diterajui oleh bintang hebat tanah air iaitu Aedy Ashraf, Azhan Rani, Jay Iswazir dan Marisa Yasmin.

Bersama mereka, pendatang baharu yang semakin meningkat naik, Ahirene Ahirudin dan Idan Aedan menyuntik kelainan dan sesuatu yang segar dalam karya hasil tulisan Sky Khor.

Ia bukan sembarangan naskhah meski masih mengangkat tema kehidupan masa kini. Tebus memiliki sesuatu yang unik dan mampu membuat audiens berfikir selepas menontonnya.

“Satu perkara yang tidak boleh dinafikan kita kini hidup dalam dunia yang penuh konflik. Sama ada ia peperangan antara negara, skandal tanpa penyudah dan perebutan kuasa namun tanpa disedari kita juga secara peribadi berdepan dengan konflik yang ‘membunuh’ jika tidak dikendalikan dengan baik.

“Tebus akan menjadi sebuah naskhah yang mengajak kita berfikir bahawa manusia boleh berubah kerana banyak perkara sama ada ia baik atau buruk.

“Duit adalah antara faktor utama yang mengubah manusia. Kenapa saya katakan begitu? Anda akan menemui jawapannya di dalam Tebus,” kata Jason Chong yang juga Penerbit Eksekutif Tebus.

Mengangkat kisah tentang seorang pengawal keselamatan, Johan yang telah menculik pewaris barangan kemas, Ana untuk mendapatkan jantung di pasaran gelap bagi membantu adiknya, Jalil.

Kerana terdesak Johan melakukan perbuatan jahat itu namun perancangannya tidak berjalan lancar apabila Bakar (bapa tiri Ana) tidak mahu membayar walau satu sen pun hasil penculikan terbabit.

Berdasarkan situasi itu, Tebus yang berdurasi 114 minit membawa penonton masuk ke dalam dunianya yang penuh dengan aksi, kasih sayang, kemanusiaan, empati dan berkenalan dengan ‘dunia gelap’ yang sentiasa menanti untuk menjerumuskan seseorang ke dalam kemusnahan.

Menurut calon Pengarah Terbaik dari Festival Filem ke-23 ini, pemilihan barisan pelakon seperti Aedy yang digabungkan bersama Idan dan Ahirene adalah sebuah keputusan yang tepat selepas melihat hasil kerjasama mereka di layar skrin.

“Seperti kita ketahui Aedy Ashraf adalah seorang aktor yang baik dan mampu memainkan apapun peranan yang diberikan kepadanya.

“Walaupun dia perlu bekerja dengan pemain baharu dalam industri, keserasian di antara mereka pantas tercetus.

“Ahirene pula menepati kriteria Tebus yang memiliki unsur aksi dan romantik, begitu juga sifat spontan yang ada dalam diri Idan menghidupkan naskhah ini dengan sangat baik,” kata Jason lagi.

Tebus menjalani penggambaran 100 peratus di Kuching, Sarawak sudahpun menemui penonton sejak 31 Ogos di Prime Video dan boleh ditonton di seluruh Asia Tenggara.

Langganan Prime berharga RM25 di Malaysia dan penonton boleh melanggan secara percuma selama 7 hari untuk menonton filem Tebus.

Filem ini dihasilkan dengan Bantuan Kewangan oleh Film in Malaysia Incentive (FIMI) dan rebat tunai (cash rebate) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). -Edisi 9

Kempen ‘Tindakan Kecil, Perubahan Besar’ Daia berjaya kumpul RM20,000

0

SEBANYAK RM20,000 berjaya dikumpul sejak pelancaran kempen Daia, ‘Tindakan Kecil, Perubahan Besar’ yang diadakan Mei lalu.

Program CSR itu adalah salah satu inisiatif Daia dalam membuktikan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi untuk menerapkan perubahan dalam kalangan masyarakat di samping memupuk sifat pemurah.

Acara itu turut diserikan oleh Duta Jenama rangkaian produk Daia, Datin Lisa Surihani.

Kutipan itu dibuat hasil daripada sumbangan orang ramai menerusi pembelian produk Daia termasuk Daia Hijab All Day Freshness yang baru dilancarkan dan setiap pembelian sebanyak RM0.50 disalurkan.

Hasil sumbangan itu akan disalurkan kepada tiga rumah anak yatim yang terbabit sama menjayakan kempen berkenaan iaitu Rumah Aman Children’s Home, Rumah Hope dan House of Joy yang terletak di Selangor.

Lisa berkata, dia berbesar hati apabila dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif ini.

“Kanak-kanak kurang bernasib baik ini wajar diasuh. Ini disebabkan mereka tidak mempunyai kelebihan yang sama seperti kanak-kanak lain.

“Saya berkongsi wawasan yang sama dengan Daia untuk mengangkat martabat anak-anak ini dan dengan sukarelanya memikul tanggungjawab besar untuk memberi inspirasi kepada mereka, agar lebih peka tentang alam sekitar, disamping turut memupuk kebolehan kreativiti dan sifat kesedaran,” katanya.

Pada acara sama, Daia turut mempromosikan kesedaran alam sekitar secara aktif menerusi bengkel Batik dan Kitar Semula Botol Daia yang menarik, memperkasakan kanak-kanak untuk menjadi pelindung alam sekitar di samping memupuk kreativiti dan kesedaran.

Bengkel-bengkel itu menunjukkan komitmen Daia dalam usahanya menerapkan nilai-nilai murni selain daripada sumbangan kewangan, yang terangkum dalam semangat kempen. -Edisi 9

PM temui warga Johor dalam ‘Temu Anwar’ di UTM Ahad ini

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menemui rakyat Johor dalam program ‘Temu Anwar Johor Bahru’ yang bakal berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Skudai dekat sini pada Ahad ini jam 2 petang.

Anwar berkata, beliau mengajak warga Johor terutamanya sekitar Johor Bahru untuk menyertai sesi dialog berkenaan dan peluang diberikan secara terus untuk bertanyakan apa jua soalan kepada beliau.

Program anjuran Anwar Ibrahim Club (AIC) dengan kerjasama UTM ini akan diadakan bertempat di Dewan Sultan Iskandar dan dijangka kehadiran melebihi 5,000 orang terdiri daripada pelbagai kelompok seperti mahasiswa, profesional dan orang ramai.

“Ayuh warga Johor Bahru ikut serta dalam sesi Temu Anwar yang akan diadakan Ahad ini bersamaan 3 September 2023 bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.

“Seperti kelaziman, peserta yang hadir diberi ruang secara terus untuk bertanyakan apa jua soalan kepada saya.

“Insya-Allah, ruang ini kita gunakan sebaiknya dalam mencambah budaya wacana yang sihat dan segar,”katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau.

Mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran menerusi laman web temuanwar.com.

Sebelum ini, program serupa telah diadakan di Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Program ini banyak memberi manfaat kepada rakyat kerana mereka boleh mengajukan terus soalan kepada Perdana Menteri dan tindakan segera akan diambil dalam jangka masa singkat seperti isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat dengan peruntukan segera RM3 juta. – Edisi 9

TAPAUfest kembali ke Lenggong, indie bertemu keindahan alam

0

SELEPAS kejayaan menarik kira-kira 3000 pengunjung pada tahun lalu, TAPAUfest kembali lagi dan akan berlangsung pada 7 dan 8 Oktober ini di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak.

Berlatarbelakangkan tasik yang indah dan gunung-ganang, TAPAUfest menjemput komuniti indie Asia Tenggara untuk #LepakLenggong bersama artis indie ternama dan berpotensi dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand dengan tema #SerumpunBerpesta.

Pengarah Kreatif TAPAUasia Sdn Bhd, Ahmad Faris berkata, bermula dengan taksub mahu menjadikan festival ini lebih besar setiap tahun, mereka mengambil keputusan untuk memberi lebih perhatian kepada butiran-butiran kecil terutamanya dalam kurasi bagi membawakan komuniti indie dan rakyat Lenggong terbabit sama.

“Tahun ini TAPAUfest memberi penghormatan kepada wanita yang membentuk ‘scene’ ini.

“Ini dapat dilihat melalui kerjasama mereka dengan Newruul, seniman muda di sebalik rekaan poster dan ‘merchandise’ rasmi, sementara barisan di PENTAS (pentas muzik) pula menampilkan ramai bakat wanita yang sedang menempa nama,” katanya.

Persembahan hari pertama akan dimulakan dengan kugiran ‘Midwest Emo’, Mascot yang menawarkan aksi bertenaga serta agresif dengan lirik terapeutik sebelum diteruskan oleh kumpulan reggae dub eksperimental asal Indonesia, Rub Of Rub, sekaligus melengkapkan nuansa mempesonakan kala matahari terbenam.

Membuka persembahan malam adalah duo elektronik Wobbebong. Bersenjatakan tenaga dan semangat ingin mencuba, gadis-gadis ini pasti akan membawa keseronokan dengan sentuhan eksentrik dalam set mereka.

Persembahan diteruskan dengan kugiran legenda dari Singapura, Force Vomit yang baru menyambut ulang tahun ke-20 album kedua mereka, ‘Give It Up For The Trustfund Rockers’ dalam bentuk vinil.

Berbekalkan bunyian ‘Garage Surf’, mereka pastinya tidak sabar untuk menghidupkan kembali kisah cinta dengan komuniti peminat indie Malaysia.

Kumpulan Rock n’ Roll Jemson kemudian akan mengambil alih pentas dengan memberi penghormatan kepada era keemasan ‘rock kapak’ Malaysia sambil menyuntikkan bunyi moden dan elemen humor mereka yang tersendiri.

Menutup tirai hari pertama adalah penyanyi muda Indonesia, Nadin Amizah yang kian memenangi hati jutaan peminat terutamanya dari Indonesia dan Malaysia.

Dengan karya terbaharunya “Rayuan Perempuan Gila” dan “Semuanya Dirayakan” mendapat sambutan hangat, persembahan Nadin berlatarkan tasik nanti pastinya menjanjikan pengalaman yang cukup istimewa.

Persembahan hari kedua dimulakan antara kugiran Indonesia yang menarik perhatian pada masa kini, The Jansen.

Dikenali sebagai kugiran punk mid-tempo era 70-an dari Bogor, kumpulan ini meledak selepas keluaran album mereka, ‘Banal Semakin Binal’ tahun lalu.

Seterusnya, ‘Local Thrash Heroes’ dari Ipoh, Muck akan naik ke pentas sebagai penghormatan kepada wira tempatan.

Ditubuhkan pada tahun 1994, band ini dianggap sebagai salah satu perintis ranah indie Malaysia.

Door Plant bakal melakar sejarah sebagai kugiran pertama dari Thailand yang menghiasi pentas TAPAUfest dengan membawa irama lepak dan santai ke Malaysia yang menjadi salah satu destinasi kembara ‘Tournament’ mereka.

Dengan membawakan genre neo-folk, Bayangan yang biasanya bergerak secara solo, kini ditemani kugiran lengkap yang pasti membawa persembahan yang memukau.

PENTAS diteruskan dengan penanda generasi masa kini dari Indonesia iaitu Lomba Sihir.

Pengunjung sudah tentu tidak mahu melepaskan peluang merayakan karya mereka dengan menari, tersenyum sambil hanyut bersama dalam karya cinta-benci di kota ia membesar serta tumbuh.

Artis yang akan mengakhiri persembahan TAPAUfest tahun ini adalah anak kelahiran Borneo yang menjadi perintis awal dalam pergerakan muzik indie.

Pada tahun 2009, single hitsnya “Kantoi” dan “Bitter Heart” membawanya jauh sehingga ke peringkat antarabangsa.

Pernah tampil di NPR Music Tiny Desk Concerts pada 2020, kemunculan Zee Avi dengan lagu-lagu melankolik adalah cara paling indah untuk melabuhkan tirai TAPAUfest 2023.

Persembahan muzik di PENTAS hanya akan bermula pada jam 5 petang bagi memberikan masa kepada pengunjung festival untuk meneroka keajaiban Lenggong yang penuh dengan keindahan alam serta destinasi makan dan minum.

Pengunjung juga boleh berteduh dari matahari sambil belajar dan berkongsi pengetahuan di BENGKEL atau terokai karya pembikin filem indie di LAYAR yang dikurasi dengan kerjasama Kaki Seni.

Pengunjung boleh menghilangkan dahaga dan mengisi perut dengan sajian Malaysia terbaik dihidangkan oleh peniaga dari Lenggong dan ‘foodtruck’ dari seluruh Malaysia di WARUNG.

Bagi mereka yang suka membeli-belah atau mengumpul rekod, ‘merchandise’ atau karya seni, PASAR menghimpunkan karya artis dan jenama indie sambil dihiburkan oleh DJ di pentas mini.

Satu perkara yang membezakan TAPAUfest daripada festival seni lain adalah peluang untuk berkhemah selama dua malam di Resort Tasik Raban dan merasai sepenuhnya pengalaman di Lenggong.

Pengunjung boleh menempah tapak khemah di Santuy Campsite dan sertai sesi unggun api dan persembahan akustik atau buat mereka yang inginkan pengalaman lebih minimal boleh mengikat ‘hammock’ di antara dahan pokok menerusi Outsiders Campout.

TAPAUfest 2023 adalah pengalaman festival oleh TAPAUasia dengan kerjasama Majlis Daerah Lenggong, Ipoh Social Club, Verssusika serta rakan rasmi Vans, Yoodo, Batik Air, Era, Gempak dan Syok.

Sebarang pertanyaan untuk tiket dan maklumat lanjut layari www.TAPAUfest.asia atau ikuti @TAPAUfest. -Edisi 9

Bekas Ketua Polis Negara dilantik Pengerusi PUNB baharu

0

BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan penyandang sebelum ini iaitu Datuk Ahmad Nazlan Idris yang telah melepaskan jawatan pengerusi pada 20 Disember 2022.

Acryl Sani adalah bekas Ketua Polis Negara ke-13 bermula 4 Mei 2021 hingga 22 Jun 2023.

Ketika ini, beliau juga adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Timbalan Pengerusi Dagang NeXchange Bhd.

Ketika berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliaul pernah memegang pelbagai jawatan seperti Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2018-2020) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (2017), selain pernah menjadi Ketua Polis Negeri Perak pada 2013 serta Pesuruhjaya Polis Sarawak (2011-2013).

Beliau memiliki Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin, berkata, Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan dan warga kerja PUNB merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Acryl Sani dan mengalu-alukan kehadiran beliau di PUNB.

“Kami yakin dapat bekerjasama rapat dengan Tan Sri Acryl dan memanfaatkan pengalaman luas serta pandangan strategik beliau dalam pembangunan usahawan Bumiputera di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

PUNB diwujudkan untuk meningkatkan penyertaan dan pembabitan Bumiputera dalam bidang keusahawanan serta melahirkan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera (MPPB) yang dinamik, berdaya tahan, progresif serta berjaya.

Ditubuhkan pada 17 Julai 1991 di bawah Akta Syarikat 1965, PUNB adalah syarikat milik penuh Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB).

PUNB beroperasi sebagai sebuah syarikat patuh Syariah sepenuhnya sejak 2010. Bermula Oktober 2018, PUNB diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri. -Edisi 9

Lebih 2.7 juta pengundi pilih Presiden ke-9 Singapura hari ini

0

LEBIH 2.7 juta rakyat Singapura akan memutuskan siapa antara tiga calon yang akan menjadi presiden kesembilan republik itu hari ini.

Tiga calon itu terdiri bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Pte Ltd, Ng Kok Song; bekas Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd, Tan Kin Lian dan bekas Menteri Kanan, Tharman Shanmugaratnam.

Menurut laman sesawang Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD), Presiden ialah Ketua Negara dan memegang jawatan selama enam tahun.

Presiden mempunyai dua peranan penting – sebagai simbol dan penyatu Singapura yang berbilang kaum serta sebagai penjaga rizab lampau Singapura dan integriti perkhidmatan awam.

Pilihan raya Presiden Singapura yang pertama diadakan pada 28 Ogos 1993.

Presiden Halimah Yacob yang bakal menamatkan tugasnya telah berkhidmat sebagai presiden kelapan Singapura sejak 2017.

Pada Mei lepas, Halimah yang juga presiden wanita pertama dalam sejarah Singapura mengumumkan beliau tidak bertanding semula.

Penggal perkhidmatannya tamat pada 13 September.

Pusat mengundi dibuka mulai pukul 8 pagi hari Jumaat dan ditutup pada 8 malam.

Sebanyak 1,264 pusat mengundi dibuka di seluruh negara dengan kira-kira 36, 000 pegawai pilihan raya ditugaskan di seluruh republik itu. – BERNAMA

Palmer hampir pasti ke Stamford Bridge

0

PEMAIN sayap Manchester City, Cole Palmer hampir pasti menyertai Chelsea selepas melengkapkan fasa pertama pemeriksaan kesihatan di London.

Palmer dijangka menandatangani kontrak selama tujuh tahun dengan opsyen lanjutan setahun selepas City menerima bidaan sebanyak RM263.9 juta dari The Blues.

Perpindahan pemain berusia 21 tahun itu dijangka dimuktamadkan hari ini, hari terakhir jendela perpindahan musim panas liga utama Eropah sebelum ditutup pukul 12 tengah malam (waktu United Kingdom).

Palmer mengambil keputusan berhijrah susulan peluang beraksi yang terbatas di Stadium Etihad.

Pemain muda itu dijangka akan diletakkan di posisi nombor 10 atau di bahagian sayap kanan yang bakal memberikan lebih banyak variasi dalam corak serangan yang direncanakan Mauricio Pochettino.

Posisi tersebut merupakan peranan yang sama dimainkan Phil Foden yang menjadi pilihan utama Pep Guardiola berbanding Palmer ketika di City.

Produk akademi City itu berjaya menembusi skuad utama tiga tahun lalu apabila melakukan debut dalam kejohanan Piala Liga Carabao yang menyaksikan juara Eropah itu menang 3-0 ke atas Burnley.

Lebih banyak diturunkan dalam kejohanan piala, Palmer mendapat peluang beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama apabila diturunkan menentang Norwich pada Mac lalu.

Perpindahan itu menyaksikan Palmer mengikut jejak langkah Reheem Sterling yang berhijrah ke Chelsea dari City. – Edisi 9

Muzium Negara tawar tiket percuma selama tiga hari

0

SEMPENA sambutan ke-60 tahunnya, Muzim Negara menawarkan tiket percuma selama tiga hari bermula hari ini kepada semua rakyat Malaysia.

Kementerian Perpaduan Negara menerusi kenyataan berkata, tiket percuma tersebut ditawarkan sehingga 3 September dan boleh didapati di kaunter tiket Muzium Negara.

Selain itu katanya, bersempena dengan sambutan ke-60 tahun yang bermula semalam sehingga 3 September, pelbagai program menarik yang telah dirancang.

“Antaranya pameran, Larian 60 Tahun Muzium Negara, mini konsert, pertandingan, gerai jualan, Malam Gema Puisi serta Majlis Apresiasi Media dan Rakan Strategik.

“Program selama empat hari ini menyasarkan seramai 10,000 hingga 15,000 pelawat akan hadir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Persembahan Datuk Ramli Sarip antara acara pada Sambutan 60 Tahun Muzium Negara. – Edisi9/Kementerian Perpaduan Negara

Dalam perkembangan sama, Kementerian Perpaduan Negara berkata, Sambutan 60 Tahun Muzium Negara telah disempurnakan menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, semalam.

Uajrnya, sambutan itu dilaksanakan bersempena dengan penubuhan Muzium Negara pada 31 Ogos 1963 oleh Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Muzium Negara menjadi simbol keutuhan perpaduan dan semangat patriotik yang tinggi dalam kalangan seluruh Masyarakat pada ketika itu.

“Sepanjang enam dekad penubuhannya, Muzium Negara telah berjaya mengadakan pameran dengan kerjasama strategik pelbagai pihak sama ada dalam negara atau luar negara.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sempena Sambutan 60 Tahun Muzium Negara yang bermula semalam sehingga 3 September ini. – Edisi9/Kementerian Perpaduan Negara

“Antara negara luar yang bekerjasama dengan Muzium Negara ialah negara-negara ASEAN, China, Kazakhstan, India, Republik Czech, United Kingdom, Amerika Syarikat dan sebagainya.

“Sehingga Julai lalu, Muzium Negara telah menerima kehadiran lebih 80,759,578 orang pelawat,” katanya.

Sementara itu Aaron berkata, penganjuran program tersebut membuktikan kesatuan dan kerjasama utuh di antara muzium serta institusi yang terlibat serta penglibatan masyarakat.

Katanya, ini secara tidak langsung mampumenyumbang kepada pembangunan sosial yang berterusan, khususnya dalam pembentukan dan pengukuhan jati diri kebangsaan.

“Ia sejajar dengan matlamat utama Dasar Perpaduan Negara yang memperkasa usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat,” ujarnya. – Edisi 9