PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menemui rakyat Johor dalam program ‘Temu Anwar Johor Bahru’ yang bakal berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Skudai dekat sini pada Ahad ini jam 2 petang.
Anwar berkata, beliau mengajak warga Johor terutamanya sekitar Johor Bahru untuk menyertai sesi dialog berkenaan dan peluang diberikan secara terus untuk bertanyakan apa jua soalan kepada beliau.
Program anjuran Anwar Ibrahim Club (AIC) dengan kerjasama UTM ini akan diadakan bertempat di Dewan Sultan Iskandar dan dijangka kehadiran melebihi 5,000 orang terdiri daripada pelbagai kelompok seperti mahasiswa, profesional dan orang ramai.
“Ayuh warga Johor Bahru ikut serta dalam sesi Temu Anwar yang akan diadakan Ahad ini bersamaan 3 September 2023 bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.
“Seperti kelaziman, peserta yang hadir diberi ruang secara terus untuk bertanyakan apa jua soalan kepada saya.
“Insya-Allah, ruang ini kita gunakan sebaiknya dalam mencambah budaya wacana yang sihat dan segar,”katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau.
Mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran menerusi laman web temuanwar.com.
Sebelum ini, program serupa telah diadakan di Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.
Program ini banyak memberi manfaat kepada rakyat kerana mereka boleh mengajukan terus soalan kepada Perdana Menteri dan tindakan segera akan diambil dalam jangka masa singkat seperti isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat dengan peruntukan segera RM3 juta. – Edisi 9