26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Pemuda UMNO lapor polis tuntut siasat ‘memo dalaman’ AGC bocor

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEMUDA UMNO akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis bagi menuntut supaya satu siasatan dapat dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap kebocoran dokumen didakwa ‘Memo Dalaman’ Jabatan Peguam Negara (AGC) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata tindakan itu dibuat selepas sayap UMNO itu berasa terkilan kerana sehingga kini, tiada maklum balas bagi menjawab tuntutan supaya siasatan dijalankan sama ada dokumen itu beserta isi kandungannya adalah sahih atau tidak.

“Sehingga ke hari ini, tidak ada mana-mana pihak boleh mengesahkan kesahihan dokumen berkenaan.

“Ini secara tidak langsung memberikan impak negatif kepada tahap keyakinan orang awam kepada AGC.

“Maka yang demikian atas dasar prihatin dan memegang teguh kepada Rukun Negara Malaysia yang ketiga dan keempat, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang, Pemuda UMNO akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis supaya satu siasatan dijalankan pihak berkuasa yang berkenaan,”katanya dalam kenyataan di Facebook beliau, hari ini

Beliau turut berpendapat, tindakan itu wajar diambil bagi mengembalikan keyakinan orang awam terhadap sistem perundangan Malaysia.

Advertisements

Dr Muhamad Akmal berkata, pihaknya juga mengambil maklum kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, yang menyatakan siasatan sedang dijalankan untuk menyiasat kebocoran dokumen itu.

“Mewakili Pemuda UMNO, saya juga mengeluarkan kenyataan pada 18 Ogos lalu mendesak satu siasatan dijalankan berkenaan kesahihan dokumen yang didakwa ‘Memo Dalaman’ AGC bertarikh 10 Oktober 2019.

“Namun, amat mendukacitakan apabila AGC pula mengumumkan bahawa Peguam Negara kini sedang bercuti sehingga beliau bersara kelak pada 6 September 2023,” katanya.

Katanya, tindakan Peguam Negara mengumumkan bercuti tanpa memberikan hasil siasatan dan maklum balas mewajarkan desakan Pemuda UMNO ini, kerana meninggalkan isu ini tergantung tanpa sebarang jawapan.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai satu dokumen didakwa ‘Memo Dalaman’ daripada AGC oleh pasukan pendakwaan bagi kes International Petroleum Investment Company (IPIC), iaitu firma pelaburan Abu Dhabi, bertarikh 10 September 2019, yang menyentuh mengenai enam pertuduhan dikenakan terhadap Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan